Selasa, November 13, 2007

"Malam 1001 Gemilang" untuk orang kaya?

petikan Mstar 13 November 2007
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

PENYANYI tempatan tidak kalah dengan penyanyi luar negara kerana mereka masih dihargai dan mempunyai bakat yang boleh dibanggakan.

Antara nama-nama besar dalam dunia muzik tempatan seperti M.Nasir, Jamal Abdillah, Ramli Sarip dan sebagainya.

Mawi dan Jamal berganding dalam konsert besar-besaran buat kali kedua selepas "Konsert Fantasia" (Foto The Star oleh Azman Ghani)

Namun begitu, bakat baru dari program realiti juga banyak memberi sumbangan kepada industri muzik tanah air seperti kelahiran Mawi yang telah membawa satu fenomena baru kepada dunia seni seiring dengan kejayaannya daripada penjualan albumnya.

Dalam usaha untuk memastikan seni warisan bangsa terus dipelihara dan meningkatkan martabat seni negara, Sutra D'Mega Event & Entertainment Sdn Bhd berbesar hati mengadakan majlis makan malam bertemakan "Malam 1001 Gemilang" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Disember ini.

"Kami memilih Mawi, M.Nasir dan Jamal Abdillah untuk menjayakan konsert ini. Sekarang, konsert dibanjiri oleh pemuzik dari luar negara.

"Namun kami mempunyai keyakinan untuk memilih artis tempatan. Untuk memulakan trend baru ini, kami mahu membuat konsert yang hebat dan berkualiti.

"Bagi kami, untuk memulakan sesuatu benda, kita perlu menonjolkan artis yang hebat juga.

"Bukan kami tidak mahu mengambil artis yang belum dikenali, tapi kami memerlukan kekuatan artis-artis ini untuk menimbulkan rasa minat orang ramai," ujar Pengarah Sutra D'Image Edrie Hashim ketika sidang media "Malam 1001 Gemilang" di Telawi Street Bistro semalam.

Antara yang hadir adalah Mawi, Jamal Abdillah, Pengurus Urusan Sutra D'Image Karl Asmawi dan Pengarah Alfie Zainal.


Tunggak utama "Malam 1001 Gemilang". Dari kiri: Edrie Hashim,
Mawi, Karl Asmawi, Jamal dan Alfie Zainal

Majlis yang bakal berlangsung pada 16 Disember ini membawakan konsep Arabic Nusantara untuk memastikan elemen-elemen muzik tersebut akan terus dipertahankan serta menghargai artis tempatan.

Selain sebagai program hiburan, mereka berhasrat untuk memberi sumbangan hasil daripada penjualan meja kepada badan-badan kebajikan.

"Kami amat berbesar hati untuk memberi sumbangan kepada dua badan kebajikan di Malaysia iaitu Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) dan Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKKM) hasil daripada penjualan meja yang telah dijual.

"Kami tak mahu memberi sumbangan kepada badan kebajikan tersebut mengikut peratus. Bermakna sumbangan itu bukan berlandaskan kepada hasil jualan tiket. Kami akan tetapkan satu jumlah nanti kerana ia masih lagi dalam perbincangan antara kami dan mereka.

"Pakej penjualan meja adalah satu meja untuk 10 orang berharga RM10,000 (pakej meja emas), RM5,000 (pakej meja perak) dan RM3,000 (pakej meja gangsa) manakala satu kerusi untuk pakej individu berharga RM300.

"Setakat ini sebanyak 50 buah meja telah dijual dan sesiapa yang ingin membuat tempahan boleh terus menghubungi kami," kata Karl Asmawi.

Apabila melihat harga yang ditawarkan mungkin ada yang terkejut tetapi mereka sendiri memang menyasarkan makan malam ini kepada golongan korporat, VVIP dan orang perseorangan yang berkemampuan dan berminat untuk menyaksikan tiga orang penyanyi popular ini.

Hanya yang mampu sahaja boleh menyaksikan gandingan tiga penyanyi popular ini

"Bila membuat konsert ini, kita tidak perlu menanamkan fikiran yang negatif. Kami hanya merancang dan percaya dengan kualiti yang ditawarkan, Insya Allah individu yang berminat akan memberi sokongan.

"Malam itu nanti kami akan beri kualiti dan tempat yang terbaik sesuai dengan harga yang ditawarkan," ulas Alfie Zainal mengenai konsert yang membelanjakan sebanyak RM800,000.

Sebanyak 15 buah lagu nostalgia dan popular seperti Ghazal Untuk Rabiah (Jamal dan M.Nasir), Lagu Jiwa Lagu Cinta (Mawi dan M.Nasir), Gadis Melayu (Jamal dan Mawi), Keroncong Untuk Ana (M.Nasir), Aduh Saliha (Mawi), Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah) dan Raikan Cinta (M.Nasir).

Manakala lagu Kepadamu Kekasih dan Mentera Semerah Padi akan dinyanyikan secara duet oleh ketiga-tiga artis terbabit.

Konsert yang diadakan selama dua jam setengah itu diiringi oleh pemuzik-pemuzik profesional dan orkestra yang diketuai oleh Edrie Hashim.

Menurut Edrie, sebanyak lapan buah alat muzik orkestra, tujuh buah alat muzik kontemporari dan empat buah percussion akan digunakan.

Pihak Astro Prima akan menjadi penyiar rasmi kepada projek ini dan beberapa badan korporat turut berminat untuk menaja penginapan artis, pemuzik dan sebagainya.

Kemuncak majlis itu adalah acara pemberian replika (cek) kepada kedua badan kebajikan berkenaan yang akan disempurnakan oleh dua tetamu VVIP yang hadir pada malam gemilang itu.

"Malam 1001 Gemilang" yang menampilkan M.Nasir, Mawi dan Jamal Abdillah bakal diadakan pada 16 Disember ini jam 8 hingga 10.30 malam di KLCC.

Sesiapa yang berminat boleh hubungi Sutra D'Image melalui talian tiket 03-77274515 mulai esok (Rabu).

Tiada ulasan: