petikan Berita Harian 14 Mei 2009
Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
Aktiviti muat turun lagu melegakan penyanyi ketika pasaran album tidak untung
SEJAK sekian lamanya, penyanyi tidak kira di mana saja bergantung harap kepada jualan album sebagai sumber pendapatan utama mereka. Malahan ia juga menjadi penanda aras kepada penerimaan peminat terhadap lagu yang dinyanyikan.
Pernah satu ketika dulu, penyanyi menarik nafas lega apabila jualan album mencecah ratusan ribu unit sehingga diberi pelbagai anugerah seperti platinum sekali gus melambangkan persaingan cukup hebat bagi melahirkan album berkualiti.
Senario itu kini berubah secara mendadak apabila penyanyi yang cukup terkenal dan memenangi pelbagai anugerah dalam industri seni hanya mampu menjual album mereka dalam kuantiti yang sangat sedikit, malah merangkak untuk mencecah angka 10,000 unit lantaran akses mudah untuk memuat turun lagu dalam bentuk MP3 di internet.
Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dunia hiburan diselamatkan oleh kegilaan orang ramai yang mahu telefon bimbit mereka lebih canggih dengan menggunakan nada dering pemanggil iaitu satu sistem yang membolehkan pemanggil tidak lagi mendengar bunyi deringan biasa tetapi dihiburkan dengan lagu sementara menunggu panggilan dijawab.
Dengan seramai lebih 27 juta pengguna talian mudah alih (5.5 juta pengguna talian pasca bayar dan 21.5 juta pengguna talian prabayar), pastinya ia membuka peluang lebih besar kepada pelbagai pihak untuk mengaut keuntungan dengan penawaran pakej nada dering pemanggil itu.
Menurut sumber beberapa syarikat telekomunikasi dan rakaman, daripada jumlah itu, kebanyakan pengguna talian mudah alih yang melanggan perkhidmatan itu mempunyai secara purata dua lagu sebagai nada dering pemanggil.
Justeru, tidak menghairankan jika ada artis seperti Aizat mampu memperoleh pendapatan melebihi RM500,000 dalam tempoh tak sampai setahun hasil muat turun lagu Hanya Kau Yang Mampu oleh hampir 1.2 juta pemilik talian mudah alih.
Pengurus Kanan Metadome Sdn Bhd, KC Ismail, berkata kemunculan teknologi baru itu nyata memberi nafas baru serta menyelamatkan penyanyi berikutan fenomena jualan album yang merudum teruk sejak kebelakangan ini.
Katanya, ada penyanyi popular di bawah kendaliannya hanya berjaya meraih jualan album tidak sampai 5,000 unit sekali gus langsung tidak mendatangkan keuntungan apa-apa kepada penyanyi mahupun syarikat rakaman yang menguruskannya.
Oleh itu, katanya, menerusi nada dering pemanggil, kumpulan seperti 6ixth Sense mampu meraih jumlah muat turun sehingga 300,000 pelanggan, malah menurut data yang dikeluarkan Universal Music, lagu kumpulan itu berjudul Tanpa dan Tak Bisa Memilihmu mempunyai lebih 400,000 langganan.
“Kumpulan 6ixth Sense memang terkenal dan lagunya pun meletup. Namun, berdasarkan jualan album, angka yang diperoleh sangat mengecewakan. Tak untung langsung. Sekurang-kurangnya, dengan teknologi baru ini, mereka ada sumber lain selain membuat persembahan pentas.
“Malah, dikhabarkan penyanyi seperti Vagetoz di Indonesia berupaya memperoleh jumlah muat turun melebihi enam juta langganan sekali gus memberi gambaran ia adalah satu fenomena yang sangat menguntungkan artis sekiranya lagu mereka digemari ramai orang,” katanya.
Namun, katanya, tidak semua penyanyi memperoleh keuntungan lumayan meskipun lagu mereka mendapat langganan di luar jangkaan kerana sistem pembahagian keuntungan yang diamalkan ketika ini masih berdasarkan modul lama iaitu hanya antara lapan hingga 12 peratus royalti kepada syarikat rakaman diagihkan kepada mereka.
“Misalnya, daripada RM3 yang diperoleh daripada bayaran untuk langganan kali pertama, 50 hingga 60 peratus akan diambil oleh syarikat pengendali talian mudah alih, dan hanya lapan peratus daripada bakinya akan diberi kepada penyanyi.
“Jika jumlah langganan sebanyak 100,000, penyanyi hanya akan memperoleh sekitar RM8,000 hingga RM10,000 saja. Itupun bergantung kepada syarikat telekomunikasi yang terbabit. Ada syarikat yang hanya membayar untuk kali pertama dan tiada bayaran kepada penyanyi setiap kali pengguna memperbaharui langganan. Setakat ini, hanya Maxis yang membayar untuk setiap bulan selagi pengguna memperbaharui langganan untuk lagu yang sama.
“Justeru, adalah lebih menguntungkan jika penyanyi itu mengurus sendiri lagunya dan memiliki hak sepenuhnya atas lagu itu. Dengan cara itu, pendapatannya memang diakui lebih lumayan,” katanya.
Berkenaan genre lagu yang paling mendapat sambutan untuk dijadikan nada dering pemanggil, KC Ismail berkata, lagu berirama pop dan balada selain mempunyai korus yang mantap lebih mudah menembusi pasaran.
Berdasarkan rekod syarikat itu, 10 lagu kendaliannya yang menerima jumlah langganan tertinggi ialah Tanpa (6ixth Sense), Cinta Yang Sempurna (6ixth Sense dan Noe), Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah), Bawaku Terbang (The Fabulous Cats), Terima Kasih Cinta (Afgan), Selamat Ulang Tahun Sayang (Imran Ajmain), Pesawat (Mirage), Pada Cintanya (Siti Nurhaliza), Hello (Farah Asyikin) dan Sujud (Mawi dan KRU) yang menerima jumlah langganan antara 100,000 hingga 300,000.
Rekod yang dicatatkan oleh Warner Music pula menunjukkan lagu Zakiah nyanyian Jinbara mencatat langganan sebanyak 521,322 sekali gus menjadi lagu paling popular di bawah kendalian syarikat itu diikuti Mantera Beradu (Malique dan M Nasir), Farhana dan Patri (Jinbara), AEIOU dan 2 x 5 (Ahli Fiqir) dan Gadis Melayu (Jamal Abdillah).
Di bawah kendalian Universal Music pula, paling cemerlang ialah Aizat dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu apabila mencatat jumlah langganan di luar dugaan iaitu sebanyak 1.2 juta diikuti lagu Bila Aku Sudah Tiada nyanyian kumpulan Hujan (500,000), Lelaki Ini nyanyian Anuar Zain (500,000), dan Kisah Tak Sempurna nyanyian Samsons (300,000).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan