Rabu, April 18, 2007

M.Nasir: Asyik-asyik muka sama yang menang!

petikan Mstar Online 18 April 2007
Radin Sri Ghazali


M.Nasir bersyukur kerana hasil gubahnnya masih diterima orang
(Foto The Star Oleh Norafifi Ehsan)

Pengelolaan anugerah Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2007 baru-baru ini melihatkan dominasi komposer-komposer lama daripada segi penamaan calon.

Nama-nama seperti M.Nasir, Habsah Hassan, Adnan Abu Hassan, Loloq serta S.Amin Sahab masih memonopoli dunia penulisan serta penciptaan lagu industri tempatan.

Walaupun pembabitan nama-nama ini sudahpun menjangkau lebih dua dekad lamanya di dalam industri muzik namun mereka masih bertahan tanpa digugat oleh komposer-komposer baru.

Bagi M.Nasir, kemenangan sebagai Komposer Terunggul MACP 2007 merupakan kemenangannya ketujuh sejak tahun 1996.

"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana hasil karya saya masih diterima oleh orang.

"Malah saya bersyukur kerana saya masih diberi tenaga untuk mengolah serta menghasilkan karya-karya muzik untuk artis-artis kita kini," ujarnya yang memenangi kategori berprestij itu menerusi ciptaan lagu Cinta Dewa Dewi nyanyian kumpulan rock, Spider.

Namun, ketika diajukan soalan ke manakah hilangnya muka-muka baru dalam industri penulisan lagu, bekas pengetua Akademi Fantasia 3 melepaskan perasaan kegusarannya.

"Saya amat risau mengenai ketiadaan mereka terutamanya pada malam ini.

"Sememangnya betul kata anda kalian, asyik-asyik muka yang sama tetapi apakan daya industri kita kekurangan pelapis untuk meneruskan seni penghasilan lagu," ujar M.Nasir lagi mengenai kekurangan pembabitan orang muda dalam industri ini.

Gambar dari Barita Harian 19 April 2007Ketika ditanya jika peranan badan MACP kurang efektif dalam mengembang bakat-bakat baru, M.Nasir menjawab, "MACP pada dasarnya adalah untuk melindungi penulis serta pencipta lagu serta memastikan terdapat pengedaran royalti yang saksasma dengan hasil karya golongan pemuzik.

"Mereka tidak ditubuhkan untuk mengembangkan bakat-bakat baru untuk bertapak dalam industri ini.

"Namun mereka cuba menggalakkan golongan muda untuk menceburi bidang ini. Malah, usaha mereka terbukti apabila satu kategori iaitu Komposer Muda Berpotensi diwujudkan sejak 2001 lagi."

Menurutnya lagi, kategori tersebut amat memadai dan pihak MACP tidak perlu menambah sebarang kategori untuk menggalakkan golongan komposer muda melibatkan diri dalam industri muzik tempatan.

"Punca utama kekurangan golongan komposer muda adalah hilangnya keyakinan mereka terhadap industri ini. Selain daripada kemerosotan pulangan secara kewangan, ramai yang mengalah apabila mereka melihat dominasi muzik daripada luar.

"Ini membuatkan ramai golongan muda enggan mengambil bidang penulisan dan gubahan muzik sebagai kerjaya mereka ," ujar komposer Aduh Saliha ini lagi.

Menurutnya lagi, fokus yang diberikan terhadap rancangan-rancangan realiti turut menjadi punca ketandusan generasi pelapis dalam bidang penulisan lagu.

"Negara kita mempunyai terlalu banyak rancangan realiti untuk mencungkil bakat-bakat baru sebagai penyanyi. Pihak media juga turut membuatkan rancangan seperti ini sebagai titik fokus liputan mereka.

"Oleh itu, golongan penulis serta komposer muda merasakan diri mereka tidak mempunyai ruang ataupun publisiti yang baik untuk mencipta nama dalam bidang ini.

"Lagipun, kita tidak dapat nafikan bahawa industri muzik kita mempunyai banyak penyanyi berbanding dengan golongan komposer serta penulis.

"Jarang sekali pihak media menonjolkan komposer-komposer pelapis ke arus perdana," tegasnya lagi mengenai faktor yang menghalang percambahan bakat-bakat muda sebagai komposer.

M.Nasir sendiri mengambil beberapa langkah untuk menggalakkan golongan muda berkecimpung dalam industri muzik tempatan.

"Di syarikat saya (Luncai Emas), kami memberi kebebasan kepada bakat-bakat muda untuk berkembang samada daripada segi nyanyian mahupun penulisan dan gubahan lagu.
"Walaupun langkah ini hanya berada pada tahap permulaan, saya tetap berharap agar tindakan ini sedikit sebanyak membantu komposer muda agar berani menampilkan diri di dalam industri ini," ujarnya lagi.

Bagi pemenang kategori Persembahan Terbanyak, kumpulan Spider menganggap bahawa kemenangan mereka diibaratkan sebagai satu rezeki setelah hampir setahun tidak mengeluarkan album baru.

"Kami sememangnya tidak menduga bahawa kami akan menerima sebarang anugerah pada malam ini.

"Malah lagu Rela ku Pujuk merupakan sebuah lagu yang agak lama untuk kumpulan kami," ujar Rustam Mustafah atau lebih popular digelar sebagai Tam selaku vokalis kumpulan Spider mengenai kemenangan pertama menreka menerusi anugerh MACP 2007.


Spider antara golongan muda yang meraih kejayaan di MACP 2007
(Foto The Star)

Namun, kumpulan Spider dilihat antara penerima termuda pada anugerah berprestij tersebut.

"Industri kita bukannya kekurangan komposer muda tetapi ramai di antara mereka tidak mempunyai saluran yang betul untuk menunjukkan hasil ciptaan mereka," ujar Tam mengenai isu kekurangan komposer generasi muda di negara ini.

"Mereka mempunyai banyak hasil ciptaan tetapi jarang sekali karya mereka digunakan. Seperti Spider, kami amat bertuah kerana kami menggunakan saluran yang betul serta kami mempunyai ramai kenalan dalam bidang ini untuk membantu kami," ujar Tam lagi.

Tiada ulasan: