Ahad, Ogos 19, 2007

Azfar sabar menanti

petikan Harian Metro 19 Ogos 2007
Oleh FIRDAUS SAHAT

SEBELUM ini album sulungnya dijangka menemui peminat sekitar Februari atau Mac dan kemudian ditunda pula ke Julai. Namun sehingga kini, hasil pertama daripada penyanyi baru ini belum dapat dilihat dan menjadi santapan peminatnya.

Selama empat tahun di bawah Luncai Emas bukan tempoh singkat, malah jika diikutkan, dalam tempoh lama begitu, Alif Azfar Ishak atau lebih selesa dengan panggilan Azfar boleh memiliki sekurang-kurangnya dua album.

Namun, sehingga kini album sulungnya masih belum dipasarkan. Azfar berkata, kini ia bukan disebabkan kerana lirik lagu mahupun susunannya yang mendayu dan dikatakan tidak sesuai dengan album, tetapi kelewatannya kali ini disebabkan kekurangan promosi.

“Kali ini, kekurangan promosi menjadi sebab utama mengapa ia belum dipasarkan. Bagi M Nasir, dia mahukan yang terbaik dalam setiap perkara. Disebabkan perkara itu, album sulung saya terpaksa ditangguhkan.

“Yang boleh saya lakukan kini hanya bersabar. Mungkin ia tuntutan dalam menjadi anak seni. Tempoh empat tahun bukan sekejap. Apa yang saya lalui kini agak pahit, tetapi ia perlu ditelan.

Pun begitu saya yakin, walaupun masa diambil agak lama, satu hari nanti pasti ia menjadi kenyataan. Cuma untuk masa ini saya mempercayai M Nasir kerana dia tahu apa yang terbaik untuk saya,” katanya.

Azfar berkata, bekerja di bawah Luncai Emas memberinya pengalaman berharga, lebih-lebih lagi mendapat tunjuk ajar daripada M Nasir.

Pun begitu, kelewatan albumnya bukan disebabkan masalah bekerja di bawah produksi itu.

“Suasana bekerja di bawah Luncai Emas sungguh menyeronokkan. Semua krew yang terbabit berfikiran terbuka. Suasana bekerja tidak langsung berkait dengan kelewatan album pertama saya.

“Hanya disebabkan sedikit masalah produksi kerana mahu semuanya berjalan dengan sempurna, ia memakan masa sedikit. Diharap, peminat dapat bersabar. Saya yakin album pertama berjudul Jarak Rindu akan ada di pasaran tidak lama lagi,” katanya.


Program realiti One In A Million banyak mengajar jejaka ini mengenai dunia seni. Untuk itu, selepas menyertai program realiti itu, Azfar berubah haluan dan mencuba sesuatu yang baru.

Kini, konsep baru itu dirasakan sesuai dengan pasaran, malah dengan jiwanya. Untuk itu, album sulungnya yang akan menjengah pasaran sedikit masa lagi tidak dibayangi dengan konsep lamanya iaitu pop etnik, tetapi diperbaharui supaya lebih segar menerusi genre pop kreatif.

Tiada ulasan: