Alif Fadli Mohd. Sori
SENIMAN tersohor, Datuk M. Nasir mengambil masa hampir seminit berfikir apakah jawapan terbaik untuk menjawab soalan mengenai lagu yang menjadi Magnum Opus sepanjang 40 tahun beliau bergelar anak seni,
Sepanjang tempoh itu juga, sejumlah peminat tegar beliau yang sabar menantikan jawapan tertanya-tanya daripada ratusan lagu ciptaan beliau, karya mana agaknya yang benar-benar sempurna pada matanya.
Seraya tergelak kecil, perlahan komposer terbilang Melayu itu membuka mulut dan menjawab dengan tenang.
Kata M. Nasir, tiada sebarang karyanya yang boleh dianggap sebagai Magnum Opus kerana secara peribadi, beliau berpendapat, setiap lagu yang tercipta merupakan mahakarya yang mempunyai jiwa dan maksud tersendiri yang tidak boleh dibandingkan.
Demikian tingginya apresiasi seorang pemuzik sejati yang menghargai karyanya sama rata. Mencipta lagu dan menulis lirik ikhlas daripada jiwa membuatkan M. Nasir berdiri teguh dalam kelas tersendiri.
“Saya lebih gemar menyanyikan lagu yang ada elemen kerakyatan supaya lebih dekat dengan peminat. Malah pemilihan kata membentuk lirik juga sangat dititikberatkan,” ujar seniman yang merantau dari Singapura ke Kuala Lumpur semata-mata untuk berkarya.
Terjemahan mengenai apresiasi seni beliau dikongsi dalam majlis anjuran Sahabat M. Nasir, Magnum Opus M. Nasir: Kembara ke S.O.L.O. sempena 40 tahun penglibatan komposer itu dalam dunia seni.
Sebetulnya, selepas lebih empat dekad mengharungi sepak terajang dunia seni, suami kepada pelakon dan bekas pensyarah Datin Marlia Musa dan bapa kepada lima cahaya mata itu tidak pernah berasa bosan dan lelah dengan kerja-kerja seni yang sudah sebati dengan jiwanya itu.
Bahkan yang mengagumkan ialah semangat dan kekentalan jiwa seninya terus marak dan ikrar M. Nasir juga ialah beliau akan terus kekal memartabatkan muzik Melayu.
M. Nasir merupakan seniman yang paling teruja dan gembira jika diajak berbicara mengenai muzik Melayu.
Duduk berbual dengannya akan membawa anda menelusuri sejarah panjang perkembangan muzik Melayu.
Mula melangkah ke gelanggang seni sekitar 1979, pemikir hebat ini memacakkan tiang seninya menerusi album solo pertamanya, Untuk Pencinta Seni yang memperkenal dia kepada peminat.
Bukan mahu membuka lipatan sejarah seninya yang berjilid tebal, namun jelas M. Nasir, tatkala mula ditawarkan untuk menjadi penyanyi, hatinya berbelah bahagi ketika itu.
Sejujurnya, M. Nasir tidak hanya mahu menjadi seorang penyanyi tetapi misi seninya cukup luas.
Beliau mahu memperjuang jiwa Melayu di persada yang lebih tinggi dan meluahkan buah fikirannya kepada masyarakat.
“Saya juga seorang pelukis sebelum mula bergelar penyanyi. Apabila mendapat tawaran (merakamkan album), saya berfikir banyak kali.
“Percaturannya sama ada hidup atau mati. Saya kena buat sesuatu untuk memartabatkan muzik Melayu.
“Kalau ketika itu, jika yang saya perjuang tidak menjadi, tak mengapa. Tapi saya kena buktikan identiti Melayu kuat menggenggam jiwa saya.
“Saya mahu muzik Melayu perlu ke arah kedudukan yang lebih dihormati,” kata penyanyi yang mempunyai sembilan album solo dan enam album dengan Kembara selain pernah membintangi 13 buah filem. - Gambar FAISOL MUSTAFA
Album baharu tahun depan
SELEPAS 11 tahun sepi tanpa sebarang album, M. Nasir bertuah kerana namanya masih gah di persada seni. Kedudukannya tidak terganjak. Lalu, apabila beliau mengumumkan bakal tampil dengan album baharu, berita gembira itu disambut dengan sorak gembira oleh peminat komposer hebat ini.
Bukan mudah untuk menggali kotak fikiran untuk menghasilkan karya-karya agung bagi dinikmati semua peminat muzik. Bagi M. Nasir, berkarya itu memerlukan nyalaan api marak yang mencerminkan pemikirannya.
“Apabila mahu tampil dengan album baharu ini, kita kena gali lebih dalam untuk cari pelbagai elemen. Kadang-kadang saya berbual secara serius dengan rakan seperjuangan dalam bidang seni.
“Semuanya sudah dilakukan. Tiada lagi seniman yang mahu memperjuang isu kemanusiaan dan kerakyatan. Tanah seni sudah kering dengan semangat waja pendekar seni yang berjuang.
“Tapi apabila difikirkan semula, kita tidak boleh ada sikap itu. Sebab itu, saya sedang mengumpulkan bahan dan kalau sempat, awal tahun depan saya akan tampil dengan album baharu,” kata pemenang dua trofi Anugerah Juara Lagu pada 1994 dan 2012.
Ditanya mengapakah beliau memilih untuk hanya menyanyikan lagu ciptaannya sahaja, M. Nasir tersenyum sendiri. Mengapa tidak dia membuka peluang itu untuk komposer lain?
Mahu lebih jujur ketika menyanyi, itu jawapan yang keluar dari mulut pencipta lagu Mentera Semerah Padi itu.
Rupa-rupanya beliau lebih faham dan selesa dengan muzik yang ditulis sendiri.
“Saya rasa lebih senang menyanyi lagu sendiri. Apabila menyanyi lagu orang lain, saya hanya menyanyi. Apabila menyanyi, kita kena jujur. Saya ada sebab tersendiri berbuat demikian,” katanya penuh jujur.
Dari Kembara ke S.O.L.O
Dalam kotak fikirannya, yang beliau mahu hanyalah platform untuk melontarkan suara emasnya selain wadah bagi mendendangkan buah fikiran menerusi lirik dan gubahan muzik malar segarnya.
Kesyukuran dipanjatkan oleh M. Nasir apabila hasrat murninya disambut baik syarikat rakaman ketika itu yang membuka pintu peluang untuk pemuzik baharu membuktikan bakat dan semangat muzik yang sehingga kini masih membara.
“Ketika itu tiada orang berani tubuhkan kumpulan harmoni. Kena ada kemahiran dan teknik yang betul. Saya banyak terpengaruh dengan muzik rakyat. Bob Dylan antara rujukan saya ketika itu.
“Pada waktu itu, saya tidak ada daya untuk menterjemahkan idea dan pemikiran. Saya buat yang terdaya dan termampu. Saya berkawan dengan pemuzik yang bagus dan dari situ, saya kenal A. Ali (komposer dan penyanyi).
“Saya suka dengan permainan muziknya tapi pada masa yang sama, saya dapat rasakan dia tidak sesuai untuk terus kekal dengan Sweet Charity. Apabila dia keluar, baru saya ada keyakinan untuk tubuhkan Kembara,” kata tunggak utama pelakon filem Puteri Gunung Ledang itu lagi.
Pembubaran Kembara tidak memadamkan api seni M. Nasir. Beliau sebaliknya, terjun ke bidang perfileman menerusi filem pertamanya, Kembara Seniman Jalanan memegang watak sebagai Bujang.
M. Nasir sedar, perjuangan muzik Kembara tidak semudah yang disangka. Ketika itu, survival kumpulan tersebut dihalang oleh beberapa faktor yang akhirnya menimbus bara api Kembara.
“Kembara sudah tidak sesuai ketika itu. Pemuzik rock pun mengalami kepayahan sama. Pentas untuk sebuah kumpulan memakan kos yang besar, penganjur tidak mampu untuk menampungnya.
“Ketika itu, kumpulan yang berbeza alirannya belum cukup dibantu dari segi teknikal. Sekarang artis yang dahulunya tenggelam mampu kembali berjaya bila berada di pentas yang betul,” kata pemenang Lagu Terbaik Festival Filem Malaysia 1984 dan 1990 itu.
Namun jauh di sudut hatinya, seniman berjiwa besar ini tahu beliau akan menghasilkan albumnya semula cuma masa yang menjadi penentu langkahnya dalam bidang seni ketika itu.
“Lama juga saya buat kerja filem. Tetapi masa itu saya buat produksi orang lain. Jadi pelakon, penulis dan komposer bagi filem. Selepas itu baru saya diyakinkan oleh Datuk Aziz Bakar untuk menyanyi solo kembali.
“Saya ketika itu pun fikir agak lama saya menyepi dan sudah banyak eksperimen muzik saya lakukan. Justeru, terhasilnya (lagu) Mustika menerusi album S.O.L.O,” katanya.
Bahan pembentangan Forum MAGNUM OPUS - Dari Kembara ke SOLO
(Kredit : Kelab Sahabat M Nasir)
"
1 ulasan:
Tulisan reporter carik makan, dengan tulisan fans tak sama eh
Catat Ulasan