petikan Berita Harian, 12 December 1993
Oleh Hanim Mohd Saleh
M NASIR tertawa geli hati apabila ditanya perasaannya kini digelar seniman 'legenda hidup' atau *living lagend*. "Apa tu legenda? Setahu saya, legenda itu kan cerita lama. Saya bukan cerita lama. Masih muda," kata Nasir, masih terus dengan ketawa nakalnya... ketawa yang jarang kita lihat pada seniman yang dikatakan sukar diajak berbual oleh orang-orang yang tidak rapat dengannya.
Bukan Nasir tidak faham dengan soalan yang diajukan. Hakikatnya, beliau berasa gelaran legenda sama sekali tidak perlu dikaitkan dengannya.
"Kalau kita bercakap tentang P. Ramlee tu, bolehlah. Tetapi saya tak percaya dengan legenda. Saya tak suka dipuja-puja. Seniman macam P. Ramlee buat kerja dengan penuh perasaan. Sekarang, orang macam saya kena fikirkan soal ekonomi. Bila saya buat kerja, saya fikirkan soal wang.
"Kalau saya mati, saya tak mahu ingat apa-apa. Jadi tak perlulah bimbang saya berkecil hati kalau tak dapat penghormatan apa-apa," ujar Nasir bersahaja, ketika ditemui di Hotel Beaufort Sentosa, dua hari sebelum konsert Pertemuan Dua Legenda yang menggabungkan beliau dengan Ramli Sarip.
Memang tidak mudah mengajak Nasir membuka diri dan pemikiran kepada wartawan, begitulah aduan beberapa teman sejawat dari seberang tambak setiap kali bila soalan mengenai artis itu ditimbulkan. Namun dalam pertemuan lebih sejam itu, Nasir bercakap dan terus bercakap... biarpun tanpa hidangan air panas untuknya. Mungkin suasana tenang sekitar hotel peranginan itu membangkitkan *'mood-nya'*.
Setelah menghasilkan ratusan lagu hits, Nasir sehingga kini belum berasa letih, walaupun ada yang menyatakan beliau kini sudah 'lusuh'. Beliau secara terbuka mengakui bahawa beliau tidak berasa tercabar dengan kehadiran ramai pencipta lagu baru yang mengatasi kepopularan lagu-lagunya dalam carta muzik, baik di televisyen mahupun stesen-stesen radio.
"Saya tak fikir saya dah mula ketinggalan sebab saya sebenarnya dah tinggalkan mereka ke belakang. Orang lain mengikut tren, saya pula adalah pemula tren," kata Nasir.
"Memang tak mudah hasilkan lagu-lagu hits. Dalam setahun, kalau dapat dua tiga hits dah bagus. Saya tak ketinggalan, tetapi masa yang berubah. Biar sejauh mana kreatifnya seseorang itu, peminat lambat laun akan bosan. Kadangkala, kita harus berdiri di belakang. Buat sesuatu yang lain. Setelah 20 tahun saya hidup dalam bidang seni, saya berasa sudah mencapai apa yang orang lain belum capai atau tak akan boleh capai," ujarnya dengan nada amat bersahaja.
"Kalau orang lain terpaksa bergantung kepada pemuzik yang baik untuk persembahan, saya tidak begitu. Saya tak ikut tren. Muzik saya boleh berdikari. Saya boleh menyanyi dengan hanya gitar tong dan sanggup bermain walaupun hanya ada 100 orang penonton," akuinya.
Rahsia kesegarannya ialah sentiasa 'memudakan diri'. Maksudnya, beliau tidak gemar bernostalgia atau memikirkan tentang karya-karyanya yang lalu.
"Saya tak gemar dengar lagu-lagu saya. Saya dengar bisikan hati saya sendiri. Lagu yang sudah saya lepaskan untuk pendengaran orang ramai bukan lagi hak saya. Kehadiran lagu-lagu itu hanyalah sebagai penggalak orang lain untuk mencapai kejayaan seperti mana saya telah lakukan, bukan untuk saya jadikan kenang-kenangan. Saya adalah seorang *futuristic*," katanya yang sekali gus menjelaskan mengapa beliau tidak selesa digelar seniman legenda. Seperti seniman lain, Nasir juga mahu melangkah sejauh mungkin. Beliau yakin dapat melahirkan karya yang layak ditarafkan sebagai muzik dunia. Masalahnya, kata Nasir, bukan pada kebolehan beliau berkarya, tetapi sejauh mana *komited* orang-orang yang terlibat memajukan lagu Melayu ke peringkat antarabangsa.
Nasir kini berada di Los Angeles untuk menyelia rakaman album terbaru Ella yang secara keseluruhannya, dibuat di sana. Sekembalinya beliau ke sini akhir bulan ini, beliau akan melancarkan pula album solo terbarunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan