petikan Harian Metro 10 Mei 2009
Oleh Adam Salleh
APABILA Aizat meneriak ‘gilerlah’ pada malam Anugerah Industri Muzik Ke-16 (AIM16), pasti pelbagai persepsi timbul. Pengacara malam kemuncak, Afdlin Shauki sempat mengajuk perkataan gila Aizat itu bagi mencetuskan humor.
Ada positif, tidak terkecuali negatif kerana apakah dimaksudkan Aizat dengan gila itu? Ikut akal mudah, gila bagi Aizat tidak masuk akal. Saya percaya sebagai artis baru, Aizat bintang kian menyinar ini seperti tidak menyangka dia meraih anugerah Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki).
Saingannya pula bukan calang-calang artis, ada Bob AF dan Reshmonu, tetapi dalam usia 20 tahun Aizat dapat menewaskan mereka, walhal ketika berusia 11 tahun, dia cuma penonton AIM di PWTC bersama ayahnya.
Persepsi saya terhadap perkataan Aizat itu pula mencakupi sudut berbeza. Sememangnya saya juga terasa seperti ‘gila’ memikirkan di kalangan pemenang di pentas cuma bercakap terima kasih, terima kasih, terima kasih.
Cubalah diamati tatkala Misha Omar meraih kategori Album Pop Terbaik, dia cuma diberi peluang mengucapkan terima kasih berulang kali, begitu juga M Nasir hanya terima kasih terdaya diucapkan.
Orang lama seperti M Nasir yang boleh kita labelkan sebagai tokoh seni sepatutnya diberikan lebih masa untuk kita kutip pengalaman daripadanya.
Bukan maksud saya mahu menempelak M Nasir, Misha atau Aizat, cuma sebagai orang media, tidak pun letak diri saya sebagai penonton biasa pada malam itu, sama ada di Dewan Merdeka atau di televisyen, penyanyi juga komposer pujaan saya yang sekian lama menyokong kerjayanya cuma bercakap terima kasih.
Acapkali bila hadir pada majlis anugerah yang sewaktu dengan AIM, saya tertanya-tanya hakikat anugerah itu diadakan sebenarnya untuk siapa? Untuk kita selaku penonton juga pembaca, untuk pengacara yang menceriakan majlis atau untuk artis undangan yang menghangatkan majlis?
Kita faham, majlis anugerah yang disiarkan secara langsung, waktunya terbatas. Justeru, bagi mengelak artis yang menerima anugerah itu terbabas, pengacara bertindak ‘menebas’ kata-kata.
Di sebaliknya, kita mudah terlepas pandang apa juga dinamakan anugerah, hakikat majlis diadakan adalah untuk pemenang. Melalui peluang diperoleh, itulah masanya untuk setiap pemenang, sama ada penyanyi atau pelakon, mula berkongsi emosi dengan kita pahit getir dilalui sebagai insan seni sebelum merangkul anugerah.
Siapa tahu pada malam AIM16 tempoh hari, Aizat mahukan generasi baru bersemangat waja sepertinya. Sekalipun tidak muncul juara AF dengan tubuhnya yang berisi dulu, namun berkat kegigihan serta tidak mudah mengaku kalah, Aizat membuat ‘post mortem’ untuk penjenamaan semula Aizat yang baru.
Malangnya dia tiada peluang berkongsi rasa, bagaimana ranjau anak seni, kerana tidak diberi peluang untuk bercakap, lalu jalan paling mudah untuk diluahkan ialah “gilerlah.”
Bukan mahu menunjuk pandai, tetapi tenaga produksi AIM yang diterajui sahabat lama saya, Jennifer Thompson mungkin boleh memikirkan cara bagaimana pemenang boleh berkongsi sejenak emosi mereka.
Sebabnya, melalui AIM16 minggu lalu, saya lihat banyak elemen yang merugikan masa, sekali gus mengabaikan pemenang, di antaranya apa perlu dalam satu majlis anugerah sampai tiga pengacara?
Selain Afdlin, dua pengacara lagi Bob Lokman dan Adibah Noor tidak boleh dipertikaikan kemampuan mereka. Intro mereka untuk membuka majlis sudah cukup untuk membuatkan kita terbahak, tetapi selaku tenaga produksi harus diingat jika sudah ada tiga pengacara, berapa banyak masa yang kita rugi?
Mungkin selepas ini sama ada Afdlin, Bob dan Adibah boleh kendalikan AIM secara solo, tidak mustahil sebab ketiga-tiganya bukan setahun jagung, kalau tidak majlis diadakan cuma dua pengacara.
Penganjur mahu menjimat masa tetapi pada kategori Anugerah Wirama, visual Habsah Hassan dipaparkan di dalam dewan dengan pelbagai kata-kata hikmahnya, tiba masa mengambil anugerah Habsah diberi bercakap lagi. Lebih elok selepas itu, jika sudah ada visual tidak perlu ada ucapan lagi.
Satu hal lagi yang saya rasa seperti membazir masa dalam majlis anugerah ialah terlalu ramai artis undangan mengadakan persembahan. Umpamanya di AIM16 tempoh hari, ada M Nasir, Datuk Sheila Majid, Rossa, Faizal Tahir, Nikki, Dina, Ayu, Shila, Joe Fillzow, Chakra Sonik dan Goldkartz.
Lalu saya tertanya-tanya, selaku penganjur kita nak tengok anugerah atau konsert? Bukan tidak boleh ada artis persembahan, tetapi agak-agak sikit majlis anugerah sudah menjadi seperti konsert.
Nak tengok konsert ‘free’ orang ramai pun sudah boleh duduk terpacak kat Jom Heboh tiada siapa menghalang. Seperkara yang tidak enak didengar telinga bila artis selaku pemenang dalam mana-mana anugerah yang kita tahu taraf profesionalisme mereka, hakikatnya seperti kanak-kanak di bangku sekolah rendah apabila pengacara selaku guru disiplin minta jangan membuat bising tetapi ucapkan terima kasih saja dan kita sebagai penonton hanya bertepuk tangan tetapi tidak mendapat apa-apa kata-kata hikmah daripada pemenang.
ADAM: Anugerah sekadar retorik?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan