Jumaat, Februari 07, 2025

Vokal M Nasir bergabung muzik elektronik Ejen Ali

petikan Berita Harian 7 Februari 2025

Oleh Affan Rostam - affan.rostam@bh.com.my

Keterujaan terhadap sekuel Ejen Ali terus memuncak sejak teaser rasmi pertama disiarkan pada September tahun lalu, ditambah lagi, debut lagu tema rasminya, Hanya Kamu, nyanyian M Nasir.

KUALA LUMPUR: Primeworks Studios (PWS) dan Wau Animation mengumumkan tayangan semula filem animasi popular, Ejen Ali The Movie di pawagam terpilih seluruh negara bermula semalam.

Tayangan kembali filem box office itu bakal menghidupkan kembali fenomena luar biasa yang pernah menggegarkan Malaysia, Singapura, dan Brunei pada 2019.

Ini sekali gus mengimbas kembali pengembaraan epik Ejen Ali di kota futuristik, Cyberaya kerana peminat bakal berpeluang menikmati kejutan istimewa.

Buat pertama kali, tayangan kali ini akan dipertontonkan sedutan eksklusif Ejen Ali The Movie 2 berdurasi lima minit.

Ini akan membawa penonton ke dalam misi baharu penuh cabaran apabila Ejen Ali menyarung mantel Projek Satria - sut perisai baharu yang direka khas untuknya menguasai keempat-empat Teras MATA: Tekno (Teknologi), Neuro (Strategi), Kombat (Seni Pertempuran) dan Inviso (Penyamaran).

Filem animasi penuh aksi ini mencatatkan rekod luar biasa, apabila meraih lebih daripada RM30 juta dalam tempoh enam minggu, menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang masa.

Ini membuktikan bahawa karya tempatan terus menjadi pilihan hati rakyat Malaysia berbanding judul animasi antarabangsa yang popular.

Sejak kemunculannya pada 2016, siri animasi popular Ejen Ali berjaya memikat hati penonton dari pelbagai generasi, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di lebih 65 negara, termasuk Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV dan RTV di Indonesia serta AlMajeed TV di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Dengan jutaan penonton di TV3 dan pengikut setia di YouTube, francais ini mencipta sejarah sebagai IP animasi Malaysia pertama yang bekerjasama dengan Walt Disney Company Southeast Asia mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor dalam industri animasi tempatan dan memperluas pengaruhnya di peringkat global.

Hanya Kamu adalah gabungan ikonik antara bunyi muzik elektronik Ejen Ali dengan kehebatan vokal M Nasir yang terkenal melalui koleksi lagu hit dalam pelbagai genre.

Diarahkan oleh Usamah Zaid Yasin, Ejen Ali The Movie membawa penonton menyelami kisah budak lelaki berusia 12 tahun yang secara tidak sengaja direkrut sebagai seorang 'ejen' untuk organisasi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Dengan tanggungjawab besar untuk melindungi bandar futuristik Cyberaya, Ejen Ali berdepan krisis apabila gajet IRIS-nya dinaik taraf kepada IRIS Neo yang boleh digunakan oleh ejen MATA lain.

Ketika mendapati dirinya bukan lagi satu-satunya ejen istimewa, muncul pula individu misteri yang mendakwa mengetahui rahsia tentang masa lalunya. Ali terpaksa mempersoalkan peranannya dalam MATA dan kesetiaannya terhadap agensi itu turut diuji hebat.

Berbekalkan keberanian dan keazaman, dia memulakan misi berbahaya untuk membongkar kebenaran, menghadapi perkara yang tidak diketahui, dan mencari erti sebenar tanggungjawab sebagai seorang 'ejen'.

Lebih daripada sekadar nostalgia, ini adalah momen untuk menghidupkan kembali semangat Ejen Ali menjelang pelancaran sekuel Ejen Ali The Movie 2.

Keterujaan terhadap sekuel terus memuncak sejak teaser rasmi pertamanya disiarkan pada September tahun lalu, ditambah lagi dengan debut lagu tema rasminya, Hanya Kamu, nyanyian Datuk M Nasir.

Lagu pertama daripada album runut bunyi filem itu dilancarkan pada 31 Januari lalu dan kini boleh didengari di platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

Hanya Kamu adalah gabungan ikonik antara bunyi muzik elektronik Ejen Ali dengan kehebatan vokal M Nasir yang terkenal melalui koleksi lagu hit dalam pelbagai genre termasuk pop, rock dan irama tradisional Malaysia.

Tiada ulasan: