Selasa, April 24, 2007

Penyertaan karyawan muzik Malaysia sedikit

petikan Berita Harian 24 April 2007
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Cuma 66 daripada 420 pencalonan bertanding dalam Anugerah Planet Muzik 2007 pada 8 Jun

DARIPADA 420 keseluruhan pencalonan yang diterima untuk Anugerah Planet Muzik 2007 (APM’07), penganjur acara hiburan terbesar industri muzik Melayu menerima hanya 66 pencalonan daripada karyawan muzik Malaysia.

Sejak diperkenalkan tujuh tahun lalu, jumlah pencalonan karyawan muzik tempatan saban tahun menunjukkan penyusutan ketara. Kemerosotan bermula pada APM 2005 apabila jumlah pencalonan susut hampir 50 peratus apabila karyawan tempatan hanya menghantar 67 pencalonan, berbanding APM 2004 yang menerima lebih 100 pencalonan.

Tahun lalu, jumlah itu terus susut kepada 63 pencalonan, namun APM’07 menunjukkan peningkatan tipis dengan 66 penyertaan.

Situasi itu dilihat agak meruncing kerana Singapura yang pasaran industri muziknya lebih kecil berbanding Malaysia mampu menghantar 120 pencalonan, manakala Indonesia terus mendominasi pertandingan dengan 274 penyertaan.

Di mana silapnya? Apakah ia memberi petanda karyawan tempatan kurang yakin dengan hasil karya mereka hingga sanggup memberi laluan mudah kepada penggiat seni Indonesia untuk mendominasi APM’07?

Pengarah Urusan Beyond DDB/Beyond Events, Amin Hussen, apabila diajukan pertanyaan ini berkata, industri muzik Malaysia masih mampu mencipta kegemilangan jika mendapat sokongan padu semua pihak terutama syarikat rakaman.

“Semua ini bergantung kepada syarikat rakaman kerana mereka sewajarnya menolak ke depan karya yang dihasilkan. Kami sudah menjalankan tanggungjawab dengan mengedarkan borang penyertaan kepada semua syarikat rakaman.

“Terpulang kepada mereka untuk menyerahkan kembali borang itu bersama dengan pencalonan artis. Kami sendiri kurang pasti kenapa nominasi dari Malaysia semakin berkurangan. Sebaliknya, APM makin luas diterima di Indonesia dan tahun ini pencalonan daripada karya negara itu menunjukkan jumlah yang begitu memberangsangkan,” katanya pada sidang media APM’07 di Maison, Heritage Row, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dominasi artis Indonesia pada APM’07 cukup ketara terutama bagi kategori Duo/Kumpulan Baru Terbaik dan Duo/Kumpulan Terbaik apabila kesemua finalis adalah penggiat seni dari negara itu.

“Kehadiran artis berkumpulan sebenarnya banyak memberi kelebihan kerana mereka boleh menghantar penyertaan untuk pelbagai kategori lain. Sayang kerana Malaysia tidak memiliki banyak band yang berpotensi untuk diketengahkan serta mampu bersaing dengan band dari Indonesia,” katanya.

Jika mahu berbangga, Malaysia berupaya menyandar harapan kepada Datuk Siti Nurhaliza dan M Nasir yang masing-masing tersenarai dalam tiga pencalonan. Siti akan bersaing dalam kategori Artis Wanita Terbaik dan Album Terbaik, manakala lagunya, Biarlah Rahsia yang dicipta komposer Indonesia, Melly Goeslaw dicalonkan untuk Lagu Terbaik.

M Nasir pula dicalonkan untuk Artis Lelaki Terbaik, Album Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Juwita (Citra Terindah). Bakat baru, Noryn Aziz juga mampu menyerlah apabila meraih dua nominasi iaitu Artis Baru Wanita Terbaik dan Artis Wanita Terbaik. Selain Siti dan Noryn, kategori itu juga disaingi Jaclyn Victor dan dua penyanyi Indonesia, Agnes Monica dan Audy.

Turut tersenarai dalam Top 5 APM’07 ialah Izwan Pilus serta dua bintang Akademi Fantasia 4, Farhan dan Faizal yang bertanding untuk kategori Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Wanita Baru Terbaik.

Hanya nama ini yang membawa harapan besar negara untuk bersaing dengan karyawan popular Indonesia Dewa 19, Melly Goeslaw, Nidji, Kerispatih dan Samsons yang pernah mencipta kejayaan luar biasa di negara mereka.

“Mungkin juga syarikat rakaman kurang berkeyakinan kerana kebanyakan produk mereka lebih tertumpu kepada penerbitan album kompilasi. Keadaan itu turut menyumbang kepada penurunan jumlah pencalonan yang drastik.

“Syarat penyertaan untuk APM adalah yang paling fleksibel dan kami tidak pernah mendiskriminasi apa juga album asalkan penerbitannya memenuhi syarat,” katanya.

Buat pertama kali, APM’07 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Singapura pada 8 Jun depan memperkenalkan Anugerah Kemanusiaan sebagai penghargaan kepada artis yang berjasa dalam aktiviti sosial.

Amin berkata, pengaruh artis kini semakin besar malah mereka juga sudah bersedia untuk keluar dari pentas hiburan dan melangkah ke arena nasional dengan membantu isu sosial serta ekonomi yang semakin meruncing.

“Dengan adanya anugerah ini, APM’07 mengiktiraf sumbangan artis terbabit kepada masyarakat serta peranan yang dimainkannya dalam menyebarkan semangat kemanusiaan,” katanya.

APM’07 mempertandingkan keseluruhannya 16 kategori iaitu lapan kategori terbaik, tiga anugerah terbaik khusus untuk penggiat seni Indonesia, empat kategori popular dan satu anugerah khas.

Antara artis yang akan membuat persembahan pada malam itu ialah Jaclyn Victor, Noryn Aziz, Altimate, Misha Omar, Estranged dari Malaysia, Taufik Batisah, Hady Mirza, Mawar Berduri, Syed Azmir (singapura) serta Gita Gutawa, Letto, Glenn Fredly dan Krisdayanti (Indonesia).

INFO
Finalis APM’07



Artis Lelaki Baru Terbaik:

Faizal AF4 - Best Of Faizal AF4
Imran Ajmain - Dengan Secara kebetulan
Irwansyah - OST Heart
Izwan Pilus - Erti Kasih

Artis Wanita Baru Terbaik:

Acha Septriasa - Heart
Farhan AF4 - Best Of Farhan
Noryn Aziz - Alam Maya
Reika Roslan - Bercerita
Terry - Terry

Duo/Kumpulan Baru Terbaik:

Kerispatih - Kerispatih
Letto - Truth, Cry & Lie
Nidji - Breakthru
Rea - 1/2 Gila
Samsons - Naluri Lelaki

Artis Lelaki Terbaik

Ari Lasso - Selalu Ada
Glenn Fredly - Aku & Wanita
Iwan Fals - Iwan Fals In Love
Marcell - Marcell
M Nasir - Sang Pencinta

Artis Wanita Terbaik

Agnes Monica - Whaddup A?
Audy - 2303
Jaclyn Victor - Inilah Jac
Noryn Aziz - Alam Maya
Siti Nurhaliza -Transkripsi

Duo/Kumpulan Terbaik

Dewa 19 - Republik Cinta
Kerispatih - Kerispatih
Letto - Truth, Lie & Cry
Samsons - Naluri Lelaki
Ungu - Melayang

Lagu Terbaik

Biarlah Rahsia (Siti Nurhaliza) - Melly Goeslaw/Siti Nurhaliza
Cinta Terakhir (Ari Lasso) - Irfan (Samsons)/Ari Lasso
Demi Waktu (Ungu) - Enda
Juwita (Citra Terindah) (M Nasir) - M Nasir
Kenangan Terindah (Samsons) - Irfan

Album Terbaik

Breakthru - Nidji
Kerispatih - Kerispatih
Naluri Lelaki - Samsons
Republik Cinta - Dewa 19
Sang Pencinta - M Nasir
Transkripsi - Siti Nurhaliza

Lagu Terbaik Singapura

Goda - Bhumiband
Kau - Merah
Sombong - Taufik Batisah
Sudah Tu Sudah - Imran Ajmain
Usah Lepaskan - Taufik Batisah


Artis Terbaik Singapura


Bhumiband
Imran Ajmain
Iskandar Ismail
Norazela Rosli
Sound Salvation

Album Terbaik Singapura

Dengan Secara Kebetulan - Imran Ajmain
Dengar Dan Lihat - Iskandar Ismail
Di Sini Menanti - Norazela Rosli
Konspirasi Dunia - Bhumiband
Wira Cosmo - Malex

Kategori Popular

Artis Lelaki Paling Popular

Ajai
Awie
Faizal AF4
Glenn Fredly
Irwansyah
Iwan Fals
Hady Mirza
Marcell
Mawi
M Nasir
Once
Taufik Batisah

Artis Wanita Paling Popular

Acha Septriasa
Adibah Noor
Agnes Monica
Audy
Ella
Jaclyn Victor
Krisdayanti
Melly Goeslaw
Misha Omar
Ning Baizura
Rossa
Siti Nurhaliza

Kumpulan Paling Popular

Ahli Fiqir
Dewa 19
Gigi
Letto
Nidji
Peterpan
Pretty Ugly
Radja
Samsons
Search
Sofaz
Ungu

Lagu Paling Popular

Aku Ada Karena Kau Ada - Radja
Biarlah Rahsia - Siti Nurhaliza
Demi Waktu - Ungu
Diari Seorang Lelaki - Pretty Ugly
Juwita (Citra Terindah) - M Nasir
Kenangan Terindah - Samsons
Kian - Mawi
My Heart - Irwansyah & Acha Septriasa
Sedang Ingin Bercinta - Dewa 19
Sudah Tu Sudah - Imran Ajmain
Tak Ada Logika - Agnes Monica
Terlalu Istimewa - Adibah Noor

Tiada ulasan: