ANALITIC

Sabtu, Jun 20, 2026

Band Pitahati jauh ke hadapan - M Nasir

petikan Berita Harian 20 Jun 2026

Oleh Affan Rostam 

PETALING JAYA: Maestro muzik, Datuk M Nasir menyifatkan kumpulan Pitahati yang dianggotai tiga anaknya, dilihat jauh ke hadapan daripada segi pendekatan muzik, susunan dan gubahan lagu yang diketengahkan.

M Nasir berkata, band itu yang sudah melancarkan album terbaharu berjudul Algoritma 432, melakukan eksperimen dengan banyak genre muzik, seperti yang dilakukan ketika beliau bersama kumpulan Kembara.

"Mereka (Pitahati) lebih ke hadapan sedikit. Ini dari segi pendekatan, susunan dan gubahan lagu yang mereka hasilkan. Selain itu, dari segi seni kata dan cara mereka persembahkan lagu-lagu.

"Mereka saling memberi inspirasi. Saya pula daripada kumpulan Kembara dan memang banyak melakukan eksperimen dengan pelbagai jenis muzik. Kami cuba macam-macam pendekatan dan ada juga yang menghasilkan bunyi seperti itu," katanya ketika ditemui pada sesi pradengar album terbaharu kumpulan Pitahati berjudul Algoritma 432 yang diterbitkan syarikat rakamannya, Luncai Emas Sdn Bhd di Ara Damansara di sini, kelmarin.

Kumpulan Pitahati dianggotai Ilham selaku penyanyi, Hidayat (gitar), Zahar (gitar), Masrin (bes) dan Yasin (dram). Ilham, Hidayat dan Yasin adalah anak M Nasir.

M Nasir berkata, pendedahan kepada Pitahati berlaku secara semula jadi apabila mereka membesar dalam persekitaran muzik.

"Perkara ini diturunkan kepada anak-anak saya. Bukan saya sengaja untuk turunkannya, tetapi mereka mendengar.

"Namun, mereka sudah melangkaui apa yang saya jangka. Saya fikir mungkin mereka akan ikut sepenuhnya, tetapi tidak. Mereka sudah pergi lebih jauh dan saya sendiri pun tidak dapat ikut," katanya.

Mengulas mengenai karya Pitahati yang turut menyentuh elemen kritikan sosial, M Nasir berkata, perkara itu banyak dipengaruhi persekitaran dan pengalaman mereka sendiri.

"Ada juga yang membawa elemen kritikan sosial. Mereka dipengaruhi persekitaran. Mereka hasilkan lagu-lagu seperti itu kerana mereka terkesan dengan perkara yang berlaku di sekeliling.

"Tentunya ini berisiko dan memerlukan keberanian. Jadi, kalau tidak ada sokongan, bagaimana mereka mahu berani? Mereka ada sokongan," katanya.

Menurut M Nasir, seseorang pemuzik mempunyai pilihan sendiri mengenai hala tuju yang mahu dibawa dalam perjalanan seni.

"Sebenarnya, pemuzik ini kalau mahu dikatakan sebagai seorang pemuzik sahaja, dia boleh jadi begitu.

"Tetapi, kalau dia mahu menjadi lebih daripada itu, semuanya bergantung kepada pendirian masing-masing," katanya.

Pitahati tampil dengan album terbaharu berjudul Algoritma 432, iaitu karya menandakan fasa baharu dalam perjalanan kreatif mereka yang akan dilancarkan di semua platform digital mulai Jumaat ini.

Album memuatkan 12 trek itu memperlihatkan Pitahati tampil dengan pendekatan lebih berani, khususnya menerusi tema-tema yang menyentuh isu semasa di peringkat tempatan dan global.

Dengan memanfaatkan satira, sindiran dan pemerhatian sosial sebagai alat penceritaan dan bunyi-bunyian 'psychedelic' sebagai pewarna, Algoritma 432 mengajak pendengar meneliti realiti kontemporari melalui lensa kritikal, namun, penuh lapisan makna sambil menghayati irama luar dimensi.

Tiada ulasan: