Isnin, Januari 07, 2013

M Nasir, Erra & Najwa terbang tinggi


petikan myMetro 7 Januari 2013
Oleh Norhadiani Baharom


Merentasi 22 tahun usia Harian Metro mendam­pingi rakyat dalam membina jenama, hingga bergelar Akhbar Nombor Satu Malaysia, tiga wajah penghibur terkenal dari tiga zaman ini turut sinonim dengan kedewasaan akhbar ini mahupun detik pembaharuannya.

Datuk M Nasir, Erra Fazira dan Najwa Latiff dirasakan pilihan yang tepat untuk menggambarkan apa yang dilalui Harian Metro dan merekalah ikon dalam bidang muzik, lakonan dan nyanyian yang menjadi nadi dunia hiburan. Merekalah paling relevan.

Siapa tidak kenal M Nasir, seniman serba boleh yang mula terkenal sejak awal 1980-an bersama Kembara dan kemudian bergerak secara solo. Lagu karyanya bukan saja untuk diri sendiri malah sudah menaikkan nama terkenal seperti Alleycats, Datuk Sharifah Aini, Jamal Abdillah, Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Search dan Hafiz.

Erra Fazira Wan Chek pula satu-satunya bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 yang paling berjaya membina nama dalam bidang seni tanah air yang sentiasa dijolok sebagai Primadona Moden Filem Melayu. Tanpa Erra Fazira tidak akan ada sejarah Sembilu sebagai antara filem Melayu terhebat pada carta ‘box-office’.


Bergerak ke dunia siber, kini sejarah YouTube tempatan terukir bersama populariti Najwa Latiff, yang boleh dianggap antara remaja paling kreatif dalam penciptaan lagu bersama karya seperti Cinta Muka Buku dan Kosong.

Jom kita dekati tiga insan hebat ini.

RAP: Harian Metro bakal meraikan ulang tahunnya yang ke-22, Mac ini. Bagaimana anda bertiga melihat perkembangan ini?

M NASIR: Harian Metro sebuah akhbar yang sentiasa mengikuti peredaran zaman dan perubahannya sentiasa saya rasai. Tidak keterlaluan rasanya saya menyifatkan ia sebagai sebuah akhbar cukup sensasi dan mungkin itulah strategi perniagaan akhbar ini.


ERRA: Status Harian Metro sebagai akhbar terlaris membuktikan bahawa akhbar ini tahu apa yang masyarakat Malaysia mahukan. Sebagai artis, saya akui Harian Metro banyak membantu saya memperkenalkan nama dan memajukan kerjaya seni saya.

Mungkin ramai generasi sekarang tidak tahu pada 1991, Harian Metro adalah akhbar pertama yang menemu bual saya selepas saya muncul dalam satu majlis di sebuah hotel dengan motosikal berkuasa besar.

Ketika itu saya belum menyertai pertandingan ratu cantik dan wartawan pertama yang menemu bual saya adalah Roslen Fadzil yang sekarang sudah menjadi Pengarang Hiburan akhbar ini. Gara-gara diketengahkan Harian Metro, ada pihak terus merisik saya untuk menjadi artis. Itulah sejarah saya bersama Harian Metro.


NAJWA: Sebagai penyanyi baru yang dikenali menerusi YouTube, peluang yang diberikan Harian Metro sangat penting untuk memperkenalkan karier nyanyian saya di luar daripada Internet. Hakikatnya, tidak semua orang melayari YouTube, jadi bantuan pihak akhbar seperti Harian Metro cukup membantu diri saya. Kerap juga saya diundang menjayakan acara hiburan seperti Karnival Gegaria Harian Metro.


RAP: Isu atau artikel yang bagaimana sering menarik perhatian anda tatkala membaca akhbar ini?

M NASIR: Secara jujur saya membaca semua jenis bahan berita yang dihidang­kan baik dari isu semasa, hiburan hinggalah sukan. Penting untuk artis mendapatkan seberapa banyak ilmu.


ERRA: Selain berita-berita panas yang disiarkan, saya dapati Harian Metro selalu memberikan laporan terperinci berhubung sesuatu kes yang mana, hal ini mungkin tidak begitu diberi fokus dalam laporan lain. Dulu ada pihak berpendapat Harian Metro akhbar untuk golongan ‘tipikal’ Melayu tetapi saya pula tidak fikir begitu kerana ternyata usaha Harian Metro memperkenalkan Sisipan M sebagai satu pendekatan menarik minat golongan ‘urban’.


NAJWA: Harian Metro, adalah akhbar yang cukup popular di kalangan penduduk di Johor. Sebelum bergelar artis, saya sendiri pun sering membaca Harian Metro dan sukakan ruangan hiburan.


RAP: Apa pandangan anda terhadap rakan artis dalam sesi fotografi ini?

M NASIR: Bercakap soal tarikan dan daya tahan, Erra ada semua kualiti yang membuatkan dia terus relevan di mata peminatnya. Najwa pula mewakili era masa kini. Terlalu awal untuk meramalkan jangka hayatnya dalam bidang seni. Namun mengambil kira usaha yang dilakukan, dia berjaya mencipta eranya sendiri.


ERRA: M Nasir bagi saya seorang legenda seni serba boleh. Seorang yang sangat dihormati dan beliau antara individu yang banyak me­nyumbang pada industri hiburan menerusi karya yang dihasilkan. Najwa saya sifatkan dia anak muda yang cukup bertuah kerana memperoleh jalan yang mudah untuk berada dalam industri hiburan. Dia hadir dengan gaya tersendiri. Tanpa perlu kelihatan ‘extravanganza’, Najwa tetap menawan peminat kerana bakat dan karyanya yang bersahaja.


NAJWA: Sewaktu Pegawai Perhubungan NAR Records memaklumkan saya akan menjalani fotografi dengan dua ikon Malaysia, Datuk M Nasir dan Erra Fazira, saya memang tak percaya. Tambahan pula dapat bertemu Kak Erra secara empat mata. Banyak filem lakonannya saya tonton termasuklah program Gugu Gaga Erra di Astro Ria. Lebih membuatkan saya terharu, kak Erra sempat ajar saya berposing.


RAP: Terus relevan meng­hiasi dada akhbar dan majalah (M Nasir – 3 dekad/Erra – 2 dekad) selama berkecimpung dalam bidang seni, bagaimana anda mengekal­kan populariti?

M NASIR: Saya sentiasa sensitif dengan perubahan termasuk kemahuan orang dan kemahuan diri sendiri dengan melahirkan karya yang disukai. Tidak semestinya mengikuti perkembangan saja, kalau boleh biarlah kita yang menjadi pencipta kepada segala pembaharuan yang ingin dilakukan. Sering kita mendengar, penggiat seni ingin melakukan perubahan tapi ada kalanya perubahan itu tidak menarik. Perubahan yang dilakukan haruslah mening­galkan impak kepada masyarakat.


ERRA: Saya percaya dari semasa ke semasa seorang artis harus mengikuti perkembangan industri, harus selalu ‘up-to-date’. Usah lekas berasa puas dalam zon selesa. Sebagai artis, kita perlu sedar bahawa masyarakat sentiasa mahu melihat pembaharuan pada diri kita mahupun hasil kerja kita. Selain itu, hasil kerja yang baik dan jujur akan menjadi penentu jang­ka hayat kepada seseorang artis.


NAJWA: Rasanya saya tidak layak menjawab lagi soalan ini kerana saya baru setahun jagung berkecimpung dalam bidang muzik. Pun begitu, saya sangat berharap akan mampu pergi sejauh dua ikon seni yang amat saya hormati ini. Apapun terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya dan tahniah buat Harian Metro.

Tiada ulasan: