BERTEMU SEMULA: Kumpulan muzik Kembara, yang antara anggotanya ialah M. Nasir (tengah) dan adiknya Zoul (dua dari kiri), bakal menggegarkan Dewan Konsert Esplanade pada 30 Mac ini. Kumpulan ini dijangka mendendangkan lagu-lagu popular mereka seperti Ekspres Rakyat, Kembara, Bas No. 13 dan Dedaun Masa.
- Foto GO RECORDS
petikan cyberita 10 Januari 2013
Oleh
NURUL 'AIN RAZALI
SETELAH 25 tahun menyepi, kumpulan muzik popular 1980-an, Kembara, akan menghiburkan penonton pada 30 Mac ini.
Kembara bakal mengadakan Konsert Ekspres Rakyat selama sejam setengah di Dewan Konsert Esplanade bermula 8 malam.
Menurut kenyataan Esplanade, antara lain mereka akan mendendangkan lagu-lagu popular mereka seperti Ekspres Rakyat, Kembara, Bas No. 13 dan Dedaun Masa.
"Antara kumpulan rok Melayu yang bersejarah pada 1980-an, Kembara merupakan ilham tiga rakan yang ingin meneroka genre alternatif dalam persada muzik pada waktu itu.
"Gabungan M. Nasir, A. Ali dan S. Sahlan itu menghasilkan muzik puitis yang segar.
"Kembara menikmati kejayaan dengan lagu-lagu rok mereka, lalu menjadi ikutan di kalangan belia Singapura dan Malaysia," ujar kenyataan itu.
Kembara asalnya dianggotai Datuk M. Nasir, A. Ali serta S. Sahlan dan dimulakan pada 1979.
Selepas pengunduran A. Ali dan S. Sahlan pada 1986, ia terus dijayakan oleh M. Nasir; adiknya, Zoul; Shahrum Basiron; Rahman Suri dan Md. Shah Othman.
Konsert Mac ini bakal menampilkan generasi kedua Kembara atau kelima-lima pemuzik tersebut.
Konsert Ekspres Rakyat sepatutnya diadakan di Esplanade pada April tahun lalu, namun ia dibatalkan kerana "konflik penjadualan" dan "barisan artis yang ingin ditampilkan tidak dapat berada di Singapura", kata Esplanade.
Diminta mengulas tentang konsert itu, penerbit bersekutu Esplanade, Cik Norhayati Yusoff, berkata Esplanade bercadang menjemput A. Ali dan S. Sahlan untuk menyerikan lagi acara kelak.
"Kembara tidak menghasilkan lagu-lagu bersifat komersial, sebaliknya mereka menghasilkan lagulagu yang bermakna. Memang sudah tiba masanya Kembara kembali.
"Konsert ini adalah untuk abang-abang kita. Selalunya kita anjurkan konsert yang menarik kaum wanita. Oleh sebab itu, saya jangkakan lebih ramai lelaki yang bakal menonton konsert ini," ujar Cik Norhayati.
Ketika dihubungi, peminat Kembara sejak 1980-an, Encik Nor Herman Maryuti, 37 tahun, ghairah mendengar berita tentang persembahan kumpulan tersebut pada Mac ini.
"Dah lama tak dengar mereka. Saya dengar mereka sekali saja sebelum M. Nasir jadi solo.
"Saya nak tahu barisan lagu yang bakal diketengahkan dan harap-harap kali ini jadi, sebab tahun lepas kecewa. Saya dah letak dalam kalendar semua," ujar Encik Herman, seorang pegawai perkhidmat awam.
Ketika diminta mengulas tentang konsert Kembara itu, Datuk M. Nasir berkata ia "satu konsert nostalgia yang saya nanti-nantikan".
Tiket-tiket berharga $35, $55 dan $75 boleh didapatkan menerusi kaunter Sistic.
Potongan harga diberikan kepada anggota Perkhidmatan Negara (NS) dan warga emas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan