petikan Harian Metro 14 Februari 2006
Oleh Rudy Imran Shamsudin
SELEPAS lima tahun tidak muncul dengan album baru, penyanyi dan komposer terkenal, M Nasir, kembali mewarnai industri hiburan tempatan dengan album terbarunya yang dijadualkan berada di pasaran April ini.
ABPBH05
Pastinya peminat setia Nasir teruja dengan lagu ditampilkan dalam album barunya kerana ia ternyata berbeza dengan irama yang pernah dihasilkan sebelum ini. Kali terakhir M Nasir muncul dengan album baru ialah Phoenix Bangkit pada 2001.
Katanya, orang selalu mengaitkan dirinya dengan irama nusantara tetapi sebenarnya muzik itu luas dan pelbagai.
“Sebagai pemuzik, saya suka menghasilkan sesuatu yang baru. Dalam erti kata lain lebih segar. Kerana itu dalam tujuh lagu yang saya hasilkan, anda boleh nampak perbezaannya.
“Apa yang nyata ia lebih ringan dan mudah diterima. Sebagai penyanyi, saya perlu memikirkan aliran muzik terkini. Untuk album terbaru ini, saya cuba terapkan unsur muzik ska dengan elemen rock. Ada juga unsur Barat dan motown.
“Menariknya orang akan ingat muzik yang saya hasilkan ini sedikit retro. Namun segalanya datang daripada aliran muzik sedia ada tetapi saya rangkum menjadi satu.
“Peminat mahupun pendengar mungkin terkejut dengan apa yang saya hasilkan ini tetapi sebenarnya ia mewakili hasil karya saya yang sebenar. Dalam muzik, akar saya adalah Melayu namun ada sedikit Arab, Country dan Blues,” katanya ketika ditemui di majlis Santai Bersama M Nasir di Luncai Emas di Sungai Buloh, Selangor.
Lagu diperdengarkan petang itu ialah Oh Juwita, Dari Sini Ke Eternity, Dalam Lambaian Firdaus, Balada Seorang Teman, Apa Lagi, Setiap Dambaan dan Bahtera Raudah.
Katanya, pembikinan album baru itu mengambil masa agak panjang untuk disiapkan kerana kesibukannya menyiapkan album orang lain di samping berlakon filem dan membuat album runut bunyi. Tahun lalu juga Nasir sibuk menguruskan Akademi Fantasia musim ketiga.
Mengenai penerimaan peminat terhadap hasil karya terbaru ini, Nasir berkata pendengar sendiri tidak tahu apa mereka mahukan.
“Peminat dan pendengar tempatan sebenarnya lebih mudah menerima terutama apa yang sedap di telinga.
“Bagi saya dalam menghasilkan lagu, yang penting adalah idea dan kualiti. Apabila ia dimainkan di radio, orang cepat tangkap dan berkata ini sesuatu yang baru dan itu juga yang saya mahu,” katanya.
Tambahnya, cara album itu dipasarkan penting untuk memastikan ia diterima masyarakat. katanya, dia menyerahkan tugas itu kepada syarikat rakaman.
“Lima lagi lagu sedang disiapkan untuk dimuatkan dalam album ini. Saya mahu memberi hadiah kepada peminat dengan memuatkan dua lagu bonus.
“Maklumlah hampir tiga tahun album ini mengambil masa untuk disiapkan. Jadi biarlah apa yang diperoleh peminat kelak memuaskan hati,” katanya.
Nasir juga mengadakan persembahan Sunday Nite Live di Planet Hollywood 12 dan 19 Februari ini. Nasir turut memperdengarkan beberapa lagu barunya untuk peminat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan