petikan Berita Harian, 26 November 1986
Oleh M.Fadli A.kadir
TIGA orang pelakon lelaki dijangka bersaingan dalam merebut anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Pesta Filem Malaysia ke-6 yang akan berlangsung pada pertengahan bulan depan ini di Kuala Lumpur. Mereka ialah Azmil Mustaffa, Rahim Razali dan M.Nasir.
Ketiga-tiga pelakon ini dikatakan mempunyai harapan cerah untuk merebut anugerah tersebut. Ini dipandang daripada peranan serta watak yang dilakonkan melalui filem-filem lakonan mereka. Bagaimanapun, di antara ketiga-tiga pelakon ini Azmil disebut-sebut sebagai pilihan utama.
Azmil telah dapat menunjukkan keupayaannya berlakon ketika diperkenalkan dalam filem Mekanik. Kemudian dia menjadi pilihan kepada filem-filem keluaran Amir Communications. Azmil dicalonkan bagi lakonannya dalam Ali Setan dan Suara Kekasih. Sementara Rahim Razali merupakan pelakon pentas dan filem yang tidak payah diperkenalkan lagi. Memangnya dia akan memberi persaingan hebat.
Menangi anugerah
Menurut sumber, memandangkan dia sudah begitu tertonjol dan pernah memenangi beberapa anugerah di Pesta yang lalu, mungkin keutamaan akan diberikan kepada Azmil dan M.Nasir.
Filem Kembara — Seniman Jalanan menonjolkan pencipta dan penyanyi M.Nasir sebagai seorang pelakon filem. Dia turut dicalonkan melalui filem pertamanya itu.
Rahim Razali yang juga turut dicalonkan untuk kategori ini merupakan pelakon utama dalam filem Tsu Feh — Sofia, di mana dia juga turut mengarah.
Di Pesta Filem Malaysia Ke-5, seorang pendatang baru dalam dunia perfilman Melayu telah memenangi kategori Perdaya Cipta Pelakon Lelaki Terbaik. Dia ialah pelakon Eman Manan yang berlakon dalam filem Matinya Seorang Patriot, arahan Rahim Razali.
Bagi M.Nasir harapannya tidak saja tertumpu kepada kategori Pelakon Lelaki Terbaik. Dia juga turut dicalonkan dalam kategori 'Penata Muzik Terbaik' yang mana pada Pesta dua tahun lalu tidak seorang pun yang layak untuk menerima anugerah tersebut. M.Nasir juga turut dicalonkan dalam kategori 'Pencipta Lagu Terbaik Filem' dan 'Penulis Skrip Terbaik'. M.Nasir pernah meraih anugerah Madya Cipta Lagu Terbaik' kerana lagu-lagu ciptaannya dalam filem 'Azura' di Pesta Filem Malaysia ke-5.
Pernah menerima
Rahim Razali yang dicalonkan untuk anugerah Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem 'Tsu Feh — Sofia'. Rahim pernah menerima anugerah Perdana Cipta Pengarah Terbaik di Pesta Filem Ke-5 kerana arahannya dalam filem Matinya Seorang Patriot. Filem ini juga memenangi Perdana Cipta Filem Terbaik dengan hadiah sebuah trofi dan wang tunai $M20,000.
Berbanding dengan Azmil yang hanya mengharapkan memenangi satu anugerah saja. Bagaimanapun, pada Pesta Filem Ke-4, Azmil memenangi anugerah Pelakon Harapan. Dia berlakon dalam filem 'Mekanik'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan