Oleh Zubir Mohd Yunus (yang berada di Bangkok, Thailand, baru-baru ini)
Edry memberi penerangan kepada Mawi, Diana dan Fimie di lokasi Magika.
FANTASTIK dan mampu capai box-office! Itulah gambaran awal penulis dan rakan wartawan lain sebaik menjadi kumpulan pertama media Malaysia berpeluang menyaksikan filem terbaru terbitan KRU Studios yang kini dalam proses akhir, Magika di makmal warna, Siam Film Development (SFD) di Bangkok, Thailand, minggu lalu.
Ketika di SFD, Magika melalui proses akhir penggredan warna, adunan akhir audio (dolby surround 5.1) dan kine transfer.
Selain Norman Abdul Halim sebagai Penerbit Eksekutif Magika, turut berada di sana ialah Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim selaku pengarah yang sudah bersedia lebih awal menyambut kehadiran media massa di SFD. Kini, lagu tema Magika, Penyembuh Rindu nyanyian Mawi dan Diana Danielle sudah berkumandang menerusi rado Era sejak pertengahan bulan ini. Turut menyertai kumpulan wartawan berkenaan ialah Pengurus Saluran radio Era, Nazri Noran,
Wakil SFD yang memberi penerangan sepanjang sesi lawatan ke beberapa studio dan makmal SFD ialah Pengurus Pemasarannya, Thanapon Maliwan.
Gambar kiri, Kemunculan Maya, Ziana, Aznil dan Raja Azura sebagai pelaris. Gambar kanan, Ning Baizura diberi tanggungjawab sebagai Puteri Gunung Ledang.
Bersesuaian dengan genre filem itu sebagai muzikal pengembaraan pertama Malaysia, Magika menampilkan hampir 14 lagu baru yang semuanya ciptaan Edry. Lebih menarik, semua lagu berkenaan dinyanyikan sendiri oleh setiap pelakon tanpa menggunakan khidmat penyanyi profesional. Justeru, jika anda tidak pernah melihat aktor atau aktres kesayangan anda menyanyi sebelum ini, tapi menerusi Magika, mereka turut dikenali sebagai penyanyi!
"Magika adalah percubaan pertama KRU Studios menghasilkan filem muzikal pertama buatan Malaysia. Namun, ia bukan 100 peratus filem muzikal sebaliknya 50 peratus artis menyanyi, selebihnya berlakon. Magika bukan meniru filem Hollywood seperti High School Musical atau Mama Mia yang boleh dikategorikan 100 peratus filem muzikal.
"Justeru, kami mengundang wakil wartawan ke SFD supaya mereka menyaksikan sendiri proses akhir penghasilan sebuah filem di makmal. Biar mereka lebih memahami penerbitan sesebuah filem itu, selain mendapat pendedahan daripada segi teknikal. Pihak media akan mengetahui betapa rumit dan telitinya proses akhir sesebuah filem itu seperti adunan audio, kesan khas dan teknik imej janaan komputer atau CGI," kata Norman.
Katanya lagi, Magika melalui proses awal penggredan warna atau colour grading di KRU Studios dan apabila dibawa ke SFD, ia akan melalui sentuhan terakhir menggunakan peralatan berteknologi tinggi serta kepakaran tenaga kerjanya. Magika juga melalui proses audio premix di KRU Studios dan apabila dibawa ke Bangkok, ia akan melalui proses adunan terakhir dalam usaha menghasilkan bunyi dolby surround 5.1.
"Sari kata bahasa Inggeris Magika juga dihasilkan di studio kami di Setiawangsa dalam usaha mengurangkan kos penerbitannya di Bangkok. Proses yang dikenali sebagai kine transfer turut dilakukan menggunakan peralatan canggih di SFD apabila penggambaran Magika yang menggunakan format digital (hard disc) menggunakan redcam 4K dan perlu 'ditukar' atau diproses menjadi negatif filem 35mm.
"Setiap reel mengambil durasi masa tayangan antara 17 hingga 19 minit. Manakala keseluruhan filem ini mengambil masa tayangan selama 96 minit. Justeru, kira-kira lima atau enam reel diperlukan bagi sebuah filem Magika yang lengkap untuk ditayangkan kepada umum bagi kegunaan sebuah pawagam. Bayangkan kalau ia ditayangkan di lebih 60 pawagam, berapa 'print' yang harus dihasilkan untuk memenuhi keperluan berkenaan," katanya.
M Nasir turut memberi sumbangan kepada Magika.
Selain Magika, filem lain terbitan KRU Studios yang pernah menjalani proses akhir di SFD termasuklah Cicakman, Duyung, Cicakman 2 - Planet Hitam, Jin Notti dan My Spy (belum ditayangkan).
Kebanyakan filem terbitan produksi tempatan turut memilih SFD sebagai 'destinasi akhir' penerbitan filem mereka. Antara filem terbaru yang sedang dan baru selesai menjalani proses akhir penerbitannya di Bangkok termasuklah Evolusi KL Drift 2, Santau dan Senario Episode 2: Beach Boys.
Bercakap mengenai penceritaan Magika, Norman menambah, filem berkenaan sesuai untuk tontonan kanak-kanak dan remaja, justeru ia memerlukan publisiti lebih awal supaya mampu menarik minat ibu bapa atau keluarga membawa anak-anak ke pawagam.
"Magika adalah sebuah filem berbentuk kekeluargaan yang menyelitkan pantang larang orang Melayu terutama peringatan untuk anak-anak seperti jangan keluar rumah waktu senja dan jangan buang air kecil merata tempat sesuka hati. Filem ini juga dekat di hati penonton kerana ia kaya dengan nilai kasih sayang, cinta dan pengorbanan. Saya yakin, dalam tawa, penonton pasti menjiwai beberapa babak yang meruntun emosi," kata Norman.
Magika yang menggabungkan lebih 15 aktor dan aktres ternama pasti menjadi tarikan penonton ke pawagam, lebih-lebih lagi yang merindui lakonan Ziana Zain apabila memegang watak sebagai nenek kebayan vogue! Kaya dengan mitos dan kisah legenda Melayu, Magika menampilkan beberapa watak yang dekat di hati orang ramai seperti Badang, Bawang Putih Bawang Merah, Pak Pandir, Mak Mandir, Mahsuri, Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang dan Batu Belah Batu Bertangkup.
INFO: Filem Magika
JUDUL: Magika
GENRE: Muzikal Pengembaraan (pertama seumpamanya di Malaysia)
KONSEP: Mitos dan Legenda Melayu
PENGARAH: Edry Abdul Halim (filem sulung)
TEMPOH PENGGAMBARAN: Februari hingga pertengahan Mac 2009
LOKASI PENGGAMBARAN: Universiti Putra Malaysia (UPM); Putrajaya; Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong; Ulu Langat, Selangor; Tapah, Perak dan Lanchang, Pahang
PELAKON: Membabitkan lebih 15 artis popular, antaranya Mawi AF3, Diana Danielle, Fimie (Hikayat Putera Shazlan), Saiful Apek, Ziana Zain, Maya Karin, M Nasir, Datuk Jalaluddin Hassan, Ogy Datuk Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Raja Azura, Ning Baizura, Sharifah Amani, Sharifah Aleya, Norman Hakim, KRU, Nabil Raja Lawak dan Adibah Noor.
KOS PRODUKSI: Sekitar RM1.8 juta hingga RM2 juta, tidak termasuk promosi (Bayaran pelakon saja melebihi RM500,000)
LAGU TEMA: Penyembuh Rindu (duet Mawi bersama Diana Danielle)
PROSES AKHIR/KOS: Tujuh hari di Bangkok/Membabitkan bajet hingga RM400,000.
JANGKA TAYANG: Februari atau Mac 2010.
1 ulasan:
erm, dah lama tak tengok m nasir berlakon
Catat Ulasan