Isnin, Februari 20, 1989

SUMBER ILHAM : Bukan mengelamun di tepi sungai...Pemerhatian dan pengalaman lebih penting

oleh Kamisah Mustaffa
petikan JELITA Februari 1989

“Seni itu indah. Politik itu kotor” Demikian kata Seniman Agung P.Ramlee. Memang seni itu indah. Tidak dapat hendak dihuraikan keindahan itu kerana setiap insan menafsirkannya dari sudut berlainan. Namun, keindahan itu menimbulkan kesan sama pada setiap jiwa; tersentuh,kagum, tertawan, hiba atau ria.

Jiwa siapakah tidak bergetar membaca puisi indah dan syahdu? Apakah menyebabkan sesuatu lagu berjaya menitiskan air mata atau menghidupkan suasana riang ria? Mengapa sesuatu lukisan amat tinggi nilainya dan menjadi rebutan terutama selepas pelukisnya tiada lagi di dunia? Bagaimanakah seseorang pelakon mampu membuat penonton menangis dan ketawa bersamanya atau benci dan meludahinya di luar dunia lakonan? Apa pula menyebabkan seseorang penulis, penyanyi, pelukis atau pemuzik begitu diminati dan disanjung tinggi?


M Nasir
Penggubah lagu, penyanyi, pelakon

“Kalaulah ilham itu boleh diibaratkan sebagai satu benda, maka bagi saya, benda itu adalah diri saya sendiri. Ilham adalah diri saya dan diri saya adalah ilham. Susah hendak dimengertikan? Tetapi itulah tanggapan saya mengenai ilham.

“Ilham itu datang dua cara. Pertama, melalui pemerhatian dan pengalaman. Kedua berada dalam diri sendiri. Maksud saya, untuk buat lagu misalnya mesti ada sesuatu merangsang ilham itu tiba, ada peristiwa menyebabkan terbitannya ilham itu. Tetapi rangsangan dan peristiwa itu tidak akan menjadi ilham kalau kepekaan menjadikannya ilham tiada dalam diri.

“Seniman harus punya daya khayalan yang lebih kuat daripada orang lain (bukan saya menganggap diri saya seniman.). Dia mesti dapat membayangkan perkara yang tidak dilakukan atau dialaminya sendiri dan dapat pula menggunakan khayalan itu kepada satu bentuk seni. Mungkin dia tidak pernah bercinta tetapi dia mampu merasai bagaimana perasaan orang bercinta, ; debar, kecewa, hampa, hiba. Dan perasaan itu digubah menjadi lagu.

“Pada pendapat saya, pengalaman dan pelajaran lampau menentukan corak berkarya, tak kiralah muzik, penulisan, lukisan. Karya A Samad Said misalnya tercorak hasil pengalaman lampaunya melalui beberapa perubahan zaman. Kerana pengalamannya begitu, maka hasil karyanya bercorak begini. Dan begitulah juga dengan muzik.

“Saya menggubah lagu mengikut siapa bakal menyanyikannya. Setiap kali, saya bayangkan lagu itu untuk siapa, penyanyinya, bagaimana wataknya dan segala-gala berkaitan penyanyi itu. Mungkin penyanyi (atau kumpulan) itu lebih sesuai lagu bercorak hiburan semata mata dan penyanyi itu pula membawa mesej tertentu. Meneliti kesesuaian ini juga adalah sumber ilham bagi saya.

“Tiada kelainan antara seniman dan manusia lain. Jadi saya tak percaya kalau orang mengatakan manusia seni itu ganjil atau berkelakuan lain daripada orang lain. Itu semua itu tak betul bagi saya.”

“Saya tidak percaya mencari ilham di tepi sungai, laut, gunung, tasik macam sesetengah orang (ketawa). Itu bagi saya tanggapan salah mengenai ilham. Atau orang menyangka begitu kerana media selalu menggambarkan demikian. Bagi saya, cara itu hanya pada zaman “ Tok Kadok” . Kalau sekarang, cara begitu tak boleh pakai. Kalau menunggu termenung di tepi sungai, baru ilham muncul rasanya tiada kerja menjadi.

Apakah wanita (lebih-lebih lagi yang cantik) banyak mendatangkan ilham?
“ Tak adalah”, jawapannya perlahan tetapi tegas. “Melihat wanita bukan mendatangkan ilham, tetapi menaikkan nafsu...!”
Jawapan disusuli ketawa besar.

Waktu dan suasana bagaimana mendatangkan ilham mencipta lagu?
“Seni ada masa tak?” dia bertanya kembali. Saya hanya menggeleng dan dia menyambung semula. “Seni tidak ada masa. Jadi tidak ada waktu atau suasana tertentu mendatangkan lebih mood untuk berkarya. Bila-bila masa sahaja boleh berkerja.

“Juga kita tidak boleh terlalu mengikut mood. Kalau begitu mungkin hanya satu dapat disiapkan dalam sebulan. Sebagai penerbit saya tidak boleh begitu. Sekarang saya terpaksa terbitkan sebuah album sebulan.

Tidakkah penerbitan yang seolah-olah terburu-buru dan mengejar masa itu menjejaskan mutu lagu dicipta?
“Adakala kita terpaksa mengalah kepada kehendak komersil, mengatasi kehendak seni kita sendiri. Tetapi memang kita tidak pernah puas dengan apa yang ada. Walaupun katakan kita puas hati dengan sesuatu lagu itu, berapa lama rasa puas itu berkekalan? Tentu sampai masanya kita kembali merasa tidak puas hati dan ingin mencipta yang lebih baik lagi.

“Tinggi atau tidaknya nilai sesebuah lagu dan sama ada ia diminati atau tidak, bukan hak kita. Itu hak pendengar. Kadang kala lagu-lagu yang kita rasakan cukup baik dan bermutu tidak mendapat sambutan. Sebaliknya lagu-lagu 'penyendal' (diselitkan untuk memenuhi album) pula yang diminati.

“Mendapatkan ilham melalui penelitian ciptaan orang lain tidak salah asalkan bukan peniruan bulat-bulat. Persamaan yang sedikit tidak mengapa tetapi sentuhan peribadi kita mesti ada. Jelasnya, penentuan siapa yang lebih dikenali bergantung pada siapakah antara pencipta itu mempunyai daya kepekaan lebih kuat.”

Tiada ulasan: