
Puluhan ribu berkumpul rai detik 12 malam
KUALA LUMPUR: Ketibaan tahun baru 2009 disambut meriah di seluruh negara dengan puluhan ribu rakyat dari pelbagai kaum dan agama berkumpul di beberapa lokasi, untuk meraikannya dan menghitung detik jam 12 tengah malam.
Kemuncak sambutan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diadakan di Dataran Merdeka dengan memimpin lebih 20,000 pengunjung menghitung detik tahun baru 2009 dan diikuti persembahan bunga api.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Fuad Ismail dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim serta isteri, Tunku Puan Sri Arishah Tunku Maamor.
Perdana Menteri dalam amanatnya meminta warga Malaysia berwaspada dan berjimat cermat sekiranya berlaku perkara yang menyusahkan dan dengan kekuatan serta kesabaran perkara ini akan dapat diatasi.
"Saya mendoakan dan kita perlu berusaha supaya tahun 2009 akan jadi lebih baik untuk kita," katanya.

Jeanne ketika ditanya harapannya berkata: "Adalah untuk bersabar dan bergembira dengan apa kita ada."
Sambutan di Dataran Merdeka bermula jam enam petang.
Acara 'Ambang 2009 Kuala Lumpur' yang dianjurkan Kumpulan AmBank untuk kali kedua ini mendapat kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur.
Pengunjung dihiburkan persembahan Mawi, M Nasir, Suki, Point Blanc dan persembahan Orkestra Kumpulan Kesenian DBKL dan Aswara.

Azman turut membuat persembahan menyanyikan lagu What A Wonderful World dan Bila Larut Malam.
Sementara itu lebih 15,000 pengunjung membanjiri sekitar KLCC bagi menyambut Ambang 2009 bertemakan 'Pengalaman, Pengembaraan Melangkaui 2009'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan