petikan Harian Metro 24 Januari 2009
Oleh Elrafaei Sapi
IMPIAN peminat penghibur, M Nasir untuk menyaksikan konsert solonya akan menjadi kenyataan tidak lama lagi apabila persembahannya kali ini diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Acara selama tiga malam berturut-turut bermula 27 Februari depan dianggap istimewa kerana jangka masa lapan tahun tanpa konsert membuatkan ramai peminatnya rindu untuk berhibur bersamanya.
Kali terakhir, M Nasir mengadakan konsert adalah pada 2000 menerusi Konsert Andalusia yang berlangsung di Stadium Merdeka.
Bagi M Nasir, konsert ini adalah manifestasi perjalanan seninya yang bermula sejak 30 tahun lalu hingga bertahan kini.
Biarpun kehadiran penyanyi generasi baru menyaingi penyanyi terdahulu, sebaliknya peminat merasakan aura M Nasir masih belum digugat.
Sebagaimana kepercayaan peminat terhadap karya M Nasir, penganjur konsert ini, Boxoffice (M) Sdn Bhd yang diketuai Pengurus Besar, Ali Bakar juga berkeyakinan dengan kelebihan M Nasir.
Antara Ali dan M Nasir, mereka adalah rakan yang pernah sama berjuang ketika persada muzik tempatan berkembang pada 80-an.
Menariknya, konsert kali ini adalah kelima buat Ali yang memikul tanggungjawab sebagai penganjur.
Sejak kali pertama mereka bekerjasama menerusi Konsert Canggung M Nasir yang diadakan di Stadium Negara pada 1994, Ali dan M Nasir tidak putus asa untuk terus menghiburkan peminat dengan konsert seterusnya.
Kata Ali, sejak awal konsert M Nasir mencipta kelainan kerana persembahannya dilakukan secara solo tanpa membabitkan penyanyi jemputan.
Malah, M Nasir sendiri gemar menggunakan khidmat pemuzik yang faham dengan karya seninya berbanding kehadiran orkestra yang sering ditampilkan dalam konsert penyanyi lain.
“Secara peribadi, saya berbangga dengan M Nasir yang masih berjuang dalam muzik dan mahu mengadakan konsert ketika ini.
“Saya faham dia mempunyai idea baru dan kelainan yang ingin ditampilkan dalam konsert kali ini. Seperti yang diketahui, konsertnya kali ini istimewa kerana ia diadakan di Istana Budaya.
“Apa yang saya tahu, hanya artis yang mempunyai prestij tinggi dan kelebihan berpeluang untuk mengadakan konsert di situ. Sebenarnya, perancangan konsert ini bermula sejak dua tahun lalu,” katanya.
M Nasir, 51, dijangka menghiburkan peminat dengan persembahan lebih dua jam bersama lebih 20 lagu.
Menariknya, lagu yang dinyanyikan adalah koleksi peribadinya yang hampir mencecah 1,500 lagu.
Janji M Nasir, dia turut menyampaikan lagu ciptaan sendiri, tetapi pernah dinyanyikan orang lain.
Kelmarin, konsert ini diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media yang diadakan di Istana Budaya.
M Nasir kini giat berlatih sejak awal bulan ini tanpa mendedahkan awal senarai lagu yang akan dinyanyikan.
Katanya, ada kejutan pada malam itu nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan