petikan Berita Harian 9 November 2022
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Mohammad Mentek bersama M Nasir pada majlis pelancaran album Joget Made In Malaysia. - NSTP/Aziah AzmeeKUALA LUMPUR: Tiada salah jika irama tradisional disuntik dengan elemen moden jika mampu membuatkannya kekal relevan dan dapat memenangi hati generasi muda.
Barangkali, mungkin ada kata-kata sinikal yang mempertikaikannya, seolah-olah muzik tradisional seakan dilacurkan, namun suka atau tidak, nyata cara itu berkesan.
Lihat sahaja bagaimana lagu tradisional diberikan nafas baharu seperti dilakukan penyanyi jolokan Ratu Pop Tradisional, Noraniza Idris dan Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila lagu bergenre tradisional yang dirakamkan diterima ramai.
Dan kaedah sama turut diterapkan syarikat rakaman, Luncai Emas Sdn Bhd apabila memutuskan menghasilkan album Joget Made In Malaysia yang dilancarkan, baru-baru ini.
Mengulasnya, penasihat kreatif album Joget Made In Malaysia, Datuk M Nasir, berkata selain melestarikan irama tradisional dengan mendekatkan genre itu kepada golongan muda, pembikinan album juga mencabar kreativiti komposer muda dalam berkarya.
"Sudah 20 tahun saya tidak mendengar lagu joget dihasilkan secara komersial. Difahamkan, sebahagian komposer album ini terdiri daripada anak muda berkelulusan institusi pengajian tinggi.
"Jadi, kami ingin memberi cabaran, apakah mereka mampu untuk menghasilkan lagu joget yang mempunyai elemen moden.
"Boleh dikatakan ini adalah satu projek eksperimen. Saya boleh sahaja memanggil komposer yang sudah ada nama untuk terbabit dalam album ini, tetapi sudah tentu kos pembikinan melambung," katanya yang ditemui BH Online pada majlis pelancaran album Joget Made In Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengarah produksi Luncai Emas, Keon Omar merangkap penerbit eksekutif dan pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Raja Iskandar Raja Halim dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan.
Mohammad Mentek, M Nasir, penyanyi bersama komposer yang juga pensyarah muzik dan penuntut universiti ketika majlis pelancaran album Joget Made In Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Aziah AzmeeAlbum diterbitkan dengan kerjasama K-KOMM itu turut disertai pensyarah seni dan muzik dan empat penuntut dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Mengulas apakah kebanyakan lagu dicipta menepati piawaian, penyanyi Apokalips dan Tanya Sama Itu Hud Hud itu berkata, dia berpuas hati dengan karya yang dihasilkan.
"Saya mempunyai pawaian sendiri. Namun, saya faham kebanyakan penuntut ini tidak terdedah dengan muzik tradisional dan produksi lagu bergenre Irama Malaysia.
"Mereka perlu banyak belajar dan menimba pengalaman. Bagaimanapun, dari segi penciptaan lagu yang boleh menarik pendengar, mereka berjaya mencapai piawaian ini," kata maestro muzik tersohor itu.
Sementara itu, bagi mengelakkan timbul pertikaian mengenai konsep diperkenalkan, Raja Iskandar berkata, komposer diberikan penerangan mengenai asal usul muzik joget supaya pemahaman terhadap genre itu jelas.
"Kami mengadakan sesi taklimat dan akar umbi muzik joget kepada komposer dipilih.
"Ini penting agar mereka faham mengenai genre joget dan mengelakkan perkara berbangkit pada kemudian hari.
"Lagipun, album ini akan dijadikan bahan dokumentasi sebagai rujukan mengenai bagaimana muzik joget pada 2022," katanya.
Kos pembikinan album ini menelan belanja sebanyak RM400,000 termasuk promosi dan pelancaran.
Selain Puteri Khaireeza dan Azizul Hakim, antara artis komersial terbabit termasuk Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan