Jumaat, Oktober 16, 2009

Jual beli lagu menerusi Internet

petikan Harian Metro 16 Oktober 2009
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

PENJUALAN lagu secara digital sama ada menerusi Internet mahupun nada dering bukan perkara baru dalam bidang muzik tempatan dan antarabangsa. Berbeza dengan penjualan album yang belum mencatat jualan memberangsangkan, penggunaan digital turut menjadi sumber pendapatan kepada penyanyi serta komposer terbabit.

Melihat kepada potensi Internet sebagai platform penjualan lagu dengan meluas merangkumi perhubungan antarabangsa, satu portal muzik yang dikenali 2crank.com diperkenalkan. Portal ini yang boleh dilayari menerusi laman web di www.2crank.com menyediakan perkhidmatan muat turun dan muat naik lagu untuk dipaparkan kepada semua pengguna.

Komposer, Fauzi Marzuki yang bertindak sebagai perunding portal ini menyatakan matlamat membangunkan kemudahan ini untuk menarik minat ramai komposer sama ada profesional atau amatur untuk menjual dan membeli pelbagai lagu. Sejak diperkenalkan sebulan lalu, portal ini menarik minat lebih 1,500 ahli yang berdaftar.

Katanya, banyak kelebihan yang diperoleh menerusi portal ini apabila komposer berpeluang menjual lagu mereka kepada umum untuk meraih keuntungan manakala mereka yang berminat pada sesebuah lagu juga boleh membeli secara muat turun dengan mudah. Setiap lagu dikenakan bayaran AS$0.50 (RM1.80).

"Portal ini memudahkan pengguna untuk mencari lagu penyanyi yang mereka suka. Malah, peluang ini terbuka kepada komposer baru yang turut dikenali sebagai komposer indie untuk memasarkan lagu baru mereka kepada khalayak.

"Bagi menentukan sama ada lagu itu bukan ciplak, kami mempunyai empat mentor yang diketuai saya sendiri bertanggungjawab meneliti setiap lagu yang dimuat naik adalah karya asli. Mentor ini terdiri daripada komposer berpengalaman yang akan menentukan lagu itu boleh dijual atau sebaliknya.

"Sebenarnya lagu yang mengambil lapan bar pada melodi asal sesebuah lagu, ia masih boleh dianggap sebagai karya baru jika diadun semula dengan melodi lagu lain. Jika diikutkan komposer terkenal juga mengambil sedikit melodi lagu lain sebelum ia diolah mengikut kreativiti sendiri untuk mencipta lagu baru.

"Pada saya, tidak timbul soal ciplak lagu menerusi portal ini kerana jika ia berlaku, penjualan lagu itu akan diberhentikan serta-merta. Untuk satu lagu yang dimuat naik, ia akan terus dijual, tetapi mentor akan meneliti lagu berkenaan," katanya.

Berdasarkan kajian ketika proses merangka portal ini yang mengambil masa setahun manakala pembikinan perisian pula dibuat dalam jangka masa enam bulan, Fauzi mendapat respons positif daripada segelintir komposer indie yang berminat untuk memasarkan lagu mereka di portal ini. Katanya, setiap lagu yang dinyatakan dalam portal ini akan disenarai mengikut ranking yang mempunyai maklumat jumlah dimuat turun serta komen komposer mahupun syarikat rakaman yang berminat untuk membeli.

Fauzi menyatakan matlamat untuk menarik minat 50,000 ahli di seluruh dunia dalam tempoh setahun portal ini beroperasi manakala 10,000 ahli di negara ini untuk tempoh sebulan. Sebagai permulaan, portal ini mensasarkan pengguna dari negara Asia seperti Indonesia, China dan India.

Bagi M Nasir, dia menyokong pelaksanaan portal ini yang dijangka menarik lebih ramai komposer baru yang berbakat untuk menjual karya mereka. Katanya, dia juga berminat menghantar lagunya menerusi portal ini dan berharap ia menjadi platform pada pencarian lagu baru dengan lebih mudah.

"Portal ini mewujudkan peluang kepada ramai komposer untuk menjual lagu mereka. Apa yang kita lihat, Internet menjadi medium untuk pengguna mendapatkan lagu dengan mudah.

"Ini menjadi percubaan yang bagus untuk perkembangan bidang muzik tanah air. Mungkin juga komposer berpeluang mendapat untung lebih menerusi penjualan lagu sebegini.

"Sama ada lagu itu bermutu atau tidak, itu bukan soalnya. Apa yang penting, makin banyak lagu dalam portal ini ia memberi kemudahan kepada sesiapa untuk mendapatkannya termasuk mencipta album dengan cepat.

"Saya berharap portal ini memberi galakan kepada komposer baru yang berminat untuk berkarya," katanya.

Pandangan yang sama dikongsi komposer Johan Nawawi yang berharap portal ini tidak disalah guna pihak tertentu untuk mengambil karya komposer lain sebagai karya sendiri. Katanya, komposer harus menunjukkan kreativiti sendiri untuk mendapatkan lagu yang berkualiti.

"Sepatutnya portal ini dimanfaat dengan baik dan digunakan dengan bijak. Saya percaya ramai komposer berminat untuk turut serta dan ini memberi keuntungan pada kedua-dua pihak sama ada komposer dan pengendali perisian ini," katanya.

Pelancaran portal berkenaan diadakan di Bentley Music, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Rank Production merangkap pengasas 2crank.com, Mohamad Hazmi Yacob

Tiada ulasan: