Khamis, Mei 24, 2007

Spider pertaruhkan Bintang 12

petikan Mstar Online 24 Mei 2007
Oleh RADIN SRI GHAZALI

Pelancaran album Bintang 12 bersama-sama Spider di Planet Hollywood
(Foto Utusan)


SEMEMANGNYA kumpulan Spider merupakan antara kumpulan rock pelopor yang popular di kalangan peminat-peminat muzik tempatan.

Walaupun hampir tiga tahun tidak mengeluarkan sebarang studio album, nama mereka tetap gah di persada seni tempatan.

Demi mengubati keresahan serta penungguan para peminat mereka, kumpulan yang terdiri daripada Tam (vokalis), Tony Iskandar (pemain bass) dan Nafie (pemain gitar) kini tampil dengan album studio keempat mereka yakni Bintang 12.

"Jika diperhatikan itulah cara Spider mengeluarkan album. Kami mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk membuat album.

"Album terakhir kami iaitu Nazraku dikeluarkan pada 2004," ujar Tam selaku vokalis kumpulan Spider ketika ditemui di majlis Pelancaran Album serta Showcase Bintang 12.

"Kami mahukan mengambil masa yang panjang untuk menghasilkan lagu-lagu yang bermutu serta dapat diterima oleh semua.

" Kami tidak mahu album yang hanya berpandukan satu lagu sahaja sebagai hits," sambungnya lagi mengenai album yang memuatkan sepuluh buah lagu hasil ciptaan kumpulan Spider bersama-sama penasihat lirik mereka, Loloq.

Namun, kemunculan Bintang 12 menjanjikan satu kelainan berbanding dengan album-album seperti Ngam Ho (2000), Aladin (2002) dan Nazraku (2004).

"Pada kali ini kami menggunakan basic instruments seperti gitar, drum dan bass sahaja. Kami tidak mengundang sebarang sessionists untuk album pada kali ini. Terdapat satu penampilan istimewa yakni seorang pemain piano menerusi lagu Katalis," ujar Tam lagi.

"Sebab utama kami berbuat demikian kerana in akan memudahkan lagi kumpulan kami membuat persembahan nanti.

"Jika sebelum ini, kami terpaksa mencari pemain-pemain alat muzik seperti blowing instruments dan keyboard yang lain untuk melakukan persembahan. Ini menyukarkan lagi persembahan kami," ujar Tam mengenai unsur-unsur raw dan padat.

Ketika ditanya mengani relevan tajuk Bintang 12 untuk nama album keempat mereka, Tam menjawab, "Bintang 12 mewakili simbol zodiak. Lantas, setiap manusia mempunyai zodiak mereka tersendiri oleh itu kami berharap agar semua orang dapat menerima lagu-lagu kami," ujar Tam lagi.

Antara lagu yang bakal dipertengahkan sebagai single pertama daripada lagu itu adalah Mabuk.

"Mabuk merupakan sebuah lagu yang kuat dan mempunyai mesej yang kuat. Lagu ini secara amnya mengenai keadaan manusia yang terlampau tamak dengan kuasa mahupun mabuk dengan cinta serta akibat gara-gara kemabukan ini," jelas Tam lagi mengenai lagu yang ditulis oleh Loloq dan Tam sendiri.

Antara lagu-lagu lain yang turut dimuatkan juga adalah Anti Graviti, Bila Nak Saksi, Salut, Telinga Ke Tulang dan Suka Duka Kita.

Ketika ditanya jika kumpulan Spider puas hati dengan produk keseluruhan album tersebut, Tam menjawab, "Kita tidak boleh cakap samaada kami puas hati atau tidak kerana ini terpulang kepada penerimaan peminat serta jualan album di pasaran. Jika kita puas sekalipun tetapi jualan merosot, apa gunanya," ujar Tam lagi.

Selain daripada itu, kedudukan Aie sebagai pemain drum untuk kumpulan Spider turut dipersoalkan pada malam tersebut.

"Aie mempunyai komitmen yang lain yang menyukarkan dia menjadi pemain tetap untuk Spider. Dia turut menyumbangkan tenaga menerusi album ini melalui lagu Telinga Ke Tulang. Walau apa-apa pun, dia masih bermain untuk kami untuk apa jua cara pun," ujar Tam lagi.

Persembahan yang bertenaga daripada kumpulan Spider
(Foto Utusan)


Showcase Spider gempak!

Selain daripada pelancaran album, kumpulan yang memenangi album terbaik AIM 2005 menerusi Nazraku turut melakukan sebuah showcase khas untuk pemenang-pemenang program Teka Lagu K&K&K dan Spider menerusi radio Era FM.

Spider memulakan set pertama persembahan mereka menerusi lagu Ngam Ho dan diikuti dengan lagu Aladin.

Kira-kira 300 orang penonton membanjiri ruangan kosong di hadapan pentas di Planet Hollywood pada malam tersebut. Majoriti di antara mereka bagaikan teruja dengan kehadiran Spider yang kini tampil dengan imej baru serta gaya persembahan yang hebat.

Tam kemudiannya menyanyikan lagu Nazraku serta lagu soundtrack kepada filem Cicak Man iaitu Telinga Ke Tulang.

Tidak dapat dinafikan bahawa kumpulan tersebut mempunyai dinamik yang kuat serta penampilan yang gah sehinggakan membuat ramai yang hadir melonjat-lonjat dengan riangnya.

Setelah berehat untuk upacara pelancaran album mereka, Spider kembali meyengat dalam set kedua apabila mereka menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan lagu-lagu baru mereka menerusi album Bintang 12.

Tam memulakan malam itu dengan sebuah lagu yang berjudul Anti Graviti dan diikuti dengan lagu yang berjudul Salut.

Ketika memdendangkan Salut, ramai di antara peminat-peminat yang hadir menunjukkan rasa puas hati dengan lagu-lagu yang dimuatkan dalam album terbaru mereka.

Spider meneruskan malam itu dengan beberapa selingan lagu baru mereka termasuk Sajak Tembok, Bila Nak Saksi , Radar Sang Perawan dan lagu hitsnya Mabuk.

Ternyata penerimaan keseluruhan lagu-lagu baru amat memberangsangkan di kalangan pengunjung serta pihak media.

Ratusan orang peminat menyanyi bersama-sama Tam(Foto Utusan)

Namun, peminat-peminat yang hadir tenyata mahukan lagi!

Kumpulan Spider kembali ke pentas dengan beberapa lagu hitsnya seperti Cinta Dewa Dewi, Kasih Latifah dan Relaku Pujuk.

Set tersebut bagaikan sebuah sesi karaoke apabila kesemua peminat-peminat yang hadir menyanyi bersama-sama Tam pada malam tersebut.

Spider menutup showcase mereka dengan sebuah gabungan hebat bersama-sama sifu mereka, M.Nasir menerusi lagu Mentera Semerah Padi.

Gabungan ini ternyata mengecapi sukses apabila kedua-dua bintang ternyata memberikan yang terbaik untuk memuaskan hati ratusan pengunjung yang hadir.

Ternyata penungguan selama tiga tahun untuk kumpulan Spider tidak tersia-sia. Lagu-lagu baru mereka terutamanya Salut, Mabuk dan Sajak Tembok amat catchy dan mudah diterima oleh peminat-peminat mereka.

Malah mereka turut berupaya menarik peminat-peminat yang baru dengan album Bintang 12.

Syabas buat Spider atas comeback mereka yang hebat!

Tiada ulasan: