petikan Utusan Malaysia 10 Februari 2006
Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH
Setelah hampir lima tahun menyepi tanpa album baru, tahun 2006 bakal menyaksikan kebangkitan semula karier penyanyi M. Nasir dalam industri hiburan. Setelah kali terakhir muncul dengan album Phoenix Bangkit pada tahun 2001, M. Nasir kembali sibuk di studio untuk proses rakaman akhir albumnya.
“Sebelum ini saya sibuk buat album orang. Lepas itu buat muzik untuk filem pula. Tahun lepas, saya sibuk dengan program Akademi Fantasia 3 (AF3). Habis AF3, terlibat dengan album Mawi. Sampai tidak sempat nak buat album sendiri,’’ kata Nasir memecah sunyi suasana petang itu.
Nasir ditemui pada majlis santai bersama media sempena pradengar album terbarunya di pejabatnya di Sungai Buloh baru-baru ini.
Menurut Nasir, sebenarnya semua lagu dalam album terbarunya itu sudah lama disimpan, cuma menunggu masa yang sesuai untuk dirakamkan.
Katanya, dia memulakan proses rakaman lagu-lagu itu sejak tahun lepas. Sebanyak tujuh lagu sudah disiapkan buat masa ini manakala lima lagu lagi dalam proses membuat lirik.
Pada majlis itu, kesemua tujuh lagu yang liriknya ditulis oleh Nasir diperdengarkan iaitu Oh Juwita, Dari Sini Ke Eteniti, Dalam Lambaian Firdaus, Balada Seorang Teman, Apa Lagi, Setiap Dambaan dan Bahtera Raudah.
Kesemua lagu itu jelas menunjukkan perubahan segar yang cuba ditonjolkan oleh bekas pengetua AF3 itu. Apa yang pasti, irama nusantara yang menjadi jiwa Nasir semakin terpinggir dalam album itu. Malah album itu turut mengetengahkan irama pop rock dan raggae yang menjadi identiti Nasir pada zaman kegemilangan kumpulan Kembara.
“Saya seronok mencuba sesuatu benda baru. Saya gemar dengan irama rentak polka yang disulami dengan elemen rock.
“Sebenarnya saya tidak mahu terikat dengan irama nusantara sahaja. Orang selalu cakap kalau M. Nasir, ia mesti dikaitkan dengan irama nusantara. Tetapi sesuatu pembaharuan yang dilakukan mesti sesuai dengan penyampaian seorang penyanyi,’’ kata Nasir sambil menjelaskan irama rentak dolka adalah irama muzik yang popular pada awal 1970-an dan amat diminati oleh pemuzik kulit hitam Amerika.
Menurut Nasir, lagu Oh Juwita dan Lambaian Firdaus lebih berunsurkan rentak dolka manakala Balada Seorang Teman menampilkan bunyi piano untuk mewujudkan suasana kesunyian pada lirik lagu supaya pendengar dapat merasakan keadaan diri yang dipinggirkan.
“Saya ambil masa dua bulan untuk memasukkan elemen-elemen muzik pada lagu. Saya jangkakan album ini dapat disiapkan sepenuhnya hujung bulan ini dan berada di pasaran pada penghujung Mac,” kata Nasir.
Ditanya tentang konsep lima lagu yang belum dirakamkan lagi, Nasir berkata, ia terbuka kerana dalam dunia seni banyak benda boleh terjadi.
Menurut Nasir, sama ada dia akan berduet dengan artis lain masih belum pasti malah tidak mustahil dia akan menyanyi secara trio atau berkumpulan untuk lima lagu lagi yang belum dirakamkan.
“Kalau menyanyi duet, tumpuan pendengar akan terganggu dan tertumpu kepada penyanyi. Mereka bukan memfokuskan kepada album penyanyi,’’ kata Nasir terus terang.
Dia juga menyifatkan album barunya itu sebagai hadiah kepada peminat setia kerana mereka telah menanti terlalu lama sejak tahun 2001.
Nasir puas dengan album itu kerana dia berpeluang mendapat kebebasan penuh untuk berkarya.
Susunan muzik dalam album terbarunya itu dilakukan secara spontan hasil eksperimen beberapa jenis muzik.
Katanya, ada lagu yang kosong tanpa instrumen manakala ada satu atau dua instrumen diselitkan dalam lagu. Ada juga lagu yang menggunakan hingga empat instrumen dalam sebuah lagu.
“Yang pasti gubahan muziknya ringkas supaya masyarakat boleh menerima lagu-lagu dalam album ini,’’ katanya.
Nasir sempat berbicara tentang cita rasa pendengar muzik Malaysia yang tidak tahu apa yang mereka mahu.
Katanya, pendengar hanya inginkan lagu yang sedap dan ini mencabar kreativiti anak seni.
“Kalau kena dengan waktu, masyarakat mungkin boleh terima sesuatu yang baru. Masalahnya, ada lagu sedap, tetapi album tidak boleh jual,’’ jelas Nasir.
“Kerana itu amat penting untuk kita buat lagu yang sesuai dengan persona artis itu sendiri,’’ katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan