ANALITIC

Sabtu, Jun 27, 2026

AI sekadar alat bantu berkarya – M. Nasir

 petikan TVS 27 Jun 2026

By Izzah Kamilah Yunus

KUCHING, 27 Jun: Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) disifatkan sebagai satu alat yang boleh membantu proses berkarya, namun kesan sebenar teknologi itu terhadap industri muzik masih belum dapat dipastikan.

Penyanyi dan komposer terkenal tanah air Dato M. Nasir berkata, perdebatan mengenai penggunaan AI dalam penciptaan lagu, lirik dan karya seni masih berlangsung, justeru belum ada jawapan muktamad mengenai peranannya dalam industri kreatif.

“Perbincangan dan perdebatan mengenai perkara ini masih berterusan. Kalau saya hendak memberikan jawapan yang terus terang, mungkin saya belum ada jawapannya.

“Apabila AI mula diperkenalkan dalam dunia teknologi, saya cuma menganggap AI itu sebagai satu alat. Bagi saya, ia hanyalah satu alat (tool),” katanya pada sidang media sempena Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2026 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penggunaan AI oleh segelintir penggiat industri muzik untuk menghasilkan lagu dan lirik, namun masih menggelarkan diri mereka sebagai pencipta karya.

Menurutnya sebagaimana perkembangan teknologi digital yang mengubah landskap industri muzik sebelum ini, AI juga dijangka memberi kesan terhadap dunia penciptaan karya.

“Ia akan memberi kesan kepada dunia perkaryaan dan penciptaan lagu, seperti mana dunia digital telah memberi kesan kepada penciptaan muzik,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun berpandangan perkembangan AI perlu terus diperhatikan kerana teknologi itu berpotensi mengubah landskap industri kreatif pada masa hadapan namun buat masa ini ia masih berfungsi sebagai medium yang membantu proses penghasilan karya. – TVS

Tiada ulasan: