Khamis, Mei 28, 2009

Program khas bantu artis gawat

petikan Berita Harian 28 Mei 2009
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Karyawan wujud pangkalan data lagu baru

USAH dipedulikan lagi masalah krisis ekonomi yang melanda dunia hari ini kerana jika kebimbangan itu sentiasa bermain di minda, nescaya semuanya yang dirancang tidak akan menjadi.

Menjurus kepada industri hiburan hari ini, pelbagai cara masih lagi boleh dilakukan karyawan tempatan untuk meneruskan perjuangan dan kesinambungan industri muzik kita agar tidak terus terkubur.

Masih ramai lagi artis, terutama yang baru menapak di dalam industri ini, gentar untuk menghasilkan album memandangkan kos untuk menghasilkan album penuh memerlukan modal yang besar, paling tidak pun RM50,000 bagi satu album.

Bakat sudah dikesan namun ke mana haluan harus dibawa untuk kerjaya sebagai penyanyi sekiranya tidak ada pihak yang berminat untuk mengambil tahu perihal artis baru ini.

Dalam diam, rupa-rupanya Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sebenarnya sudah memasang strategi untuk membantu artis tanah air yang masih terkejut dengan masalah yang melanda sehingga menjejaskan ekonomi dunia.

Melalui program yang dipanggil Program Artis, Komposer dan Single, artis sama ada baru atau lama serta komposer dapat terus berkarya.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, objektif utama untuk menyemarakkan kembali industri hiburan melalui program yang bakal dilaksanakan ini akan memberi banyak manfaat kepada semua pihak.

“Karyawan sentiasa memikirkan apakah yang akan dilaksanakan untuk terus membantu industri hiburan hari ini. Program ini berupa satu usaha mengumpul seberapa banyak karya daripada komposer profesional yang bernaung di bawah biro komposer kita.

“Kita akan menggalakkan komposer tempatan menghasilkan seberapa banyak karya untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data Karyawan. Kita juga menggalakkan komposer baru untuk terbabit sama dalam program ini.

“Namun semua karya yang dihasilkan komposer akan dinilai panel profesional bagi memenuhi kualiti dan piawaian yang diperlukan stesen televisyen dan radio sebelum dimasukkan ke dalam pangkalan data Karyawan,” katanya yang akan membahagikan beberapa genre muzik di dalam pangkalan data itu.

Antara komposer yang bakal terbabit dalam program ini diketuai oleh M Nasir, Aidit Alfian, Aznan Alias, Tam (Spider), Ajai, Ad Samad dan Neves (Pretty Ugly).

Tujuan Karyawan mengumpul seberapa banyak karya dari komposer adalah untuk memberi laluan mudah kepada artis terutama artis baru yang ingin memulakan langkah pertama sebagai penyanyi.

“Kita menyedari ramai artis baru yang ingin merakamkan lagu tetapi tidak mempunyai modal untuk berjumpa dengan komposer dan memulakan proses rakaman. Caranya kini mudah, artis harus menjadi ahli kepada Karyawan dan dia bebas memilih lagu mengikut kehendaknya melalui pangkalan data yang kita sediakan.

“Melalui program ini, Karyawan menyediakan kesemua kemudahan untuk penyanyi bermula menghasilkan lagu sehingga mempromosikan di stesen radio dan TV. Namun mereka harus membayar kos penerbitan dengan nilai yang paling rendah daripada kos yang dikenakan di luar.

“Kita turut menyediakan kontrak kerjasama ini agar tidak ada pihak yang akan tertipu dan saya amat yakin dengan cara ini keselamatan komposer dan penyanyi akan lebih terselamat,” katanya yang menetapkan kos minimum sebanyak RM6,000 bagi satu single.

Pelaburan jangka panjang ini juga akan dirancang dengan teliti untuk melaksanakan pelbagai agenda seterusnya.

“Menerusi lagu yang sudah diterbitkan ini juga kita akan memperkenalkan lagu ini melalui muat turun telefon yang dapat menjana pendapatan penyanyi dan komposer secara berterusan.

“Selain itu apa yang kita nampak sebaik RTM memperkenalkan muzik aktif yang boleh disaksikan di saluran 180 Astro, banyak peluang yang boleh diambil oleh artis sekiranya mereka menghasilkan lagu bersama video klip. Kita mempunyai hubungan yang baik dengan RTM dan mereka turut memerlukan bahan yang baru dari artis tempatan untuk disajikan kepada penonton.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim dalam masa terdekat ini bagi membincangkan masalah industri kita. Peluang inilah yang harus diambil oleh artis untuk memasarkan bakat mereka,” katanya yang akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini untuk memperkenalkan Program Artis Komposer dan Single.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi terus pejabat Karyawan di talian 03-79552967 atau melayari laman web karyawan www.karyawan.com.my.

Khamis, Mei 21, 2009

10 lelaki peneraju

* Berikut adalah petikan temu bual bersama M Nasir yang telah disiarkan dalam artikel bertajuk "10 lelaki peneraju" dan diterbitkan dalam majalah GLAM LELAKI 4 2009. Personaliti lain yang turut ditemu bual adalah Ahmad Izham Omar,Tengku Farid Rithaudeen, Freddie Fernandez, Kenneth Wong, Amin Hussein,Andrew Abishegam, Al Hardy Fakharuddin, Bob Chua, dan Dato Bernard Chandran.
Teks Zuraidah Hussein, Jaja Anuar
Gambar : Bustamam Mokhtar/White Studio

M NASIR - PENGARAH URUSAN LUNCAI EMAS
PENYANYI, KOMPOSER, PRODUSER, PELAKON DAN PENGARAH FILEM. NAMA BESAR DALAM INDUSTRI MUZIK, M. NASIR DIANGGAP SIFU OLEH ANAK DIDIKNYA DAN TEMAN ARTIS LAIN.

Bagaimana anda mengukur suatu kejayaan?
Kejayaan bagi saya bergantung pada bidang yang anda ceburi. Bila sampai waktunya anda boleh mengukur sendiri hasil yang diperolehi. Seperti kepuasan artistik, penerimaan ramai terhadap muzik yang diperjuangkan dan sejauh mana anda memberi inspirasi untuk maju ke depan.

Adakah wang menjanjikan kuasa?
wang boleh merubah persepsi pada diri.Wang boleh dijadikan bahan perjuangan dan lebih daripada itu. Dan apabila wang bergabung dengan kuasa, ia adalah normal

Halangan dan cabaran yang dihadapi untuk sampai ke tahap ini?
Saya seorang yang tidak cepat mengalah dan percaya pada benda yang baru. Saya seorang yang bercita-cita tinggi dan tipu lah kalau saya katakan saya tidak menghadapi sebarang halangan tetapi saya jenis tidak dan terlalu memikirkannya. Go with the flow.

Bagaimana anda menyediakan diri kala berhadapan dengan krisis. (kerja atau peribadi)?
Dalam perniagaan, ada falsafah yang perlu diikuti. Seperti Matematik, jika kita ikut formula, ` pasti kita akan dapat cari penyelesaiannya. Percaya pada naluri dan gerak hati juga percaya pada Tuhan.

Sebagai ketua, bagaimana anda menguruskan pekerja bagi mengerakkan syarikat ke hadapan? Apakah tip atau motivasi kepada mereka?
Saya sering tekankan perihal komunikasi. Dalam industri muzik terlalu banyak - bersangkut paut dengan emosi. Bila ada emosi, ego pula memuncak. Sebagai ketua, saya perlu tahu bagaimana hendak mengawal situasi sebegini. Bagaimana hendak memahami perasaan orang' lain dan bila perlu bertindak.

Insan yang menjadi inspirasi atau yang dikagumi.
Bagi saya tiada istilah `influential figure'. Contohnya, saya mengagumi Bob Dylan. Saya, gemar akan suaranya tetapi saya tidak kenal dia. Yang saya tahu hanya hanya luaran sahaja.

Nasihat terbaik yang pernah diterima
Kritikan ialah suatu nasihat yang baik. Ia menjadikan anda lebih kuat.

Falsafah/moto hidup anda?
Hidup penuh dengan dugaan dan cabaran. baru anda dapat mencapai matlamat yang diidamkan. Seperti pemain bola sepak. Berada di padang dan menonton televisyen sesuatu yang berlainan. Bila di padang pandangannya terhad. Hanya boleh pandang kiri, kanan, depan dan belakang. Sedangkan mereka yang menonton televisyen boleh melihat semua pandangan dari sudut berbeza. Anda yang patut tentukan sebarang keputusan.

Tiga perkataan yang mengambarkan diri anda?

Kelakar, determine dan penyayang.

Jumaat, Mei 15, 2009

Muat turun lagu lebih untung

petikan Berita Harian 15 Mei 2009
Oleh Azrul Affandi Sobry
azrul@bhnews.com.my

Penyanyi Indonesia turut ambil kesempatan popularkan lagu mereka di negara ini

PENERBITAN album menerusi cakera padat (CD) pada masa akan datang hanya menjadi salah satu kaedah promosi untuk memperkenalkan lagu kepada pendengar bagi meningkatkan jumlah pelanggan nada dering pemanggil lantaran ia dikatakan lebih berpotensi memberikan lebih banyak keuntungan kepada penyanyi atau pemuzik.

Realiti itu diakui oleh penyanyi muda kelahiran rancangan realiti Akademi Fantasia (AF), yang mendapat langganan tertinggi di negara ini ketika ini menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu, Aizat apabila menyatakan kesanggupan untuk memberi album secara percuma kepada peminat demi melonjakkan populariti sesuatu lagu.

Katanya, fenomena ketika ini yang menunjukkan kemerosotan ketara dalam jualan album selain dalam masa yang sama peningkatan mendadak kutipan jumlah muat turun nada dering pemanggil seakan-akan satu isyarat jelas bahawa ia bakal menjadi sumber pendapatan lain di kalangan penyanyi.

Lagu dendangannya yang diuruskan syarikatnya sendiri, Kasi Gegar Sdn Bhd sudah mencatat jumlah langganan melebihi 1.2 juta sejak dilancarkan untuk muat turun pada Jun 2008, membolehkan Aizat memperoleh royalti lebih RM500,000 dalam masa kurang daripada setahun.

“Pasaran jualan CD yang sangat perlahan ketika ini tidak menggalakkan penyanyi melahirkan album tetapi dengan kemunculan teknologi baru ini (muat turun) ia seakan-akan menjadi penyelamat kepada penyanyi untuk memperoleh pendapatan selain mengadakan persembahan pentas.

“Ia juga membolehkan penyanyi tidak terlalu berharap menghasilkan album. Cukup dengan satu lagu ‘single’, penyanyi boleh menjualnya dan memperoleh keuntungan daripada hanya satu lagu. Namun, lagu itu mesti benar-benar kuat dan saya beruntung kerana mendapat lagu yang berkualiti dan mendapat sambutan.

“Perolehan melalui kaedah muat turun lebih ketara dan mudah kerana hampir setiap orang dalam negara ini mempunyai telefon bimbit dan ramai yang gemar menggunakan nada dering pemanggil. Jadi, mungkin selepas ini, penghasilan album hanya sekadar sebagai promosi untuk mendapat lebih ramai pelanggan nada dering pemanggil,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Bagi vokalis kumpulan Jinbara, Shamsul Bakhtiar Zakaria atau Tia pula menyifatkan kemunculan teknologi baru itu nyata menguntungkan ramai pihak terutama penyanyi yang selama ini sangat tertekan lantaran pasaran jualan CD jatuh merudum.

“Sebelum ini, teknologi itu tidak menyebabkan kami sekadar bergantung harap kepada jualan cakera padat dan persembahan pentas. Kini, pendapatan itu bertambah dan ramai pihak sudah boleh menarik nafas lega.

“Maklumlah, kini jika boleh jual 10,000 unit CD sudah dikira cukup hebat sedangkan jumlah sebanyak itu hanya cukup untuk membayar kos penerbitan dan tak banyak untung kepada penyanyi.

“Royalti yang diterima untuk jualan album dan muat turun ini sama jumlahnya. Jadi, penyanyi tidak perlu susah sangat seperti dulu untuk menghasilkan album. Cari saja satu lagu yang baik, cukup. Tak payah buat album penuh. Diakui ia sudah menjadi pendapatan utama berbanding jualan CD,” katanya.

Malah, menurut Tia, konsep muat turun lagu untuk nada dering pemanggil juga membolehkan satu lagu dipecahkan kepada dua hingga tiga jenis nada seperti nada permulaan lagu, korus dan rangkap lain sekali gus menambahkan lagi peluang lagu itu untuk mendapat lebih langganan.

Namun, katanya, di sebalik kelebihan itu, ia juga menyebabkan penyanyi tidak lagi berasa kepuasan seperti satu ketika dulu di mana penghasilan album menjadi sesuatu yang sangat dibanggakan serta dinantikan semua pihak iaitu penyanyi, penerbit, pencipta lagu dan penulis lirik.

Ketua kumpulan dan pemain gitar utama kumpulan 6ixth Sense, Gjie pula berkata peranan radio yang kerap memainkan lagu seseorang penyanyi menjadi faktor utama sesebuah lagu itu ‘meletup’ dan diminati ramai orang.

Selain itu, kekerapan lagu itu dimainkan apabila menjadi lagu tema sesebuah drama selalunya menjadikan lagu itu lebih mesra di telinga pendengar sekali gus melonjakkan populariti lagu berkenaan.

Katanya, seperti lagu Tanpa menjadi sangat popular dan melonjak dalam senarai lagu muat turun terbanyak apabila digunakan sebagai lagu tema dalam drama Cinta Untuk Ain sedangkan lagu itu sudah ada sejak 2007.

“Kalau nak diikutkan, kumpulan 6ixth Sense tidaklah sehebat kumpulan lain seperti Meet Uncle Hussein, Hujan atau Jinbara tetapi dengan peluang menjadi lagu tema itu, lagu kami menerima langganan antara tertinggi sedangkan lagu itu pun tidaklah popular sangat.

“Orang ramai pun tak kenal anggota kumpulan kami. Album yang dikeluarkan sebelum ini pun tak laku sangat, malah tak pulang modal pun,” katanya.

Hujan terkejut lagu cecah 500,000 langganan

NAMUN di sebalik semua pandangan yang nyata gembira dengan perkembangan sihat dalam dunia hiburan itu, pengurus merangkap pemain keyboard kumpulan Hujan, Dimas pula berpendapat teknologi baru itu memang boleh mendatangkan keuntungan kepada penyanyi jika tidak ditipu syarikat rakaman yang menguruskannya.

Dia dan anggota kumpulannya yang ditemui di Berita Harian baru-baru ini terkejut apabila diberitahu wartawan bahawa jumlah muat turun untuk lagu mereka, Bila Aku Sudah Tiada sudah mencecah lebih 500,000 langganan.

“Jika awak tak beritahu, kami pun tak tahu. Memang sejak lagu itu di pasaran pada 2007 kami belum pernah menerima sebarang bayaran. Mungkin selepas ini bayaran itu akan diperoleh dan kami harap ia memang ada.

“Meskipun belum dibayar, namun saya akui bahawa fenomena baru ini memang menguntungkan dan banyak menyelamatkan penyanyi. Kalau nak harapkan jualan album, berapa sangat yang kami dapat. Album Hujan pun hanya terjual sekitar 6,000 unit saja. Nasib baik sudah pulang modal.

“Ia juga menjadi penanda kepada satu revolusi baru iaitu mungkin satu hari nanti album hanya sebagai kit untuk perkenalan lagu. Jika lagu, lirik dan melodinya kuat, ia boleh dipromosikan untuk muat turun. Lagi untung,” katanya.

Melihat kepada senario semasa itu, Dimas berkata, tak menghairankan apabila dikhabarkan ada penyanyi di Indonesia yang sanggup membayar kepada syarikat penerbitan drama atau filem untuk menggunakan lagu mereka sebagai lagu tema semata-mata untuk melonjakkan populariti sesebuah lagu.

Bagi komposer, penyanyi dan pelakon terkenal, M Nasir pula berpendapat teknologi muat turun adalah petanda industri muzik sudah berganjak kepada satu arus pembaharuan baru yang beredar mengikut zaman.

“Diakui memang ramai yang untung dengan kemunculan teknologi itu tetapi ada juga yang tidak meraih sebarang keuntungan. Setakat ini saya belum nampak lagi ia benar-benar membawa impak dalam industri hiburan.

“Memang ada kebaikannya iaitu apabila penyanyi tak perlu lagi bersusah payah melahirkan album. Buat saja lagu ‘single’, sudah boleh jual. Apatah lagi dunia kini mahukan sesuatu yang pantas dan muat turun adalah kaedah paling tepat untuk semua,” katanya.

Penyanyi rock terkenal, Hattan pula melihat perkembangan senario terkini itu lebih menguntungkan artis yang bijak menggerakkan sendiri produknya tanpa perlu bergantung kepada syarikat rakaman.

“Tengok Aizat. Ia contoh yang baik. Apabila semuanya diuruskan sendiri, untungnya lebih berlipat ganda. Macam saya, adalah tiga bulan sekali menerima bayaran daripada muat turun tetapi jika nak bandingkan jualan album, kaedah ini jauh lebih menguntungkan,” katanya.

Khamis, Mei 14, 2009

Penyanyi tiada eksklusif!

petikan Kosmo 14 Mei 2009
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

Isu ketiadaan penganjur yang mahu menganjur konsert penyanyi tempatan sudah lama mencengkam dunia muzik tempatan. Namun, apabila konsert berbayar tempatan yang boleh dibilang dengan jari itu hanya membabitkan penyanyi yang sudah lama bertapak dalam dunia seni, polemik timbul mengenai status daya tarikan penyanyi masa kini.
Salah penganjur, artis tiada kualiti atau masyarakat semakin kedekut? Isu ketandusan konsert berbayar penyanyi tempatan tidak pernah bertitik noktah. Isu tersebut tidak pernah diam untuk dibangkitkan bukan sahaja oleh golongan penyanyi tetapi juga pihak penganjur dan peminat muzik sendiri.

Apa yang sering kedengaran daripada mulut penyanyi dan penganjur, tiada penaja yang mahu membantu.

Adakah penganjur konsert tidak ambil endah dengan penyanyi tempatan masa kini kerana beranggapan mereka tidak mencapai standard seperti penyanyi yang sudah ada nama dan berpengalaman membuat konsert besar-besaran sebelum ini?

Sungguhpun isu tersebut selalu sahaja dibangkitkan, pihak yang terlibat sering menuding jari antara satu sama lain, namun penyelesaiannya tidak juga muncul.
PENYANYI perlu ada aura eksklusif yang tersendiri bagi menarik peminat menyaksikan persembahan mereka pada sesebuah konsert berbayar.

Jika diamati sekarang ini, konsert penyanyi tempatan boleh dikira dengan jari dan kebanyakan konsert hanya dijayakan oleh penyanyi yang sudah ada nama itu. Walaupun begitu, tidak semua konsert tersebut mengaut keuntungan, sebaliknya hanya kerugian yang terpaksa ditanggung oleh penganjur.

Timbul persoalan, ke manakah hilangnya daya tarikan penyanyi masa kini yang sering menang pelbagai anugerah berprestij dan sering diundi sebagai artis paling popular oleh peminat. Mereka popular tetapi kenapa mereka seperti tiada daya tarikan untuk menggamit peminat menonton konsert berbayar mereka?
AMY berharap konsert berbayar kembali hidup dalam dunia muzik tempatan.

Kenapa mereka tidak mampu mewujudkan kembali kegemilangan konsert berbayar gergasi penyanyi tempatan seperti pada era 80-an dan 90-an antaranya yang membabitkan Search, Wings, Ella, Zainal Abidin dan Sheila Majid?

Dalam kesuraman yang mencengkam, pentas konsert tempatan mula menunjukkan sinar apabila kumpulan Search kini sedang mengadakan konsert jelajah Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru. Ia secara tidak langsung mengaktifkan semula konsert berbayar gergasi yang selama ini 'mati' di negara ini.

Mungkinkah selepas kebangkitan Search, lebih banyak penyanyi tempatan lain mempunyai peluang yang serupa pada masa akan datang? Namun, adakah konsert Search itu menjadi konsert berbayar penyanyi tempatan yang terakhir?

Tiada lagi artis berkualiti

Berkongsi pandangan mengenai polemik tersebut ialah orang lama dalam dunia muzik tempatan, Ali Bakar. Boleh dikatakan hanya syarikatnya, Box-Office Malaysia yang masih lagi 'hidup' sebagai penganjur konsert tempatan dan berani untuk membantu penyanyi tempatan mengadakan konsert walaupun kebanyakannya tidak membawa pulangan yang setimpal.
BLACK DOG BONE kembali muncul dengan konsert di Istana Budaya baru-baru ini.


Terbaru, Box-Office membawa Black Dog Bone untuk mengadakan konsert di Istana Budaya dari 8 hingga 10 Mei lepas.

Namun menurut Ali, demi menghidupkan semula konsert tempatan yang semakin pupus, dia sanggup 'merugikan' syarikat sendiri agar acara konsert tempatan tampak sedikit bernyawa.

Baginya, sukar untuk mencari sebab utama kepupusan konsert tempatan berbayar dan terlalu banyak 'mungkin' di benak fikirannya.

Bagaimanapun apa yang jelas, kata Ali, kualiti muzik penyanyi tempatan hari ini semakin menurun berbanding populariti yang dikecapi mereka.

"Bila buat konsert berbayar, sudah semestinya orang kena beli tiket dan orang yang nak beli tiket mesti mahu menyaksikan seorang penyanyi yang hebat di atas pentas.

"Tetapi masalahnya sekarang, tidak ramai penyanyi yang mampu mempengaruhi orang sehingga sanggup untuk beli tiket. Ini kerana masyarakat kita banyak 'disogok' oleh penyanyi-penyanyi yang tidak mempunyai daya tarikan untuk orang membeli tiket.

"Perlu diingat daya tarikan dan populariti adalah dua perkara yang berbeza. Mereka (penyanyi) popular kerana kontroversi yang timbul ataupun bagi penyanyi program realiti TV, mereka popular kerana sokongan dan undian peminat mereka. Tetapi adakah peminat yang mengundi ini sanggup membeli tiket untuk menyaksikan konsert mereka?

"Penyanyi yang mempunyai daya tarikan tersendiri membuatkan orang sanggup menghabiskan duit untuk menyaksikan konsert mereka. Itu yang kurang sekarang. Sampaikan saya sendiri runsing memikirkan penyanyi mana yang boleh saya anjurkan konsert dengan mempunyai penonton yang ramai," ujarnya.

Tambahnya, biarpun ramai penyanyi menerima pelbagai jenis anugerah serta mendapat liputan luas media, mereka tetap sukar menarik peminat-peminat untuk menyaksikan konsert.

"Tapi pada realitinya, mereka perlu bekerja keras untuk memberi hiburan. Hiburan itu bukan sekadar menyanyi sahaja, tetapi perlu ada aura serta daya tarikan yang kuat dalam muzik sehingga mampu membuatkan penonton 'layan' dengan lagu yang dinyanyikan

"Kadang-kadang saya kagum dengan populariti yang mereka miliki tetapi mereka sekadar popular semata-mata tetapi tidak boleh menarik seramai 20,000 hingga 50,000 penonton seperti dulu," tegasnya.

Selain kekurangan dari segi kualiti seorang penghibur, Ali juga menganggap masyarakat tempatan kurang menghargai penyanyi tempatan walaupun penyanyi itu adalah idola mereka.

Ini kerana mereka tidak perlu menghabiskan wang untuk menyaksikan konsert berbayar, sebaliknya mereka boleh menonton secara percuma di kaca TV atau pergi ke konsert-konsert percuma yang semakin berlambak.

"Penyanyi-penyanyi sekarang banyak yang keluar TV dan banyak rancangan atau konsert percuma yang mereka hadiri. Jadi, apa yang nak cerita tentang kualiti?

"Bila sudah terlalu banyak pendedahan, buat apa peminat mahu membeli tiket?

"Tetapi, masyarakat pun sekarang ini lebih suka benda-benda yang percuma ditambah pula dengan ekonomi yang kurang stabil, membuatkan mereka lebih berhati-hati mengeluarkan bajet untuk menyaksikan konsert penyanyi tempatan," ucap Ali.

Kurangkan konsert percuma

Dalam pada itu, apa pula pandangan teraju utama Search, Amy? Tatkala zaman kegemilangan konsert tempatan yang semakin hari semakin nazak, Search seolah-olah menjadi penyelamat dengan memulakan langkah pertama mengadakan konsert jelajah mereka.

Bagaimana agaknya sambutan peminat terhadap konsert Search tersebut? Ternyata daya tarikan Amy dan Search masih kuat. Beribu-ribu peminat telah membanjiri tapak konsert mereka yang baru sahaja bermula di dua lokasi iaitu di Pulau Pinang dan Johor Bahru baru-baru ini.

Satu sahaja harapan kumpulan ini, dengan mengadakan konsert jelajah ke seluruh Malaysia dapat membuka mata ramai pihak untuk memulakan semula bisnes konsert berbayar penyanyi tempatan yang suatu ketika dahulu begitu aktif.

"Memang industri muzik kita sudah lama kehilangan acara konsert berbayar. Saya harap konsert yang sedang kami jalankan ini adalah langkah pertama untuk menghidupkan konsert berbayar," ujar Amy kepada Kosmo!.

Tambahnya: "Kemudian penyanyi-penyanyi lain pula yang akan buat seperti kami. Saya harap sangat agar konsert berbayar ini tidak terhenti setakat ini.

"Baru betul orang menghargai karya kita dan sebagai peminat, mereka perlu membayar untuk menyaksikan konsert kita dan kita juga perlu bekerja keras untuk menghiburkan peminat. Itulah yang harus dipraktikkan dalam industri muzik."

Menurutnya, bagi menarik semula perhatian penonton bagi membeli tiket konsert, penganjur konsert perlu bergabung pandangan, sikap dan tindakan untuk mengurangkan konsert-konsert percuma.

"Senang sahaja, konsert percuma perlu dihapuskan. Baru peminat akan datang ke konsert penyanyi idola mereka. Selain itu, pihak penganjur juga perlu membina satu formula agar dapat menarik semula penonton membeli tiket konsert.

"Selain itu, di pihak artis pula, mereka perlu bekerja keras untuk menjadi yang terbaik dan cari formula untuk memikat hati penonton," kata Amy.

Sementara itu, pengarah konsert syarikat Art-Is Atwork Sdn. Bhd., Radin Shamsul yang juga merupakan penganjur konsert jelajah Search yang terbaru itu juga berpendapat, konsert percuma anjuran stesen TV terutamanya adalah punca kegagalan konsert berbayar penyanyi tempatan.

Menurutnya, konsert percuma itu mendapat keuntungan daripada hasil iklan yang dijual serta jualan karnival yang biasa dilakukan oleh sesebuah konsert stesen TV.

"Sebab itu mereka tidak bimbang membuat konsert percuma, ditambah pula bayaran bagi seorang artis tidak sampai RM2,000. Bila percuma, masyarakat lagi suka dan mereka boleh pilih konsert mana mereka ingin pergi tanpa mengeluarkan wang," ujar Radin.

Tambahnya, biarpun konsert Jelajah Search merupakan konsert pertama yang dianjurkan oleh Art-Is Atwork, Radin masih lagi kurang yakin untuk meneruskan penganjuran konsert penyanyi tempatan.

"Bukan penyanyi tempatan kita tidak ada kualiti. Tetapi saya takut mereka ini tidak boleh dijual kerana peminat boleh berjumpa dengan mereka di konsert-konsert percuma.

"Semestinya kami takut akan kerugian pula. Sebab itu kebanyakan penganjur konsert lebih gemar menganjur konsert penyanyi luar kerana mereka tidak dilihat di mana-mana konsert percuma.

"Bila sukar dilihat, peminat pun mesti sanggup membeli tiket untuk menonton penyanyi kesayangan mereka. Mungkin untuk memulakan langkah baru, penyanyi tempatan perlu mengurangkan persembahan di konsert percuma untuk mengekalkan hak eksklusif mereka," jelasnya.

Bagaimanapun beritahu Radin, konsert percuma masih lagi diperlukan bagi tujuan promosi lebih-lebih lagi bagi penyanyi baru, tetapi ia perlu dikurangkan.

"Walaupun konsert percuma mengugat konsert berbayar, namun ia masih perlu diadakan, cuma bilangannya perlu dikurangkan bagi tujuan promosi seseorang penyanyi," katanya.

Fenomena baru pasaran muzik

petikan Berita Harian 14 Mei 2009
Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

Aktiviti muat turun lagu melegakan penyanyi ketika pasaran album tidak untung

SEJAK sekian lamanya, penyanyi tidak kira di mana saja bergantung harap kepada jualan album sebagai sumber pendapatan utama mereka. Malahan ia juga menjadi penanda aras kepada penerimaan peminat terhadap lagu yang dinyanyikan.

Pernah satu ketika dulu, penyanyi menarik nafas lega apabila jualan album mencecah ratusan ribu unit sehingga diberi pelbagai anugerah seperti platinum sekali gus melambangkan persaingan cukup hebat bagi melahirkan album berkualiti.

Senario itu kini berubah secara mendadak apabila penyanyi yang cukup terkenal dan memenangi pelbagai anugerah dalam industri seni hanya mampu menjual album mereka dalam kuantiti yang sangat sedikit, malah merangkak untuk mencecah angka 10,000 unit lantaran akses mudah untuk memuat turun lagu dalam bentuk MP3 di internet.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dunia hiburan diselamatkan oleh kegilaan orang ramai yang mahu telefon bimbit mereka lebih canggih dengan menggunakan nada dering pemanggil iaitu satu sistem yang membolehkan pemanggil tidak lagi mendengar bunyi deringan biasa tetapi dihiburkan dengan lagu sementara menunggu panggilan dijawab.

Dengan seramai lebih 27 juta pengguna talian mudah alih (5.5 juta pengguna talian pasca bayar dan 21.5 juta pengguna talian prabayar), pastinya ia membuka peluang lebih besar kepada pelbagai pihak untuk mengaut keuntungan dengan penawaran pakej nada dering pemanggil itu.

Menurut sumber beberapa syarikat telekomunikasi dan rakaman, daripada jumlah itu, kebanyakan pengguna talian mudah alih yang melanggan perkhidmatan itu mempunyai secara purata dua lagu sebagai nada dering pemanggil.

Justeru, tidak menghairankan jika ada artis seperti Aizat mampu memperoleh pendapatan melebihi RM500,000 dalam tempoh tak sampai setahun hasil muat turun lagu Hanya Kau Yang Mampu oleh hampir 1.2 juta pemilik talian mudah alih.

Pengurus Kanan Metadome Sdn Bhd, KC Ismail, berkata kemunculan teknologi baru itu nyata memberi nafas baru serta menyelamatkan penyanyi berikutan fenomena jualan album yang merudum teruk sejak kebelakangan ini.

Katanya, ada penyanyi popular di bawah kendaliannya hanya berjaya meraih jualan album tidak sampai 5,000 unit sekali gus langsung tidak mendatangkan keuntungan apa-apa kepada penyanyi mahupun syarikat rakaman yang menguruskannya.

Oleh itu, katanya, menerusi nada dering pemanggil, kumpulan seperti 6ixth Sense mampu meraih jumlah muat turun sehingga 300,000 pelanggan, malah menurut data yang dikeluarkan Universal Music, lagu kumpulan itu berjudul Tanpa dan Tak Bisa Memilihmu mempunyai lebih 400,000 langganan.

“Kumpulan 6ixth Sense memang terkenal dan lagunya pun meletup. Namun, berdasarkan jualan album, angka yang diperoleh sangat mengecewakan. Tak untung langsung. Sekurang-kurangnya, dengan teknologi baru ini, mereka ada sumber lain selain membuat persembahan pentas.

“Malah, dikhabarkan penyanyi seperti Vagetoz di Indonesia berupaya memperoleh jumlah muat turun melebihi enam juta langganan sekali gus memberi gambaran ia adalah satu fenomena yang sangat menguntungkan artis sekiranya lagu mereka digemari ramai orang,” katanya.

Namun, katanya, tidak semua penyanyi memperoleh keuntungan lumayan meskipun lagu mereka mendapat langganan di luar jangkaan kerana sistem pembahagian keuntungan yang diamalkan ketika ini masih berdasarkan modul lama iaitu hanya antara lapan hingga 12 peratus royalti kepada syarikat rakaman diagihkan kepada mereka.

“Misalnya, daripada RM3 yang diperoleh daripada bayaran untuk langganan kali pertama, 50 hingga 60 peratus akan diambil oleh syarikat pengendali talian mudah alih, dan hanya lapan peratus daripada bakinya akan diberi kepada penyanyi.

“Jika jumlah langganan sebanyak 100,000, penyanyi hanya akan memperoleh sekitar RM8,000 hingga RM10,000 saja. Itupun bergantung kepada syarikat telekomunikasi yang terbabit. Ada syarikat yang hanya membayar untuk kali pertama dan tiada bayaran kepada penyanyi setiap kali pengguna memperbaharui langganan. Setakat ini, hanya Maxis yang membayar untuk setiap bulan selagi pengguna memperbaharui langganan untuk lagu yang sama.

“Justeru, adalah lebih menguntungkan jika penyanyi itu mengurus sendiri lagunya dan memiliki hak sepenuhnya atas lagu itu. Dengan cara itu, pendapatannya memang diakui lebih lumayan,” katanya.

Berkenaan genre lagu yang paling mendapat sambutan untuk dijadikan nada dering pemanggil, KC Ismail berkata, lagu berirama pop dan balada selain mempunyai korus yang mantap lebih mudah menembusi pasaran.

Berdasarkan rekod syarikat itu, 10 lagu kendaliannya yang menerima jumlah langganan tertinggi ialah Tanpa (6ixth Sense), Cinta Yang Sempurna (6ixth Sense dan Noe), Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah), Bawaku Terbang (The Fabulous Cats), Terima Kasih Cinta (Afgan), Selamat Ulang Tahun Sayang (Imran Ajmain), Pesawat (Mirage), Pada Cintanya (Siti Nurhaliza), Hello (Farah Asyikin) dan Sujud (Mawi dan KRU) yang menerima jumlah langganan antara 100,000 hingga 300,000.

Rekod yang dicatatkan oleh Warner Music pula menunjukkan lagu Zakiah nyanyian Jinbara mencatat langganan sebanyak 521,322 sekali gus menjadi lagu paling popular di bawah kendalian syarikat itu diikuti Mantera Beradu (Malique dan M Nasir), Farhana dan Patri (Jinbara), AEIOU dan 2 x 5 (Ahli Fiqir) dan Gadis Melayu (Jamal Abdillah).

Di bawah kendalian Universal Music pula, paling cemerlang ialah Aizat dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu apabila mencatat jumlah langganan di luar dugaan iaitu sebanyak 1.2 juta diikuti lagu Bila Aku Sudah Tiada nyanyian kumpulan Hujan (500,000), Lelaki Ini nyanyian Anuar Zain (500,000), dan Kisah Tak Sempurna nyanyian Samsons (300,000).

Ahad, Mei 10, 2009

Jarum Emas: Simbolik ‘gila’ Aizat

petikan Harian Metro 10 Mei 2009
Oleh Adam Salleh

APABILA Aizat meneriak ‘gilerlah’ pada malam Anugerah Industri Muzik Ke-16 (AIM16), pasti pelbagai persepsi timbul. Pengacara malam kemuncak, Afdlin Shauki sempat mengajuk perkataan gila Aizat itu bagi mencetuskan humor.

Ada positif, tidak terkecuali negatif kerana apakah dimaksudkan Aizat dengan gila itu? Ikut akal mudah, gila bagi Aizat tidak masuk akal. Saya percaya sebagai artis baru, Aizat bintang kian menyinar ini seperti tidak menyangka dia meraih anugerah Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki).

Saingannya pula bukan calang-calang artis, ada Bob AF dan Reshmonu, tetapi dalam usia 20 tahun Aizat dapat menewaskan mereka, walhal ketika berusia 11 tahun, dia cuma penonton AIM di PWTC bersama ayahnya.

Persepsi saya terhadap perkataan Aizat itu pula mencakupi sudut berbeza. Sememangnya saya juga terasa seperti ‘gila’ memikirkan di kalangan pemenang di pentas cuma bercakap terima kasih, terima kasih, terima kasih.

Cubalah diamati tatkala Misha Omar meraih kategori Album Pop Terbaik, dia cuma diberi peluang mengucapkan terima kasih berulang kali, begitu juga M Nasir hanya terima kasih terdaya diucapkan.

Orang lama seperti M Nasir yang boleh kita labelkan sebagai tokoh seni sepatutnya diberikan lebih masa untuk kita kutip pengalaman daripadanya.

Bukan maksud saya mahu menempelak M Nasir, Misha atau Aizat, cuma sebagai orang media, tidak pun letak diri saya sebagai penonton biasa pada malam itu, sama ada di Dewan Merdeka atau di televisyen, penyanyi juga komposer pujaan saya yang sekian lama menyokong kerjayanya cuma bercakap terima kasih.

Acapkali bila hadir pada majlis anugerah yang sewaktu dengan AIM, saya tertanya-tanya hakikat anugerah itu diadakan sebenarnya untuk siapa? Untuk kita selaku penonton juga pembaca, untuk pengacara yang menceriakan majlis atau untuk artis undangan yang menghangatkan majlis?

Kita faham, majlis anugerah yang disiarkan secara langsung, waktunya terbatas. Justeru, bagi mengelak artis yang menerima anugerah itu terbabas, pengacara bertindak ‘menebas’ kata-kata.

Di sebaliknya, kita mudah terlepas pandang apa juga dinamakan anugerah, hakikat majlis diadakan adalah untuk pemenang. Melalui peluang diperoleh, itulah masanya untuk setiap pemenang, sama ada penyanyi atau pelakon, mula berkongsi emosi dengan kita pahit getir dilalui sebagai insan seni sebelum merangkul anugerah.

Siapa tahu pada malam AIM16 tempoh hari, Aizat mahukan generasi baru bersemangat waja sepertinya. Sekalipun tidak muncul juara AF dengan tubuhnya yang berisi dulu, namun berkat kegigihan serta tidak mudah mengaku kalah, Aizat membuat ‘post mortem’ untuk penjenamaan semula Aizat yang baru.

Malangnya dia tiada peluang berkongsi rasa, bagaimana ranjau anak seni, kerana tidak diberi peluang untuk bercakap, lalu jalan paling mudah untuk diluahkan ialah “gilerlah.”

Bukan mahu menunjuk pandai, tetapi tenaga produksi AIM yang diterajui sahabat lama saya, Jennifer Thompson mungkin boleh memikirkan cara bagaimana pemenang boleh berkongsi sejenak emosi mereka.

Sebabnya, melalui AIM16 minggu lalu, saya lihat banyak elemen yang merugikan masa, sekali gus mengabaikan pemenang, di antaranya apa perlu dalam satu majlis anugerah sampai tiga pengacara?

Selain Afdlin, dua pengacara lagi Bob Lokman dan Adibah Noor tidak boleh dipertikaikan kemampuan mereka. Intro mereka untuk membuka majlis sudah cukup untuk membuatkan kita terbahak, tetapi selaku tenaga produksi harus diingat jika sudah ada tiga pengacara, berapa banyak masa yang kita rugi?

Mungkin selepas ini sama ada Afdlin, Bob dan Adibah boleh kendalikan AIM secara solo, tidak mustahil sebab ketiga-tiganya bukan setahun jagung, kalau tidak majlis diadakan cuma dua pengacara.

Penganjur mahu menjimat masa tetapi pada kategori Anugerah Wirama, visual Habsah Hassan dipaparkan di dalam dewan dengan pelbagai kata-kata hikmahnya, tiba masa mengambil anugerah Habsah diberi bercakap lagi. Lebih elok selepas itu, jika sudah ada visual tidak perlu ada ucapan lagi.

Satu hal lagi yang saya rasa seperti membazir masa dalam majlis anugerah ialah terlalu ramai artis undangan mengadakan persembahan. Umpamanya di AIM16 tempoh hari, ada M Nasir, Datuk Sheila Majid, Rossa, Faizal Tahir, Nikki, Dina, Ayu, Shila, Joe Fillzow, Chakra Sonik dan Goldkartz.

Lalu saya tertanya-tanya, selaku penganjur kita nak tengok anugerah atau konsert? Bukan tidak boleh ada artis persembahan, tetapi agak-agak sikit majlis anugerah sudah menjadi seperti konsert.

Nak tengok konsert ‘free’ orang ramai pun sudah boleh duduk terpacak kat Jom Heboh tiada siapa menghalang. Seperkara yang tidak enak didengar telinga bila artis selaku pemenang dalam mana-mana anugerah yang kita tahu taraf profesionalisme mereka, hakikatnya seperti kanak-kanak di bangku sekolah rendah apabila pengacara selaku guru disiplin minta jangan membuat bising tetapi ucapkan terima kasih saja dan kita sebagai penonton hanya bertepuk tangan tetapi tidak mendapat apa-apa kata-kata hikmah daripada pemenang.

ADAM: Anugerah sekadar retorik?

Khamis, Mei 07, 2009

Relevankah lagi AIM?

petikan Kosmo 7 Mei 2009
Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

MESKIPUN mengharungi beberapa perubahan dari segi format dan persembahan, objektif Anugerah Industri Muzik (AIM) tetap serupa iaitu memberi pengiktirafan kepada para karyawan muzik tanah air.

Apa yang kurang menariknya, AIM yang berlayar sejak tahun 1994 dilihat sudah tidak lagi relevan untuk diangkat sebagai majlis apresiasi kepada karyawan seni.

Ada cacat-celanya yang membuatkan AIM tidak lagi diterjemahkan sebagai acara berprestij. Banyak perkara yang membuatkan AIM hambar dan tidak diyakini kredibilitinya oleh golongan seni dan masyarakat.

Tidak terkecuali, terdapat khabar angin yang mengaitkan penjurian AIM tidak lagi telus, selain turut 'didalangi' oleh mereka yang langsung tidak mempunyai pengetahuan kukuh tentang apa itu muzik sebagai juri.

Ada-ada sahaja pihak yang mempersoalkan kemenangan yang diumumkan tatkala berlangsungnya majlis berskala besar itu, hampir saban tahun termasuklah yang terbaru, 2 Mei lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Sesiapa sahaja boleh memenangi AIM walaupun ada yang dirasakan tidak layak. Individu yang tidak bagus dan kurang berkualiti boleh menang, sebaliknya yang sepatutnya membawa pulang trofi AIM sekadar berputih mata.
AIM menjadi kayu ukur muzik tempatan.

Itu realiti yang sukar dipersoalkan lagi. Kalau ada pihak pandai melobi dan terpaksa mengikut jari telunjuk tukang taja, maka artis yang merapu juga boleh naik ke pentas AIM, mengambil trofi dan mengeluarkan senarai ucapan terima kasih yang cukup panjang melebar.

Bukan itu sahaja, kemenangan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dalam kategori Vokal Wanita Terbaik juga antara yang dipersoalkan.

Secara sinisnya, kehadiran Siti dalam kelompok senarai lima terbaik sahaja sudah cukup untuk mematikan impian penyanyi wanita lain yang 'mengidam' trofi Vokal Wanita Terbaik AIM.

Nampaknya mereka umpama bermimpi di siang hari!

Sedangkan di negara ini masih terdapat beberapa nama hebat yang kualiti vokalnya boleh dikira hebat seperti Misha Omar, Sarah Raissuddin, Farhan, Aishah, Noryn Aziz, Adibah Noor, Ziana Zain, Ning Baizura, Nora dan beberapa nama lagi, namun Siti terus unggul di takhta teratas.

Kemenangan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu selama 10 kali seolah-olah kita hanya ada seorang sahaja penyanyi wanita iaitu Siti. Tahun lepas Siti, tahun ini Siti, tahun depan pun Siti lagi. Siti, Siti dan Siti. Tanpa sedikitpun menyalahkan Siti yang sudah layak dilabel sebagai 'penyanyi terunggul', atau apa saja, dia sememangnya layak berada di para paling atas, tetapi bagaimana dengan nasib penyanyi wanita lain? Apakah mereka langsung tidak ada kehebatan sehingga 'dipulaukan' AIM?

ROSSA bersuara hebat, tetapi tidak semestinya dia perlu menang setiap tahun.

Melainkan pada AIM14 yang memberi peluang kepada Jaclyn Victor, Siti berjaya merampas semula trofi itu pada AIM seterusnya termasuklah tahun ini.

Kalau kita membandingkan dengan senario di Anugerah Muzik Indonesia (AMI), senario sebegitu tidak berlaku. Sekadar mengambil contoh tiga nama, Rossa, Kris Dayanti dan Agnes Monica. Mereka melakar banyak kejayaan membanggakan di pasaran seni negara seberang itu, diakui hebat tetapi dalam masa yang sama penyanyi wanita lain tidak dinafikan hak untuk menjulang trofi kategori vokal terbaik.

Jangan terkejut kerana di Indonesia, bila-bila masa sahaja nama-nama besar boleh dibenamkan dengan mudah oleh penyanyi baru kerana kualiti kerja mereka dalam sesuatu masa. Ia membuktikan bahawa dari semasa ke semasa Indonesia selalu melahirkan muka baru yang lebih bagus daripada Rossa, Kris Dayanti atau Agnes Monica.

Bukankah orang yang layak perlu diiktiraf walaupun baru sehari menyanyi? Itu tidak berlaku di AIM.

Lantaran itu, timbul persoalan bagaimanakah pihak juri menilai isu berkenaan. Apakah disebabkan kerana nama gah seseorang artis, membuatkan mereka terus memejamkan mata dan memekakkan telinga memberi kemenangan bulat-bulat sekali gus mengetepikan peluang orang lain?

Hakikatnya, ada yang bercakap, Siti sudah selayaknya digelar ikon di negara ini, maka dia tidak perlu lagi untuk bertanding. Cukuplah seluruh negara mengetahui kemampuannya yang sukar untuk diganggu-gugat.

M.NASIR menganggap AIM masih relevan sehingga kini.

Kalau begitulah gayanya, maka sampai bilakah penyanyi sedia ada dan muka-muka baru hendak rasa pegang trofi keramat itu walaupun mereka juga berbakat besar dan bersinar dalam industri seni.

Sekadar meluahkan pandangan, penyanyi Adibah Noor melihat tiada salahnya jika Siti terus bertanding dalam kategori vokal.

"Tidak ada istilah Siti menutup laluan penyanyi sedia ada mahupun yang baru, malah dia membuatkan orang lain bekerja dengan lebih keras. Sebelum ini, ramai yang bercakap kononnya kalau Siti ada dalam kategori sama, maka saya atau Jaclyn Victor tidak akan menang.

"Namun Jaclyn sendiri sudah membuktikan kekuatannya apabila dia menang dan berjaya mengalahkan Siti pada AIM14," ujar Adibah.

Badi penyanyi lelaki baru

Satu lagi bahana AIM yang sering terjadi kepada calon atau pemenang Artis Harapan yang kini sudah digantikan namanya sebagai Artis Baru Terbaik. Mereka seolah-olah terkena badi 'lenyap' atau bertukar jadi suam-suam kuku.

KEUNGGULAN Siti Nurhaliza tidak perlu dipertikaikan lagi.

Mengambil contoh, calon atau pemenang trofi itu Sean Ghazi, Shanon Shah, Shahrizan Borhan, Fazli Zainal dan Ridzuan, sekadar melukut di tepi gantang dalam industri seni arus perdana selepas kemenangannya.

Artis wanita juga begitu, tidak mendapat 'durian runtuh' apabila kerjaya semakin menjunam ke bawah selepas bergelar pemenang di AIM. Sarah Raissuddin yang bersuara hebat pun terpaksa menyertai pertandingan semula demi membuktikan kehebatannya sekalipun tergolong dalam kategori penyanyi wanita yang ada keunikan tersendiri. Kasihan Sarah yang terpaksa reda menerima hukuman yang bukan atas kesalahan dirinya!

Bagaimana pula dengan nama lain yang dilihat terus berkubur begitu sahaja walaupun AIM pernah mengiktiraf mereka?

Sepatutnya situasi tersebut tidak wujud kerana mereka harus bekerja lebih keras setelah diiktiraf sebagai pucuk baru yang sudah mencapai piawaian terbaik.

Berbicara lebih lanjut tentang AIM yang dianggap sudah tidak lagi relevan, majlis itu dilihat seolah-olah tidak mencerminkan industri seni sendiri.

KRIS DAYANTI acapkali tewas dengan artis baru.

Apa yang dipaparkan dalam AIM, seolah-olah ia menjadi 'lakonan' semata-mata. Kononnya industri sedang meningkat naik dengan perkembangan album penuh dan mini serta kuasa muat turun daripada Internet yang mendatangkan pulangan lumayan kepada banyak pihak.

Padahal situasi itu hanya berlaku kepada beberapa artis sahaja. Tidak semua mampu merasai nikmat album terjual dengan banyak dan artis mendapat bayaran setimpal dengan status diri mereka. Penjualan album Siti dan Mawi juga sudah tidak lagi 'sekencang' dahulu.

Orang lama dalam industri muzik tempatan, M. Nasir bagaimanapun sempat memberikan ulasan tentang penganjuran AIM, walaupun ramai yang berpendapat acara itu sudah hilang bisanya.

Baginya, fungsi AIM sendiri adalah menjalankan tanggungjawab dalam mencerminkan anugerah industri muzik di negara ini.

"Bukan soal relevan atau tidak, tetapi ia bergantung kepada industri itu sendiri. Saya cuma merasakan ada beberapa majlis penganugerahan yang tidak perlu diwujudkan lagi," jelasnya.

M. Nasir tidak melihat AIM harus diperbaharui atau diperhalusi dengan lebih mendalam lagi.

Kaedah penjurian AIM sebenarnya mengikut cara Grammy Award dan semua golongan dalam industri diberikan kuasa untuk campur tangan dalam menilai pemenang.

Tidak dinafikan, pembaharuan akan dilakukan setiap masa merangkumi pelbagai aspek, tetapi barangkali ada yang tidak nampak kelainan yang ditampilkan ini.

"Produksi AIM sendiri sudah pastilah merasakan pembaharuan harus dilakukan demi mengikut perubahan masa. Cuma ia berkait rapat dengan orang lain nampak atau tidak tentang pembaharuan yang dibuat," terang M. Nasir.

Menjelaskan lebih terperinci peranan utama AIM, M. Nasir membuat rumusan bahawa AIM bukanlah anugerah untuk album popular atau laku di pasaran, tetapi ia menjurus kepada kualiti terhadap penghasilan sesebuah karya.

HABSAH mahu anugerah lain dihapuskan bagi memberi ruang kepada AIM menonjol.

"Kalau kerja dan semangat yang ditunjukkan dalam membikin album bagus, maka inilah yang menjadi kayu pengukur. Bukan disebabkan oleh faktor lain," tambahnya.

Penulis lirik dan pencinta seni Habsah Hassan bagaimanapun menolak skeptikal bahawa AIM sudah lagi tidak relevan.

Baru sahaja mendapat penghargaan dalam Anugerah Wirama pada AIM16 Sabtu lepas, Habsah berkata, AIM masih relevan untuk dijadikan sebagai sebuah acara wajib dalam direktori dunia hiburan.

"Cuma AIM akan menjadi lebih cantik jika semua anugerah yang diadakan oleh stesen TV atau mana-mana persatuan yang ada di Malaysia bergabung menjadi satu.

"Lebih berkualiti kalau ia ditangani oleh sebuah badan yang dianggotai orang-orang berpengalaman dalam industri. Jadi barulah AIM nampak lebih berprestij sebagai sebuah acara yang hebat dan dinantikan-nantikan ramai," katanya.

Secara tidak langsung kata Habsah, pemilihan para pemenang AIM dapat dilakukan dengan telus dan profesional sekali gus tidak lagi menimbulkan sebarang kecurigaan dalam menentukan kemenangan artis yang mengambil bahagian dalam nominasi tertentu.

Kepada Habsah, tidak perlulah banyak majlis anugerah diadakan di negara ini, sebaliknya cukuplah satu sahaja bagi menghargai karyawan muzik, drama atau filem dan penerbitan.

"Jika dicampurkan semua, kita hanya perlu ada tiga buah majlis penganugerahan selama setahun. Setiap satunya harus direalisasikan sebagai sebuah majlis yang besar untuk mengembangkan dunia seni.

"Saya sedar bahawa tidak mudah untuk melakukan penyatuan ini secara serentak dan dalam tempoh yang singkat.

"Tidak tahulah kenapa. Barangkali setiap pihak beria-beria mengadakan majlis penganugerahan sebab mereka ada agenda sendiri demi melonjakkan populariti masing-masing.

"Dengan keadaan ekonomi yang tidak berapa elok, saya lihat penganugerahan yang banyak ini diibaratkan membazir wang dan waktu sahaja," katanya.

Ironinya, AIM sebenarnya tidak lebih sekadar malam pengagihan anugerah dan isu tentang kewajaran AIM diteruskan atau dimatikan berhubung rapat dengan senario industri muzik Malaysia sendiri.

Dengan pendapatan tahunan yang tidak mencerminkan muzik sebagai sebuah industri, karyawan muzik sebenarnya berdepan cabaran untuk mengangkat muzik sebagai penyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Anggap sahaja, AIM itu sebagai satu pelengkap, sisi penghargaan terhadap usaha tidak seindah trofi atas pencapaian yang masih dalam status jaguh kampung! Hendak ke seberang pun muzik kita masih kalah, apatah hendak menawan Asia ke tahap antarabangsa, usah bermimpi.

Ahad, Mei 03, 2009

Penantian 7 tahun Misha berbaloi, Siti tetap unggul

petikan mstar 3 Mei 2009
Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

KUALA LUMPUR: Keunggulan penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin masih menjadi hak miliknya apabila lagu-lagu dan album nyanyiannya masih dinobatkan sebagai yang terbaik.

Siti memenangi empat anugerah dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Anugerah itu adalah Album Pop Etnik Terbaik (Lentera Timur), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) - Di Taman Teman, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Pada CintaNya) dan Album Terbaik (Lentera Timur).

Sementara itu, penyanyi Misha Omar buat pertama kalinya berjaya meraih empat anugerah iaitu Lagu Pop Etnik Terbaik (Nafas Cahaya), Lagu Pop Terbaik (Cinta Adam & Hawa), Lagu Terbaik (Nafas Cahaya) dan Album Pop Terbaik (Misha Omar).

Bagaimanapun, Siti tidak dapat menghadirkan diri ke majlis tersebut yang dihoskan oleh Adibah Noor, Asdlin Shauki, dan Bob Lokman kerana sedang mengerjakan umrah.

Sebanyak 28 kategori dipertandingkan. Pemenang bagi setiap kategori:

1) Artis Baru Terbaik: Meet Uncle Hussain

2) Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki): Aizat- Lagu Kita

3) Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita): Datuk Siti Nurhaliza- Di Taman Teman

4) Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu: Raihan- Assubhu Bada

5) Kulit Album Terbaik - Pereka: Vignes Balasingam (Album : Remain Unknown; Artis: Estranged

6) Rakaman Album Terbaik- Jururakam: Reshmonu, Murali, Will Quinell & C.L. Toh (Album: Harapan; Artis: Reshmonu)

7) Video Muzik Terbaik - Pengarah: Kerol (Video Muzik: 1000 Tahun (Mahu Hidup); Artis : Butterfingers)

8) Album Pop Etnik Terbaik: Lentera Timur (Artis: Datuk Siti Nurhaliza; Produser: Johari Teh, Johan Nawawi, Aubrey Suwito, M. Nasir, Khairil Johari Johar, Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan, Pak Ngah, Zul Mahat, S. Atan & Datuk Siti Nurhaliza)

9) Lagu Pop Etnik Terbaik : Nafas Cahaya (Komposer: M. Nasir; Penulis Lirik: Loloq; Artis: Misha Omar)

10) Album Nasyid Terbaik: Nostalgia Nadamurni (Artis: Rabbani; Produser: Salleh Brotherz)

11) Lagu Nasyid Terbaik: Bila Nur Melimpah Di Hati (Komposer: Asri Ibrahim; Penulis Lirik: Ito Lara; Artis: Rabbani

12) Album Rock Terbaik: Hujan (Artis: Hujan; Produser: Noh Hujan)

13) Lagu Rock Terbaik: Bila Aku Sudah Tiada (Komposer: Noh Hujan; Penulis Lirik: Noh Hujan; Artis: Hujan)

14) Album Pop Terbaik: Misha Omar (Artis: Misha Omar; Produser: Ramli M.S., Ajai, Aidit Alfian, Azmeer, Cat Farish & Nurfatima)

15) Lagu Pop Terbaik: Cinta Adam & Hawa (Komposer: Azmeer; Penulis Lirik: Loloq; Artis: Misha Omar)

16) Lagu Hip Hop Terbaik: Mentera Beradu (Komposer: Malique, D’Navigator & M. Nasir; Penulis Lirik: Malique & M. Nasir; Artis: Malique feat M. Nasir)

17) Album Hip Hop Terbaik: OK (Artis: Malique)

18) Album Inggeris Tempatan Terbaik: President (Artis: Joe Flizzow; Produser: DJ T-Bone, Goldfish, Koko, Syaheed, Terrytyelee, DJ Iman, Don M, Joe Flizzow & Khan)

19) Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: KL Streets (Komposer: Malique & D’Navigator; Penulis Lirik: Malique; Artis: Malique feat Lah)

20) Album Cina Tempatan Terbaik: Will Be Good (Artis: Will Ng; Produser: Cheng Lee, Will Ng & David Koon)

21) Lagu Cina Tempatan Terbaik: Man Jiang Hong (Komposer: Alex San; Penulis Lirik: Ah Guan; Artis: Man Jiang Hong)

22) Album India Tempatan Terbaik: Ethirrpaarkiren (Artis: Anbarasan & Anuratha; Produser: Anbarasan & Anuratha)

23) Lagu India Tempatan Terbaik: Ethirrpaarkiren (Komposer: Anbarasan; Penulis Lirik: Divya Saraswathy; Artis: Anbarasan & Anuratha)

24) Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara: Ayat-Ayat Cinta - Rossa

25) Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu - Penggubah: Audi Mok (Lagu: Pada CintaNya; Artis: Datuk Siti Nurhaliza)

26) Lagu Terbaik: Nafas Cahaya (Misha Omar)

27) Album Terbaik: Lentera Timur (Datuk Siti Nurhaliza)

28) Anugerah Wirama: Habsah Hassan (Penulis Lirik)

tambahan video dari Youtube.
  • Video pembukaan AIM oleh M Nasir & Dikir Barat Halim Yazit - Langgam Pak Dogo



Penyampaian Anugerah Lagu Terbaik AIM 2009
  • Nafas Cahaya (Komposer: M. Nasir; Penulis Lirik: Loloq; Artis: Misha Omar)
  • Album Terbaik (Artis: Datuk Siti Nurhaliza; Produser: Johari Teh, Johan Nawawi, Aubrey Suwito, M. Nasir, Khairil Johari Johar, Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan, Pak Ngah, Zul Mahat, S. Atan & Datuk Siti Nurhaliza)