Rabu, Ogos 01, 2007

Pencarian Saliha berakhir

petikan Utusan Malaysia 1 Ogos 2007
Oleh Khadijah Ibrahim

MAWI dan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin akan bergandingan dalam filem Aduh Saliha di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Noor Azlina Jaafar.<br />KUALA LUMPUR 31 Julai – Selepas lebih setahun mencari, komposer M. Nasir hari ini memperkenalkan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin sebagai heroin filem Aduh Saliha arahannya.

Puteri Sarah Liyana, 22, yang mesra dengan panggilan Sarah akan bergandingan dengan Mawi yang berlakon sebagai hero filem tersebut.

Menurut M. Nasir, Sarah menjadi pilihan kerana memiliki daya tarikan tersendiri yang tidak ada pada gadis-gadis yang dicari sebelum ini.

‘‘Apabila melihat wajahnya, saya dapat merasakan Sarah ada kualiti dan memenuhi kriteria untuk melakonkan watak Saliha, seorang gadis kampung yang ayu. Lagipun saya rasa dia serasi dengan Mawi,” katanya pada majlis memperkenalkan Saliha di sini hari ini.

M. Nasir menambah, Sarah sudah ada asas lakonan dan ini memudahkan beliau membentuk pelakon itu.

Filem Aduh Saliha yang diterbitkan oleh The Cameracrew Productions Sdn. Bhd. (TCPSB) merupakan filem kedua arahan M. Nasir selepas Merah.

Filem yang skripnya ditulis bersama oleh M. Nasir dan Loloq itu akan memulakan penggambaran pada akhir Ogos ini di Sabah.

Filem genre muzikal separa fantasi yang bakal menelan kos sebanyak RM1.5 juta itu merupakan filem pertama lakonan Sarah dan Mawi.

Sarah sebelum ini pernah muncul dalam drama Kawan, Dunia Anita dan Puteri serta beberapa iklan seperti Silky Girl, Digi, F & N dan Nivea.

Bagi pelajar diploma pengurusan hotel Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, pemilihannya untuk memegang watak Saliha adalah di luar dugaan.

‘‘Sewaktu menjalani uji bakat, saya tidak pernah terfikir akan dipilih sebagai Saliha.

‘‘Bila pihak produksi telefon suruh datang ke pejabat, saya sangka hanya akan diberi watak biasa. Tak sangka saya akan berlakon bersama Mawi,” kata Sarah.

Pelakon itu menerima khabar gembira tersebut sewaktu bercuti dengan keluarganya di Bandung.

Sarah berkata, beliau sudah bersedia menerima segala kemungkinan yang bakal melanda kerana bergandingan dengan Mawi.

Filem Aduh Saliha mengisahkan watak Man yang dilakonkan oleh Mawi yang terperangkap dalam dunia orang bunian.

Katanya, pemilihan Sarah untuk watak Saliha adalah pilihan yang tepat kerana gadis itu mempunyai ciri-ciri kemelayuan.

‘‘Siapa pasangan saya untuk filem Aduh Saliha, saya tidak kisah. Pada saya, Sarah ada kriteria tersendiri yang membuatkannya terpilih.

‘‘Apa pun saya akan berusaha untuk membuat yang terbaik kerana ini merupakan filem pertama lakonan saya,” katanya.

Selain Mawi dan Sarah, Aduh Saliha juga menampilkan pelakon Erra Fazira, Nasir Bilal Khan, Noniswara, Ebby Yus, Que Haidar, Zulhuzaimy, Felix dan Yasmin Isa.

Tiada ulasan: