ANALITIC

Jumaat, Jun 02, 1989

M. Nasir akan diberi anugerah

 petikan Berita Harian, 2 June 1989

SEORANG pencipta lagu dan penulis lirik akan dianugerahkan pingat penghormatan sempena Pesta Muzik pada bulan depan.

M. Nasir akan menerima anugerah itu pada Malam Bintang dan Ilham yang akan diadakan di Pancuran Air Berirama Sentosa pada 22 Julai.

Anugerah tersebut adalah pemberian bersama Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dan syarikat piring hitam Bertelsmann Music Group (BMG) yang dulunya dikenali sebagai Pacific Music Corporation.

Seorang pegawai SDC, Encik Jasni Haji Jamil, memberitahu bahawa rancangan untuk memberi penghormatan secara rasmi kepada M. Nasir telah lama difikirkan, tetapi masanya belum sesuai.

"Kami rasa, Pesta Muzik adalah masa yang paling tepat untuk menyampaikan anugerah ini. Lagipun, M. Nasir sendiri boleh menghadiri majlis malam itu nanti," kata Encik Jasni.

Pesta Muzik anjuran Kementerian Pembangunan Masyarakat itu telah dimulakan semalam dan berakhir 23 Julai.

M. Nasir aktif mencipta lagu dan menulis lirik sejak awal 1980-an. Antara lagu-lagunya yang popular ialah Hingga Akhir Nanti oleh kumpulan Alleycats, Hanya Sekali oleh Ideal Sisters dan Fantasia Bulan Madu dan Isabella oleh Search.

"Apa yang menarik tentang M. Nasir ialah kebolehannya mencipta pelbagai corak lagu — daripada rok hingga kepada yang berunsur dakwah Islam yang menyentuh perasaan," kata Encik Jasni.

Turut tampil dalam majlis itu ialah kumpulan Wings dan Kembara.

Sempena Pesta Muzik juga, SDC akan mengadakan pertunjukan Era of Contemporary yang menampilkan kumpulan dan penyanyi popular masa kini. Ia akan diadakan pada 23 Julai mulai 5 petang dan disertai oleh kumpulan Helter Skelter, Angeline Chong, Sunshine Kid, Love Hunters, Maizurah Hamzah, Heavy, Anethesia, Queen Rockers dan Ezy.

Konsert rok Isabella pula akan diadakan pada 2 Julai di tempat yang sama dari 8 hingga 10 malam.

Tiada ulasan: