Khamis, November 22, 2007

Konsert dan pelancaran rasmi SuriaFM

petikan Utusan Malaysia 22 November 2007
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DIANGGARKAN lima ribu penonton akan membanjiri Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu (24 November 2007) ini untuk menonton Konsert Kemuncak Rancak Roadtour dan sekali gus memeriahkan majlis pelancaran rasmi stesen radio SuriaFM.

Konsert Kemuncak Rancak Roadtour yang merupakan acara penutup untuk sesi jelajah Lagi Rancak Roadtour SuriaFM bagi tahun 2007 akan bermula pada pukul 8 malam.

Artis yang akan menghiburkan orang ramai selama empat jam dengan lagu-lagu hits masa kini ialah Amy Search, Mawi, Hattan, Bandi Amuk, M. Nasir, Erra Fazira, Dayang Nurfaizah, Waheeda, Farawahida, Elyana, Dafi, The Fabulous Catz, Taufik Batisah, Imran Ajmain dan Syed Azmir.

Menurut Ketua Pegawai Operasi SuriaFM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, majlis pelancaran yang diadakan itu juga bertujuan memberitahu orang ramai bahawa stesen radio tersebut telah melebarkan sayap ke seluruh Semenanjung termasuk yang terbaru di Kota Kinabalu, Sabah.

“Setakat ini, kami tidak berpeluang untuk melebarkan sayap ke Sarawak dan Kelantan kerana permohonan lesen kami tidak termasuk dua negeri tersebut.

“Biarpun begitu, kami telah berjaya mengumpul pendengar sehingga setengah juta. Namun sehingga kini kami belum berpuas hati dengan jumlah tersebut. Justeru kami sentiasa berusaha untuk memastikan jumlah pendengar meningkat dari masa ke semasa,” jelasnya pada sidang akhbar majlis pelancaran rasmi SuriaFM dan Konsert Kemuncak Rancak Road-tour di Bangunan AM Assurance, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, majlis pelancaran stesen tersebut akan dilaksanakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

Sehingga kini SuriaFM yang mula beroperasi pada 30 Disember 2005 menerusi slogan Hidup Pasti Rancak boleh didengari di kawasan Lembah Kelang di frekuensi 105.3FM, Ipoh (96.0FM), Kuantan (96.1FM), Melaka & Johor Utara (88.5FM), Kota Kinabalu (105.9FM), Kuala Terengganu (102.4FM), Kota Bharu (106.1FM), Perlis, Kedah & Pulau Pinang (106.9FM), Taiping (91.7FM), Seremban (107.0FM) dan Johor Bharu (101.4FM).

Tegasnya, selain persembahan daripada artis terkenal tanah air, konsert yang diadakan secara percuma itu juga akan menampilkan persembahan istimewa daripada deejay SuriaFM seperti Ayzack, Akhtar, Myra, Azrene, Tuah Zuqarnain, Zaff, Zhana dan Bob Ringo.

Tiada ulasan: