Oleh MUZLINA ABU BAKAR
petikan Utusan Malaysia 22 April 2005
PASANGAN suami isteri terkenal, M. Nasir dan Marlia Musa dipilih antara peneraju utama rancangan realiti TV Akademi Fantasia 3 (AF3) terbitan Astro yang akan mula disiarkan pada pertengahan Mei ini.
M. Nasir yang dipilih sebagai Pengetua AF3 dan Marlia sebagai guru seni persembahan, akan digandingkan dengan tenaga pengajar baru dan lama agar dapat memberi impak pada rancangan realiti TV yang menjadi kesukaan ramai itu.
Satu lagi nama baru yang digandingkan sebagai tenaga pengajar ialah Mohd. Fathee Abdullah sebagai guru tarian dan koreografi.
Mohd. Fathee akan berganding bahu dengan Linda Jasmine yang kekal sebagai guru tari dan koreografi untuk tiga musim berturut-turut.
Selain Linda, tenaga pengajar musim pertama hingga ketiga yang masih kekal ialah Adnan Abu Hassan sebagai guru vokal dan Siti Hajar sebagai guru nada suara.
Sementara Fatimah Abu Bakar yang muncul sebagai penasihat pelajar pada AF2, kini dipilih sebagai guru bahasa Inggeris dan penasihat pelajar sementara Dr. Azahari Othman kekal sebagai pakar motivasi.
Ketua Program Melayu Astro, Rozina Aziz ketika mengumumkannya pada satu majlis khas di sebuah hotel di Kuala Lumpur kelmarin, berharap gandingan baru dan lama ini dapat melahirkan karyawan seni yang boleh dibanggakan.
Menyentuh mengenai guru bahasa Inggeris yang diadakan buat pertama kali, Rozina memberitahu, ia untuk membantu para pelajar menguasai bahasa itu di samping membawakan lagu-lagu Inggeris dengan baik.
Mengenai pemilihan M. Nasir sebagai pengetua, Rozina memberitahu walaupun ada beberapa nama yang disenaraikan tetapi setelah melakukan beberapa perbincangan, di saat akhir mereka memilih M.Nasir.
Bagaimanapun beliau menafikan desas-desus kononnya pemilihan Marlia sebagai memenuhi syarat M. Nasir untuk menyertai AF3.
Sementara itu pada sidang akhbar itu, M.Nasir menegaskan, akan cuba menyuntik elemen-elemen serius dalam melahirkan penyanyi yang berkualiti.
``Saya sudah kenal ramai penyanyi. Ada yang berbakat dan ada yang tidak berbakat. Sebagai pengetua, saya akan cuba melahirkan penyanyi yang bakatnya diasah kerana setiap orang mempunyai keistimewaan tersendiri.
``Sebenarnya konsep rancangan realiti TV semuanya sama. Cuma kita perlu tahu, apakah karakter yang kita mahukan daripada seseorang itu.
``Saya tahu apabila saya bersedia menjadi Pengetua, ia merupakan satu cabaran yang harus saya hadapi tetapi saya sukakan cabaran itu walaupun saya mendapat SMS daripada teman-teman yang tidak begitu setuju saya menjadi Pengetua AF3,'' cerita M. Nasir.
M.Nasir yang memberi persetujuan tiga hari sebelum majlis tersebut, memberitahu walaupun dia tidak menjadi penonton setia AF namun dia tahu konsep dan intipati rancangan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan