petikan Berita Harian, 1 March 2001
Oleh A. Kadir Pandi
Penulis Sambilan
Seperjuangan: Dalam tugas seharian sebagai insan muzik, penulis lirik, Loloq (kanan), dan M. Nasir ada juga berbalah, bukan atas sebab peribadi tetapi demi meningkatkan mutu seni yang sama-sama mereka ceburi.
HUBUNGAN penulis lirik, Loloq (Rosli Khamis), dengan penyanyi M. Nasir bagai lagu dan irama menerusi banyak lagu popular penyanyi-penyanyi terkenal seberang tambak.
Ini dapat dilihat dalam puluhan karya mereka berdua seperti Ghazal Untuk Rabiah, Andalusia, Kias Fansuri, Nur Nilam Sari dan banyak lagi.
Tetapi di sebalik keintiman itu, terdapat beberapa perbalahan dalam kehidupan mereka sebagai orang seni.
Ia tiada langsung bersangkut paut dengan soal peribadi, tetapi berkenaan kematangan idea yang mereka curahkan.
Ini didedahkan sendiri oleh Loloq yang ditemui di sini baru-baru ini.
“Tetapi tidaklah sampai kami bermerajuk jauh hingga menyentuh peribadi.
“Kami hanya berbalah dari segi melahirkan kreativiti dalam seni.
“Nasir punya pendapat sendiri dan saya juga punya tanggapan sendiri tentang bidang seni ini.
“Contohnya, apabila saya menulis lirik Ghazal Untuk Rabiah, pada mulanya Nasir nampak sangsi dengan lirik tersebut. Nasir bertanya kepada saya, boleh ke lagu ini.
“Semacam rasa tidak ada keyakinan dalam dirinya, lebih-lebih lagi bila ada cadangan supaya lagu ini dinyanyikan bersama Jamal Abdillah.
“Saya terus berikan keyakinan agar Nasir usahakan untuk mencipta iramanya,” kata Loloq.
Menurut Loloq lagi, keadaan yang sama berlaku apabila beliau memberi Nasir lirik lagu Nur Nilam Sari.
“‘Ini lagu anak saya ini’, kata Nasir. ‘Boleh ke?’ tanya beliau lagi. Saya beritahu Nasir, cuba usahakan.
“Sekarang kedua buah lagu ini berjaya. Ia tidak saja mengangkat nama beliau sebagai penyanyi dan pencipta iramanya tetapi turut memberikan semangat kepada saya, kerana ‘perbalahan’ yang berlaku antara saya dengan Nasir telah meningkatkan mutu industri muzik Melayu di Malaysia,” jelas Loloq.
Katanya lagi, mereka berdua sering berbalah kerana seni itu begitu sukar.
“Setiap mereka yang berada dalam bidang seni ini tidak sehaluan dalam mempersoalkan satu-satu objek.
“Ada kalanya Nasir cadangkan supaya saya tukar kata-kata yang terdapat dalam lirik saya. Itu pendapat Nasir. Tetapi saya tetap bertegas supaya tidak ada penukaran.
“Kata-kata yang menjadi tradisi kepada M. Nasir — ‘boleh ke?’
“Itulah pertanyaannya setiap kali saya memberikan lirik tulisan saya kepadanya,” kata Loloq.
Bagaimanapun, kata Loloq, Nasir punya semangat dan dedikasi yang kental.
“Nasir seorang penggiat seni yang harus menjadi contoh dan teladan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang seni ini.
“Saya percaya pengiktirafan yang diterima olehnya sejauh ini memanglah wajar.
“Saya pernah diibaratkan seperti isi dan kuku dengan Nasir, jadi sedikit sebanyak saya tahu apa yang tersirat dalam hatinya dalam mengembangkan muzik Melayu di rantau ini,” katanya.
---
“Nasir seorang penggiat seni yang harus menjadi contoh dan teladan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang seni ini. Saya percaya pengiktirafan yang diterima olehnya sejauh ini memanglah wajar.Saya pernah diibaratkan seperti isi dan kuku dengan Nasir, jadi sedikit sebanyak saya tahu apa yang tersirat dalam hatinya dalam mengembangkan muzik Melayu di rantau ini.”— Loloq.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan