Selasa, Ogos 08, 2006

Apabila dua penyanyi sensasi berkongsi pentas

petikan Berita Harian 8 Ogos 2006
Oleh Rozdan Mazalan

GABUNGAN mantap dua penyanyi sensasi, Siti Nurhaliza Tarudin dan M Nasir menggegarkan penempatan Setia Alam di Meru Klang apabila berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung malam kelmarin.


Setia Alam yang dihadiri pengunjung yang tidak mengira bangsa hadir bagi menyaksikan konsert anjuran pemaju SP Setia bagi memberi penghargaan penduduk yang menetap di sana.

Rata-rata pengunjung tidak pulang hampa kerana persembahan yang disajikan adalah himpunan lagu popular mereka berdua, lebih-lebih lagi mereka dapat menyaksikan persembahan secara percuma.

Apa yang menarik pada persembahan itu adalah konsert yang dijayakan di dalam kawasan taman rekreasi yang luas berdekatan tasik yang cantik dengan berbumbung bintang membuatkan penonton berasa begitu santai.

Bagi mereka yang tidak memiliki pas masuk percuma, empat skrin layar besar yang dipasang sudah cukup untuk melihat segala persembahan di taman yang begitu indah dengan panorama menarik di sekitar.

Penganjur turut menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penonton yang hadir untuk memasuki ke kawasan itu di mana kenderaan harus diletakkan di satu kawasan khas sebelum dijemput dengan menaiki bas.

Kemunculan Siti sangat dinantikan penonton yang tidak sabar untuk mendengar kelunakan suara dan wajah seri bakal pengantin itu mendendangkan lebih 10 lagu yang pernah mengangkat namanya suatu masa dulu.

Siti yang tampil di pentas ditemani M Nasir turut berduet dengan lagu pertamanya Dua Insan yang mendapat tepukan gemuruh peminatnya.

Antara lagu lain yang dinyanyikan seperti Destinasi Cinta, Medley Bukan Cinta Biasa, Dialah Di hati dan Seindah Biasa. Medley lagu Indonesia seperti Teman Tapi Mesra (Ratu), Pupus (Dewa) dan Pudar (Rossa). Selain itu lagu Mandarin, Wo Ai Nee, Dealova (Once), Nirmala, Lagu Rindu dan Biarlah Rahsia.

Persembahan satu jam 45 minit itu dengan keadaan cuaca yang sangat baik, seakan merestui persembahan Siti yang akan mula mengenepikan sementara aktiviti seninya, bermula 15 Ogos ini bagi menumpukan persiapan terakhir sebelum menaiki jinjang pelamin bersama Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K pada 28 Ogos ini di Pusat Kovensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bagaimanapun, konsert itu tidak pula dihadiri bakal suami Siti sendiri, Datuk K dan anak-anaknya yang khabarnyasering mengikuti ke mana saja konsert yang dijayakannya.

Hadir sama pada konsert itu, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun dan Pengarah Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Mustapa Omar.

Suasana yang indah pada malam itu turut diterangi dengan percikan bunga api sebagai tirai penutupan konsert pada malam itu.

Tiada ulasan: