petikan NSTP emedia
Oleh Abie Abdullah
SELEPAS puas meneliti rak cakera padat (CD) di ruang muzik di rumah, akhirnya saya mendapat keputusan untuk menyenaraikan 10 album Melayu terbaik yang diterbitkan sepanjang tahun 2001. Mungkin setiap orang ada pilihan sendiri, tetapi inilah pilihan saya.
Perkiraan saya lebih kepada mutu rakaman, kelainan lagu yang ditampilkan, penyampaian vokal serta persembahan keseluruhan setiap album. Agak sukar mencari yang terbaik dalam banyak produk yang dikeluarkan dalam zaman ‘cetak rompak’ ini. Namun akhirnya saya temui...
Phoenix Bangkit (M Nasir), Aku Cintakanmu (Ziana Zain), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah), Mimpi (Camelia), Syyh...Syafinaz (Syafinaz), Aman (Rabbani), Ada (Exists), Perjalanan Seni (Tan Sri SM Salim), Ilham Bicara (Ella), Safa (Siti Nurhaliza) dan Mimpi Laila (Yasin).
Entah (Jeslina) juga menarik dan Kalau Kirana (Nora) diterbitkan dalam tahun ini, pastinya ia juga dalam senarai saya.
Sebagaimana yang kita maklum, pasaran album tempatan masih berada dalam dilema dan di tahap yang kurang memuaskan. Lantas ‘sempena’ situasi itu syarikat-syarikat rakaman tidak mahu bersikap pasif, sebaliknya aktif dengan mengeluarkan album kompilasi.
Album kompilasi menjadi tonggak utama mana-mana syarikat rakaman buat masa ini, itu fakta. Namun ini tidak bermakna tiada album baru dikeluarkan sebaliknya masih rancak tetapi berhati-hati.
1. PHOENIX BANGKIT
Biarpun ia belum diiktiraf oleh Anugerah Industri Muzik (AIM) tapi inilah pilihan saya sebagai Album of The Year. Dalam ulasan mengenai album ini dulu, saya katakan album inilah yang membuatkan saya makin mengikuti perkembangan M Nasir.
Setakat ini mana-mana radio di Malaysia terus galak memutarkan lagu Raikan Cinta sejak berbulan-bulan lalu. Walaupun lagu bercorak fiesta ini masih sedap di halwa telinga, tetapi sembilan lagu lain dalam album ini tidak kurang hebatnya.
Bagi saya, Sahabat Gua dan Hijab Kekasih adalah yang terbaik daripada yang baik dalam Phoenix. Identiti Nasir tetap dikekalkan tetapi Nasir lebih membesarkan kepompong genre muziknya.
Berasaskan irama Arab, Nasir mencari pengaruhnya dalam muzik tradisional tempatan, lalu terhasillah Phoenix Bangkit. Sesuai dengan tajuknya juga, menggambarkan kebangkitan Nasir selepas berhijrah ke Warner Music. Kehadiran Prahara Seni Abadi sebuah kompilasi terbitan syarikat rakaman lamanya, BMG Music gagal mengatasi kehebatan ‘burung’ barunya ini.
2. AKU CINTAKANMU
Puas juga menentukan album kedua terbaik perkiraan saya di antara Ziana, Dayang dan Syafinaz, tetapi saya memilih album baru ibu kepada seorang anak ini.
Ziana dikenali dengan nada yang tinggi dan album ini tidak terlepas memuatkan ‘suara menjeritnya’ seperti dalam Menadah Gerimis dan Terkenang Jua. Namun, saya meletakkan album ini di carta kedua kerana ‘bunyi’ rakamannya yang lebih mewah kedengaran.
Pertama kali mendengar lagu-lagu album ini, hati saya berkata ‘yes’. Malah pemilihan lagu juga bagus, tidak kira sentimental atau rancak. Fatalistik ‘lari’ daripada kerancakan lagu yang biasa dimuatkan dalam albumnya sebelum ini. Fatalistik lebih moden daripada Sangkar Cinta mahupun Satu Detik.
Bagaimanapun dua lagu terbaik yang tidak jemu saya dengar ialah Aku Cintakanmu dan Lara. Kedua-dua lagu ini meminimumkan muziknya yang secara langsung menekankan kepada vokal Ziana.
Pengawalan suaranya tetap hebat biarpun baru lepas pantang kerana melahirkan anak sulungnya, Aiman. Aku Cintakamu memang tinggi tetapi Ziana selamba membawa lagu ini.
Lara pula lebih tenang dan Ziana tidak menggunakan kelebihan menjeritnya dan ini memberi kelainan berbanding penyampaian dalam lagu lain.
Tambah cantik dengan penampilan kulit album yang menarik, nampak kerja yang bersungguh-sungguh.
3. SYYH...SYAFINAZ
INI adalah antara rakaman dan gubahan yang terhebat dibuat tahun ini. Tolak ketepi kontroversi, album ini sebenarnya sebuah produk yang patut menjadi koleksi anda dan seharusnya berbangga memiliki hasil tangan anak tempatan.
Bukan saja olahan semula yang menarik tetapi juga mutu rakaman yang membuatkan saya ‘salute’ pada penerbitnya, Ahmad Izham Omar.
Bukan kerja mudah barangkali untuk ‘menyedapkan’ masakan yang sudah sedia sedap dan album ini berjaya merealisasikannya.
Kena pula dengan penyanyinya, Syafinaz yang mempunyai citarasa tinggi pakar dalam teknik pengawalan suara. Rindumu Rinduku disuntik dengan elemen yang lebih terkini menghasilkan lagu ini tersendiri.
Namun lagu yang paling saya berkenan dalam album ini ialah DAN, sebuah lagu baru ciptaan Izham.
Berentakkan R&B Melayu, lagu ini tidak hanya indah pada melodi tetapi juga kata-katanya ditujukan kepada komposer veteran, Datuk Ahmad Nawab.
4. SEANDAINYA MASIH ADA CINTA
KALAU ada peluang yang lebih besar, Dayang mampu pergi lebih jauh. Penyanyi ini tersendiri bukan hanya pada gaya, tetapi vokalnya yang garau dan tidak salah ada yang mengatakan suaranya ala-ala Niger. Kena pula dengan konsep pop R&B yang diketengahkannya.
Saya mengikuti perkembangan Dayang sejak album pertama yang gagal dijual dengan baik disebabkan masalah dalaman syarikat rakaman. Hakikat Cinta, Kembalilah Sayang dan Hujan Lagi Hati Ini adalah antara lagu-lagu sedap dari album yang dikeluarkan pada 1999 itu.
Melalui SMAC, Dayang begitu menonjol dengan publisiti meluas oleh pihak media. Ramai mengakui kebagusannya dan lagu yang menjadi tajuk album ini banyak membantu ke arah itu.
Biasanya agak sukar rentak ala-ala R&B itu untuk diterima ramai, tetapi Ajai menemui resipi gabungan pop Melayu dan R&B untuk SMAC dan ternyata ia meletakkan lagu ini dan Dayang antara yang tersohor di negara ini.
Tidak sekadar vokal husky, malah Dayang pandai melenggokkan suaranya itu menjadikan sesebuah lagu lebih baik. Selain SMAC saya juga memilih dua lagi lagu terbaik dari album ini iaitu Berserah Kasih dan Lenakan.
5. MIMPI
TAMBAHAN bunyian daripada peralatan muzik orkestra menjadikan album ini lebih asyik dinikmati. Malah mutu rakamannya boleh dipuji kerana album ini nampak kesungguhan Camelia dan rakannya (penerbit dan pemuzik) menghasilkan yang terbaik.
Sayang seribu kali sayang, Mimpi tidak ke mana. Senyap bagai ditelan kehadiran album jiwang yang meleleh. Sayang, sebuah album yang sebagus Mimpi tidak diketengahkan dengan betul kerana inilah antara yang patut diberikan kepada pendengar kita, bukan main yang tangkap muat saja.
Erti Kehidupan, Terlanjur Sayang dan Angan Dan Harapan antara koleksi menarik dalam album ini, di samping Duniaku dan Bawa Cinta.
Pemilihan lagu tepat dengan kelembutan dan kemampuan suara Camelia menjadikan barisan lagu indah didengar tambahan tika hujan renyai di luar sana.
6. PERJALANAN SENI
ALBUM ini lebih menang pada mutu rakamannya, biarpun dirakam secara langsung di depan penonton dalam Dewan Filharmonik, tetapi hasilnya di dalam album membanggakan. Bagaimanapun saya bukan menidakkan keindahan lagu tradisional atau Asli Melayu, ia tetap hebat tetapi di sini saya lebih suka ‘melihatnya’ dari segi rakaman.
Populariti Pandang-pandang Jeling-jeling usah dipertikaikan, budak kecilpun dah pandai berduet. Pemilihan lagu dan susunan repertoire oleh Tan Sri SM Salim lebih kurang 30 lagu itu juga lebih teratur dan yang penting tidak membosankan.
Tambahan pula diselit dengan lawak jenaka dan cerita pengalaman SM Salim ketika zaman penjajahan. Album ini juga berbaloi untuk menjadi koleksi anda.
7. ADA
SELAIN Jesnita yang tengah top dimainkan juruhebah radio seluruh negara, hampir semua lagu dalam album ini disampaikan dengan baik, baik Ezad mahupun permainan muzik mereka.
Sedari awal mengganti Mamat dulu, saya menyukai suara Ezad kerana suaranya semacam yang tak ada pada orang lain. Mungkin orang kata album
Ada ini lebih condong kepada muzik Indonesia atau lebih mudah kata, cenderung kepada Sheila On 7, tetapi saya tidak berkata begitu.
Suara Ezad lebih jelas kalau nak dibandingkan dengan Duta dan kali ini melalui Ada, Exists tampil dengan pilihan lagu yang best. Lagu
Menantikan Saat Termampu mungkin agak penat daripada melodinya, tetapi muziknya lebih bertenaga dan segar.
Begitu juga dengan Cinta Memang Indah dan Kau Lebih Dari Kejora yang disampaikan Ezad dengan baik.
8. MIMPI LAILA
PERSEMBAHAN solo pertama Yasin tidak mengecewakan dan penantiannya untuk muncul dengan idea sendiri tidak sia-sia. Yasin bernas dan berani menampilkan world music caranya. Keseluruhan album ini kaya dengan tambahan instrumen dan susunan pada muzik.
World musicnya lain daripada yang diketengahkan M Nasir atau Zainal Abidin dan ini menjadikan Yasin dengan ‘muzik Yasin’ yang secara langsung memperkenalkan identiti itu padanya.
Mimpi Laila yang akan bertanding pada 30 Disember ini dalam Juara Lagu sudah terbukti kehebatannya malah kehebatan Yasin sendiri sebagai pencipta. Belum lagi dipertaruhkan lagu lain seperti Aisyah dan Rindu Padamu. Kedua-dua lagu ini belum lagi dipromosi sebagaimana Mimpi Laila. Kalau kena caranya, lagu-lagu ini juga mampu mengatasi Mimpi Laila.
9. AMAN
SAYA menyenaraikan album terbaru Rabbani ini dalam pilihan 10 terbaik saya kerana keberanian mereka mengketengahkan mesej dakwah melalui muzik yang berlainan.
Mereka tidak terikat dengan nasyid biasa menjadi landasan kumpulan lain. Sejak Pergi Tak Kembali, kemudian Intifada dan kini melalui Apa Yang Kau Tahu.
Apa Yang Kau Tahu diadun dengan bunyi muzik moden. Memang lagu itu ciptaan KRU, langsung bunyinya macam artis-artis KRU yang lain, tetapi mereka peduli apa, janji mesej yang ingin disampaikan itu diterima ramai.
Begitu juga Kerlipan Cinta yang berirama sentimental, mungkin pada sesetengah orang ia tak sesuai untuk lirik agama dan hanya sesuai untuk lagu pop cinta. Inilah kelainan Rabbani dan saya percaya lagu ini akan diterima sebagaimana album terdahulu.
10. ILHAM BICARA & SAFA
USAHA Ella mencari kembali identiti yang ‘hilang’ sejak Ella USA dan Ella 30110, mungkin boleh dikatakan dia sudah menemuinya menerusi Ilham Bicara. Biarpun tidak 100 peratus, pilihan lagu-lagunya kali ini menjurus ke arah itu dan ini berbeza dengan album terakhirnya dulu, El yang agak lembik.
Persembahannya untuk lagu Jauh Di Mata boleh dipuji. Saya sendiri menyukai Dia Lelaki (duet dengan Ramli Sarip) dan Tinggal Tanda Tanya.
Kenapa saya meletakkan Safa Siti Nurhaliza sama dengan Ella di tangga ke-10? Saya tidak nafikan banyak lagu menarik dalam album ini terutama Percayalah, Kau Ku Sayang dan Lakaran Kehidupan tetapi kebanyakan juga kesinambungan daripada album terdahulu.
Tidak banyak beza daripada album Adiwarna ke, Pancawarna ke atau warna-warna lagi. Siti tetap Siti, bagi apa lagupun dia menjadikan lagu itu best.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan