petikan Kosmo 25 Mac 2013
Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
M. NASIR bersama Bombay (dua dari kanan), Mohamed Juhari (tiga dari kiri) dan barisan penaja Konsert M. Nasir Sang Pencinta yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya dari 7 hingga 9 Jun ini.
BUKAN sekali, namun dua kali karyawan seni berwibawa Datuk M. Nasir diberi kepercayaan mengadakan konsert di pentas berprestij Istana Budaya.
Kali terakhir komposer, penulis lirik, penyanyi dan pelakon terkenal ini mengadakan konsert di Istana Budaya adalah empat tahun lalu yang diberi nama Konsert Alam Muzik.
Kali ini, dengan sambutan yang menggalakkan terhadap konsertnya yang lepas, M. Nasir kembali dengan konsert solo baharu pada tahun 2013 yang dikenali sebagai M. Nasir Sang Pencinta.
Konsert yang bakal diadakan selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Jun ini di Panggung Sari dibawakan oleh Bombay Worldwide.
Ia juga mendapat kerjasama dan sokongan Red On Black, Belbis dan pihak Istana Budaya sendiri.
Apa yang menariknya, tidak seperti konsert solonya yang lain, M. Nasir bakal menampilkan kelainan dengan dijadualkan membawa penonton konsert itu nanti ke alam maya M. Nasir yang menyentuh jiwa.
“Konsert M. Nasir kali ini akan digabungkan dengan elemen fantasi yang mana kami akan membawa peminat mengembara bersama M. Nasir selama beberapa dekad dia bergelar penyanyi.
“Ia juga akan menjadi seperti semi-muzikal yang mana kami akan gunakan elemen visual dan audio untuk menyelam dan menjiwai karya M. Nasir yang akan dipersembahkan olehnya kelak,” ujar peneraju Bombay Worldwide , Zamberi Shaari pada sidang akhbar di Restoran Istana Bambu, Jalan Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.
Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.
Selain itu, kumpulan muzik yang mengiringi konsert M. Nasir kelak ialah gabungan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), kumpulan muzik gamelan dari Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dengan Aznan Alias sebagai pengarah muzik.
Tutur M. Nasir pula, pada konsert kali ini, dia akan membuat persembahan solo sepenuhnya dan tidak turut menampilkan artis lain atau kumpulan yang dianggotainya suatu ketika dahulu iaitu Kembara.
"Konsert kali ini sememangnya akan membawa kelainan dan serta pembaharuan di mana saya boleh katakan ia sangat berbaloi untuk ditonton. Tentang lagu pula, saya akan gabungkan lagu lama dan baharu.
“Lagu-lagu yang dipilih juga akan mempunyai elemen pengembaraan,” jelas M. Nasir yang turut akan berlakon dalam persembahannya kelak.
Tambahnya, dia memilih judul pencinta kerana mahu orang faham dengan apa yang dipaparkan. Ia juga lebih kepada kerohanian tentang diri manusia.
Sebanyak lebih 20 buah lagu yang bakal didendangkan oleh komposer, penulis lirik dan penyanyi terkenal ini yang dianggarkan berdurasi selama lebih dua jam.
Dengan itu, M. Nasir sendiri berharap akan dapat memberi ilmu kepada golongan muda mudi yang hadir menonton konsert ini kerana katanya ia merupakan pengalaman yang tidak akan didapati di tempat lain.
Justeru, bagi peminat M. Nasir yang ingin mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan Sang Pencinta, boleh layari laman www.ticket2u.biz atau hubungi ticket2u di talian 03- 4147 8600. Tiket-tiket dijual pada harga bermula RM65 hingga RM455.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan