petikan Utusan Malaysia 26 Mac 2007
HAMPIR setahun juara Akademi Fantasia 3 ini tidak muncul dengan album studio terbarunya. Kali terakhir dia muncul dengan album studio pada April tahun lalu yang berjudul Mawi... Doa, Berzanji, Marhaban & Qasidah Berlagu.
Album tersebut berjaya meraih jualan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 118,000 unit.
Selepas itu, Mawi atau Asmawi Ani terus sibuk memenuhi undangan pentas selain cerita kontroversi yang tak sudah melanda dirinya.
Timbul juga persoalan adakah jejaka kelahiran Kulai, Johor ini sudah tidak berminat melahirkan album baru lagi?
Namun kunjungan Pengarah Urusan Zezz Entertainment merangkap jururunding Maestro Records, Mohd. Firhad Amat ke pejabat MEGA baru-baru ini menamatkan teka-teki itu.
Mohd. Firhad membawa khabar gembira buat peminat fanatik Mawi yang tidak tertahan rindu mendengar vokal ‘jantannya’ mengalunkan lagu-lagu baru.
Awal April ini, album terbaru penyanyi berusia 26 tahun itu berjudul Satu Dalam Seribu akan berada di pasaran.
“Sepatutnya album ini diedarkan Disember lalu namun ia tertangguh sebanyak lima kali kerana cara kerja komposer M.Nasir yang begitu teliti.
“Malah sehingga kini, terdapat tiga lagu masih lagi dalam peringkat mixing dan akan siap dalam tempoh terdekat ini.
“Akibatnya juga, pihak kami terpaksa menangguh dulu album Idolaku Yang Tercinta yang mengandungi lagu baru dan lama di mana Mawi berduet dengan ramai artis popular,” katanya apabila ditanya tentang punca kelewatan album itu.
Penuh simbolik
Menurut Mohd. Firhad, album kali ini memiliki keunikan yang tersendiri hasil perbincangan pihaknya bersama Mawi dan M. Nasir.
Paling penting katanya ialah pembaharuan muzik yang segar dan pelbagai sebagai kelainan Mawi setahun setengah bergelar artis.
“Selepas berbincang dengan M. Nasir, kami ingin capture emosi Mawi untuk memberi mesej kepada para pendengar.
“Nyanyian daripada jiwa Mawi pula akan memberi interpretasi kepada pendengar melalui pengalaman yang dilaluinya selama ini.
“Selain lirik lagu, gambar-gambar Mawi dalam album ini penuh dengan nilai artistik sebagai simbolik berserah kepada Tuhan,” katanya sambil memberitahu proses rakaman bermula sejak Oktober lalu.
Sebanyak 10 lagu terdapat dalam album Satu Dalam Seribu iaitu Mungkin Langitmu Lebih Biru, Angan Dan Sedar, Demi Dia, Satu Dalam Seribu, Ya Salaam, Hanya Untukmu (lagu tema filem Pesona Non Grata), Ujian Buatmu - Sehebat Yang Ada.
Manakala tiga lagu yang masih mixing itu ialah Cinta Zulaikha, Insya-Allah dan Tercipta Untukmu.
Apa yang mengejutkan, sebanyak 30,000 unit album berkenaan sudah ditempah walaupun belum lagi siap sepenuhnya.
Sementara itu, harga album untuk edisi khas ialah RM25.90. Peminat akan mendapat rekaan album berbentuk DVD bersama booklet berwarna gambar Mawi. Harga album biasa pula ialah RM21.
Album Indonesia
Selain sibuk berlakon filem Aduh Saliha, Mawi bakal ke Indonesia untuk merakam album di sana.
Kata Mohd. Firhat, antara komposer seberang yang sudah memberi lagu kepada Mawi ialah Piyu daripada kumpulan Padi.
Jelasnya, pihak Maestro berasa bangga dengan kesudian Piyu itu memandangkan komposer tersebut terlalu cerewet dan hanya penyanyi Arilasso yang berpeluang merakam lagunya sebelum ini.
“Kami merancang untuk memulakan proses rakaman pada Julai ini. Album ini khusus untuk pasaran di Indonesia sahaja.
“Selepas dipasarkan di sana, baru album itu dipasarkan di Malaysia,” ujarnya sebelum menamatkan perbualan.
Jualan album-album Mawi
* Mawi World (Ogos 2005)
- 165,000
* Mawi Tercinta (November 2005)
- 126,000
* Mawi... Doa, Berzanji, Marhaban & Qasidah Berlagu (April 2006)
- 118,000
* Konsert Fantasia (Ogos 2006)
- 20,000
1 ulasan:
Apa dah jadi dengan album Yazer? Ada pilih kasih ke?
Catat Ulasan