Khamis, Julai 20, 2006

M Nasir rasa tak sesuai

petikan Harian Metro 20 Julai 2006
Oleh Norhayati Nordin

LAGU Jiwa Lagu Cinta cukup sinonim dengan M Nasir dan Mawi. Malah, gandingan juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) dengan pengetua AF3 itu sentiasa dinantikan peminat. Namun, ia tidak kesampaian pada malam Hitz 1 Akhir, Sabtu lalu.


Kedua-dua bintang pujaan ramai itu tidak hadir dengan alasan tersendiri. Malah, tempat mereka digantikan dengan kombinasi bintang AF3, Yazer dan Felix. Ternyata ia tidak sia-sia.

Siapa sangka, Lagu Cinta Lagu Jiwa menang besar malam itu. Bukan sekadar memenangi kategori Lagu Terbaik dengan hadiah RM25,000 tetapi turut dipilih Lagu Paling Popular dengan hadiah RM10,000.

M Nasir berkata, dia tidak hadir menyanyi bersama Felix pada malam itu kerana berasa tidak sesuai.

“Pada saya, menyanyi perlu ada kespontanan. Seperti saya dan Mawi, `feel’ itu dapat dirasakan hingga membuatkan melodi yang dinyanyikan sedap didengar.

“Jadi, apabila bergandingan dengan orang lain, ia belum tentu dirasakan kerana tidak semua penyanyi memilikinya. Oleh itu, biarlah ia digantikan dengan Yazer dan Felix,” katanya.

Bekas pengetua AF3 itu berkata, pemilihan Yazer dan Felix juga mendapat persetujuan Maestro Talent & Management yang menguruskan kerjaya seni mereka.

“Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada mereka kerana berjaya mendendangkan lagu itu dengan baik,” katanya.

Mengenai Mawi yang dikatakan gagal mengendalikan urusan peribadi dan kerjaya seninya, M Nasir atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Mohamad mengatakan tidak tahu banyak perkara peribadi Mawi.

“Sukar untuk saya mengulas lanjut mengenai dirinya. Apa yang terjadi padanya ketika ini mungkin disebabkan keadaan sekeliling. Jika dulu dia tidak popular dan dikenali, tapi sekarang semua orang ingin tahu mengenai dirinya.

“Bukan saja kerjaya seninya tetapi juga peribadi. Pihak media juga sentiasa mendekatinya untuk mengetahui kisah terkini dengan soalan bertubi-tubi,” katanya.

Sebagai artis baru, kata M Nasir tidak semua perkara mampu ditangani Mawi dengan baik termasuk isu putus pertunangannya.

“Saya tidak pernah terkejut dengan hal ini. Ia memang akan berlaku sekiranya tidak diurus dengan betul. Pada saya, apa yang berlaku bukan keputusan yang dibuat Mawi seorang diri,” katanya.

M Nasir berkata, artis juga adalah manusia biasa dan dia pernah mengingatkan mana-mana artis, apabila mereka memilih bidang ini haruslah sentiasa bersedia menghadapi media.

Katanya, mereka tidak hanya akan dikenali menerusi perkembangan kerjaya seni semata-mata.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ye la tu sifuu...
feel tak de ke atau takut nanti kalah sebab tak cukup power untuk persembahan terbaik???