Selasa, Julai 04, 2006

M Nasir bangga prestasi jualan Sang Pencipta

petikan Berita Harian 4 Julai 2006


MENGAMBIL kira keadaan semasa, M Nasir tetap berasa bangga album terbarunya Sang Pencipta mencatatkan jualan lebih 12,000 unit selepas hampir dua bulan berada di pasaran.

Album itu mengambil masa disempurnakan, hampir dua tahun, satu tempoh yang dianggap Nasir sebagai agak lama.

Dan, ketika ini ancaman kepada pasaran muzik bukan saja cetak rompak tetapi juga kecanggihan teknologi multimedia apabila orang ramai boleh memuat turun (download) sesuatu karya muzik dengan mudah.

“Pada saya kalau lebih dua tahun tak buat album bermakna sudah lama. Peminat sekarang sudah tidak peduli kita siapa, kalau lama tak ada album baru, mereka beralih pada penyanyi lain.

“Ini kenyataan. Saya bernasib baik album ini (Sang Pencipta) sudah dijual mencapai angka itu (lebih 12,000 unit). Album saya sebelum ini pun memang tidak tinggi jualannya,” kata M Nasir yang ditemui selepas sesi bertemu peminat di Tower Records, KLCC baru-baru ini.

Ia adalah aktiviti pertama beliau dalam mempromosikan album terbarunya sejak mula dipasarkan pada April lalu.

Selepas lagu Juwita yang sudah berjaya menambat hati peminat muzik, M Nasir mahu mempromosikan lagu Tujuh Nafas, Sang Pencipta dan Definisi Inferniti.

“Pasal Sang Pencipta ini, saya buat sebab saya suka eksperimen. Kadang-kadang saya suka kembalikan lagu lama, gaya lagu yang pernah saya buat dalam album dulu.

“Terpulanglah kepada orang yang menerimanya. Mungkin ada yang sukar sebab sudah ada kebiasaan dengan aliran muzik sekarang,” jelasnya lagi.

Ditanya sama kehadiran album penyanyi Indonesia mengganggu pasaran muzik tempatan, M Nasir berkata, pendapat itu hanya spekulasi semata-mata.

Katanya, menyalahkan media termasuk stesen radio atau TV kerana membesar-besarkan kehadiran penyanyi Indonesia bukan penyelesaiannya kerana pemuzik dan penyanyi sendiri kena bangkit menghasilkan karya lebih bermutu.

“Mereka (penyanyi Indonesia) datang dengan muzik yang hebat. (Tapi) Kita tidak hasilkan muzik sehebat mereka. Kita patutnya ada kumpulan (muzik) yang kuat untuk menjadi benteng yang boleh menahan kedatangan kumpulan dari sana.

“Tapi kita tak ada dua atau tiga kumpulan baru yang betul-betul kuat. Kalau kita ada penyanyi, komposer dan kumpulan muzik yang kuat, sesiapa pun yang masuk kita tetap kuat, kita tidak hairan dengan kehadiran mereka,” katanya lagi.

Nasir juga berpendapat, dunia muzik tanah air ketika ini seolah-olah sudah kekurangan penyanyi dan komposer yang bagus kerana tuntutan yang pelbagai.

“Banyak sebabnya. Komposer atau pencipta sudah tidak ada masa memikirkan lagu yang baik. Komposer kena ambil masa untuk kreatif, tetapi dihambat dengan duit,” jelasnya.

Masihkah buat lagu untuk penyanyi lain? “Buat juga, tetapi saya nak bagi pada siapa sebab tidak ada penyanyi yang bagus. Kalau ada yang minta saya tetap bagi, saya tidak pernah kata tak nak buat,” jawab Nasir.

Beliau juga berpendapat, walaupun sudah ada pelbagai pertandingan mencungkil bakat baru terutama menerusi program realiti TV, masih agak sukar untuk menemui penyanyi yang betul-betul boleh diiktiraf kemampuannya.

“Kita sibuk dengan program realiti TV, rancangan mencari bakat baru, tetapi hanya seorang dua yang berpotensi untuk diketengahkan. Selebihnya tak boleh untuk kita iktiraf,” jelasnya.

FAKTA:

* Album Sang Pencipta adalah album solo ketujuh daripada penyanyi dan komposer yang akan menyambut ulang tahun ke-50 pada 4 Julai nanti. Album solo pertamanya berjudul Untuk Pencinta Seni dikeluarkan pada tahun 1979, diikuti Dia Ibuku (1981), Solo (1988), Saudagar Mimpi (1992), Canggung Mendonan (1993) dan Phoenix Bangkit dihasilkan pada tahun 2001.

* Album sulung bersama kumpulan Kembara berjudul Kembara pada tahun 1981. Selain Nasir, Kembara dianggotai oleh S Sahlan dan A Ali. Selain album Kembara, mereka turut menghasilkan Generasiku (1982), Perjuangan (1983), 1401 Hijrah dan Kembara Seniman Jalanan, kedua-duanya pada tahun 1984.

4 ulasan:

Unknown berkata...

Pencipta ke..Pencinta?
Lain maknanya tu....

Tanpa Nama berkata...

aku rasa album m. nasir terbaru kurang hook seperti album2 yang terdahulu.Dari segi cover album aku sedih based on sifu ada art background komersial macam album Dr.Fazli lak.

Tanpa Nama berkata...

artikel ni aku rasa banyak silap . First , sang pencipta - nampak sangat pengarang ni tal update tak informative .

Second , album sang pencinta ni masa tak sampai 2 minggu dilancar , paper kata dah terjual hampir 15000 . takkan le , dah lebih 1 bulan sejak 29 may , tiba2 terkurang pulak ?

Saudagar Mimpi berkata...

Bagus!!!
Akhirnya ada jugak orang yang perasan kesalahan yang dibuat oleh penulis berita ini (??? ini kesalahan penulis ke atau kesalahan tukang taip?)

Saudagar saja je cut and paste versi yang asal dari Berita Harian online ni nak tengok sama ada, ada yang peka atau tidak. Nampaknya mmg pembaca di luar sana sentiasa peka. :)