ANALITIC

Ahad, Disember 12, 1993

Tidak puas hati dengan lakonan filem 'Balada'

petikan Berita Harian, 12 Disember 1993

JIKA anda belum menonton *Balada*, hero filem itu, M. Nasir, mempunyai satu amaran: “Anda tentu tak mahu menonton filem itu.” Bahkan filem itulah yang pertama sekali membuat Nasir berasa dirinya terlalu kerdil, sehingga beliau sendiri gelihati melihat gelagatnya dalam filem itu.

“Tak apalah. Sesekali kita biarkan orang tertawakan kita. Itu filem cari makan,” kata Nasir. Dalam filem arahan Jins Shamsuddin itu, Nasir berlakon sebagai anak kampung yang lari ke bandar untuk mendapatkan wang, demi menebus harta pusakanya yang tergadai. Dalam satu adegan, Nasir menggenggam pasir tanah pusakanya dan bersumpah akan menebus maruah keluarganya — satu adegan paling ‘klasik’ tetapi lucu.

Di bandar, beliau berdepan dengan kumpulan jahat, tetapi diselamatkan oleh polis wanita yang menyamar diri sebagai tomboy, Fauziah Ahmad Daud. Di Malaysia, filem tersebut kurang mendapat sambutan. Setelah menjayakan lebih lima buah filem, Nasir berasa belum menerima watak mencabar.

“Masalahnya pada penulis skrip kita. Kebanyakannya hanya tahu buat cerita, tapi tak tahu nak melahirkan watak yang benar-benar mencabar,” ujarnya.

“Penonton kita suka tengok filem romantik. Mereka suka menangis. Kalau buat filem pasal orang Melayu, mesti yang baik-baik saja. Yelah, masyarakat Melayu kan semuanya baik-baik saja,” katanya. Tetapi jika anda menonton *Perempuan Isteri...* yang teruk dikritik sebilangan badan di Malaysia kerana memaparkan keburukan masyarakat Melayu, anda tentu faham akan maksudnya.

Apa pun jangkaan penonton, Nasir berkata beliau kini serius untuk meneroka lebih jauh bidang perfileman. Beliau kini sedang menyiapkan skrip filem dan akan mengarahkannya sendiri apabila ia siap kelak. Apakah filem itu akan bercorak komersil atau artistik? “Kalau saya ada duit, saya buat mengikut apa yang saya nak buat. Tetapi kalau orang lain yang menerbitkan filem itu, biarlah saya ikut cara mereka. Saya tak akan bazirkan duit orang,” ujarnya.

Tiada ulasan: