Oleh
Khalid Khamis
petikan Cyberasia
KONSERT Ribut Damai yang menyaksikan penyanyi Ramli Sarip berpisah dengan gitar kesayangannya menghasilkan kutipan lebih $50,000.
Sebahagian pungutan itu akan disalurkan kepada badan bantuan kemanusiaan Mercy Relief untuk digunakan bagi projek meringankan kesengsaraan mangsa bencana tsunami di Aceh.
Konsert di Dewan 2, Singapore Expo kelmarin itu gempar antara lain dengan persembahan gandingan artis popular Ramli Sarip dari Singapura, M. Nasir dari Malaysia dan Ebiet G. Ade dari Indonesia.
Ia turut dimeriahkan lagi dengan lelongan gitar kesayangan 'Papa Rock' Ramli, jenis Grodin Multitiac Steel SG Natural ERG94VES15.
Gitar itu dilelong pada harga $8,888 hasil taruhan tertinggi oleh Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Kampong Ubi.
Taruhan bagi gitar tersebut dibuka pada harga $3,000.
Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri) yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade serta penasihat CCC itu, Encik Mohamad Maidin Packer Mohd, menerima gitar tersebut daripada Ramli.
Encik Mohamad Maidin berkata CCC itu juga merancang beberapa lagi projek bantuan bagi mangsa bencana tersebut, terutama anak yatim.
Ketika dihubungi, Pengurus Program Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa Mercy Relief, Encik Halifi Hussin, berkata dana itu akan digunakan hanya untuk projek bantuan di Aceh.
Mercy Relief merancang membina semula dua rumah anak yatim yang menempatkan sekitar 100 kanak-kanak di Meulaboh, yang dijangka menelan kos sekitar $5,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan