Sabtu, Januari 15, 2000
Konsert M. Nasir pembuka alaf baru
SEMANGAT, cinta dan perjuangan insan seni bernama M. Nasir akan terungkap di dalam konsert Andalusia M. Nasir yang akan berlangsung pada 29 Januari ini.
Konsert pertama di alaf baru ini menyaksikan penampilan M. Nasir setelah sekian lama tidak terbabit di dalam konsert secara besar-besaran di negara ini. Konsert tajaan Touch 'n' Go yang diterbitkan oleh Boxoffice Malaysia ini akan berlangsung selama empat jam.
Stadium Merdeka dipilih sebagai tempat untuk ribuan warga kota menyaksikan pelbagai kisah cinta dan kemanusiaan diadun dengan kekuatan melodi dan bunyi di pentas.
Konsert ini juga dianggap sebagai pengubat kekecewaan peminat akibat pembatalan konsert Srikandi yang sepatutnya diadakan sempena kelahiran album Srikandi Cintaku seniman itu di pasaran penghujung tahun lalu.
Menurut penerbit konsert ini, Ali Bakar kesediaan Rangkaian Segar Sdn. Bhd yang merupakan pengeluar kad pintar Touch 'n' Go dan penyelaras seluruh Sistem Pembayaran ELektronik Touch 'n' Go merupakan satu penghormatan kepada seniman seperti M. Nasir.
Dengan tajaan itu, konsert ini dijangka akan mencatat sejarah sebagai konsert pertama di negara ini yang mendapat iringan muzik secara orkestra.
''Inilah kali pertama sebuah konsert dipersembahkan secara orkestra di luar dewan tertutup dan secara langsung,'' jelas Ali dalam kenyataan akhbarnya.
Selain M. Nasir, kumpulan popular, Senario dan pelakon Erra Fazira dan Siti Nurdiana turut serta selaku artis undangan.
Tiket tidak diperlukan untuk menonton konsert ini kerana penonton hanya perlu membeli mana-mana kad Touch 'n' Go yang berharga RM15, RM20, RM50, RM100, RM200 atau RM500.
Penonton cuma perlu menyentuh kad Touch 'n' Go ini pada alat pembaca di pintu masuk dan bayaran konsert yang ditetapkan akan ditolak dari nilai yang ada di dalam Touch 'n' Go mereka.
Kad ini boleh didapati di lebih 60 kaunter jualan di plaza-plaza tol utama PLUS, Elite dan Metramac di Lembah Klang, stesen LRT Putra dan kaunter tiket bas terpilih Park May.
Ia juga boleh dibeli di pintu masuk Stadium Merdeka pada malam konsert ini berlangsung.
Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Khamis, Disember 30, 1999
M. Nasir: Usah jadi pemuzik ikut-ikutan
petikan Berita Harian, 30 December 1999
Oleh Hanim Mohd Salleh
MUZIK Melayu, biarpun mungkin belum menembusi pasaran dunia, telah menunjukkan kemantapan dan kekuatannya yang tersendiri. Daripada era muzik P. Ramlee serta seniman sezamannya atau sebelumnya seperti Wandly Yazid, Zubir Said, Kassim Masdor dan kemudian S. Atan, Ahmad Nawab sehingga menjadi lebih gemilang di bawah teraju M. Nasir, Ramli Sarip, Suhaimi Md Zain (Pak Ngah), kita dapat berbangga melihat muzik Melayu terus segar melangkah ke alaf baru.
Namun daripada ratusan penggiat muzik dan penyanyi yang merancakkan persada muzik Melayu dari era 50-an, mengapakah hanya segelintir saja yang menjadi ingatan dan masih bertahan?
Muzik yang dibawa mereka menjadi jawapannya.
Dalam satu wawancara khas dengan Berita Harian, seniman M. Nasir berkata apa yang berlaku dalam sepanjang abad ini ialah secara sedar atau tidak, para penggiat muzik Melayu telah membiarkan diri mereka terlalu dipengaruhi budaya asing dan leka meminjamkan budaya bukan milik Melayu sehingga akhirnya mereka rasa tersekat, lantas terkandas di tengah jalan.
"Banyak yang berlaku kerana rasa terikut-ikut. Kita tengok orang Barat buat rock berjaya, kita pun ikut buat tetapi tak faham apa yang kita buat. Bila tiba saat kita sedar kita tak boleh pergi jauh lagi, kita rasa tersekat. Nak ubah, dah terlambat. Imej boleh diubah, tetapi gaya muzik yang dibawa susah nak diubah," kata Nasir.
Nasir percaya muzik Melayu boleh melangkah lebih jauh daripada benua Nusantara jika seniman memandang jauh terhadap semua karya-karyanya.
"Muzik yang saya bawa adalah muzik yang memang saya nak buat. Ia bukan secara tak sengaja. Saya merancang dan dapat jangkakan apakah kesan muzik itu nanti. Apa yang saya buat, semuanya sudah difikirkan tentang hasil dan kesannya.
"Memang ramai pemuzik hanya tahu buat, tetapi tak fikir jauh. Sebab itu, tiba satu saat, mereka jadi buntu. Tak tahu apa nak buat lagi kerana tak terfikir kesan muzik mereka," Nasir berkongsi rahsia.
Nasir memulakan karyanya dengan menghasilkan rock selatan dan kemudian beralih ke 'progresif rock' sebelum beliau cepat-cepat menemui lombong emasnya dalam muzik Nusantara.
"Tetapi dalam menghasilkan lagu-lagu Nusantara, elemen pop dan rock tetap dikekalkan. Itu untuk perasa," ujarnya.
P. Ramlee telah berjaya memberi jiwa terhadap lagu-lagu Melayu dengan caranya sendiri sehingga menawan hati masyarakat hari ini.
Namun muzik Melayu melihat kegoncangannya apabila pop dari Barat yang dipengaruhi kumpulan The Beatles mula menular ke rantau ini, sehingga menjangkiti peminat muzik setempat. Maka lahirlah Angkatan Pop Yeh Yeh.
"Boleh dikatakan, dari zaman 60-an hingga awal 80-an, muzik kita adalah muzik yang dipengaruhi budaya luar. Kita pinjam budaya orang dan kita melakukannya kerana perasaan. Masa tu, orang buat muzik, menyanyi kerana minat, bukan nak buat duit. Sebab itu ramai yang lenyap hari ini. Dengan pinjam budaya orang, kita tak boleh teruskan perjuangan dan kembangkan karya. Paling banyak, boleh main di kelab malam," ujarnya.
Menurut Nasir, beliau menghasilkan lagu-lagu rock untuk kumpulan seperti Alleycats, Search dan Wings sebagai satu protes dengan caranya tersendiri.
"Bila orang gilakan rock, rock tumbuh menggila. Bukan susah nak tubuhkan kumpulan rock. Tapi hairannya dia orang tak faham apa dia orang buat. Mereka memonyetkan budaya orang sampai satu ketika, mereka tiba-tiba sedar mereka tak ada masa depan. Masa tu, mereka cuma tahu buat duit, mencari populariti, tetapi tak ada sifat tanggungjawab terhadap muzik," kata Nasir.
Kemudian menjelang akhir 80-an dan awal 90-an, timbul penggiat seni yang bangkit daripada zaman terikut-ikut. Mereka ini, Nasir golongkan sebagai pemuzik pemikir. Antaranya termasuklah S. Amin Sahab, kumpulan Rausyanfikir, Harmoni dan Kopratasa.
"Tetapi orang yang pandai berfikir ini kebanyakannya tak ada rupa. Dalam dunia hiburan, visual tu penting. Orang nak tengok yang cantik-cantik. Sebab itu seniman pemikir ni lambat tangkap perhatian. Tetapi mereka bertahan. Mereka tetap berkarya," ujar Nasir.
Menurut Nasir, apabila beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi seniman profesional, beliau berangkat dengan penuh keyakinan.
Apabila ditanya potensi muzik Melayu ke pentas dunia, Nasir berkata siapa saja boleh melakukannya tetapi kejayaannya hanya dapat diakui jika masyarakat dunia memandang kepada 'Melayu'nya, bukan setakat mengenal penyanyinya saja.
"Siapa pun boleh pergi London, Amerika, kalau nak. Tapi kalau orang setakat kenal kita sebagai penyanyi dari Malaysia atau Singapura, buat apa? Saya mahu orang kenal saya sebagai penyanyi Melayu. Semua seniman berjaya sekarang pegang kuat kepada warisan budaya mereka. Warisan budaya yang menguatkan mereka di mana-mana," ujarnya.
Sedang muzik Melayu terus liar menawan pendengar, Nasir berkata para penggiat juga tidak harus lupa untuk menjadi pengusaha yang lebih baik untuk memasarkan lagu-lagu warisan bangsa.
"Sekarang ini, orang Melayu belum menguasai industri muzik Melayu itu sendiri. Yang berkuasa, syarikat rakaman dan pengedar, yang terus buat duit, semua bukan Melayu.
"Tetapi saya rasa kita belum bersedia untuk merampas kuasa itu. Semua orang kena buat kerja, faham industri muzik ini dan ada keinginan untuk berkuasa," tambah Nasir lagi.
Selasa, Disember 21, 1999
M.Nasir luah rasa hati dalam konsert
FALSAFAH muzik yang diperjuangkan oleh komposer dan penyanyi M. Nasir selama ini terhurai dalam konsert 'unplugged' yang berlangsung di Auditorium Besar, Angkasapuri, malam kelmarin.
Komposer ini berbicara dalam nada yang berbeza dengan penyanyi-penyanyi lain.
M.Nasir menyampaikan keharuan, rasa hati dan luahan perasaannya kepada peminat serta pemuzik setianya sebagai falsafah keakraban antara mereka.
Justeru, menerusi lagu-lagunya, M.Nasir menyingkap banyak makna tersirat yang barangkali hanya boleh ditafsir oleh sesetengah golongan tanpa perasaan prejudis.
M.Nasir membawa keakraban antara dia dan penonton dengan permainan emosi menerusi lagu-lagu yang banyak mengutarakan gelojak perasaan yang berbeza.
Komposer ini menjadikan irama sebagai satu landasan untuk menghubungkan dan memahami manusia yang lain.
Malah, katanya pada konsert tersebut, dia menghargai para pemuzik yang sekian lama setia bersama dalam setiap persembahannya.
Barisan pemuzik profesional yang mengiringi M.Nasir malam itu ialah antaranya Jay Jay, Mohar, Rock, Rafi dan Suhaimi bersama tiga penyanyi latar.
Konsert M. Nasir malam itu dirakamkan bagi siaran Hari Raya kedua.
Sebagai insan seni yang kreatif, penyanyi ini tidak bersandar kepada dendangan lagu-lagu raya yang mengimbau kenangan, sebaliknya mengetengahkan barisan lagu yang lebih menyegarkan.
Barangkali inilah yang membezakan M.Nasir dengan penyanyi lain. Konsertnya tidak berpegang kepada konsep yang statik, tetapi menjurangkan persembahan dengan corak yang lebih baru.
Malah, sepanjang persembahan lebih satu jam tersebut, M. Nasir seolah-olah melepaskan segala perasaan dan emosinya dengan tarian-tarian bebas dan bersahaja.
Lagu pertama yang disampaikan oleh penyanyi ini ialah Akar Kita yang menyingkap makna yang cukup tersendiri.
Dia kemudiannya bercerita menerusi lagu Apokalips sebelum menyebut 'Kopratasa' yang bermaksud Salam Sejahtera kepada para penonton.
Dalam nada berseloroh, M.Nasir memperkenalkan barisan pemuziknya yang dikategorikan sebagai pemuzik berbilang bangsa termasuk diri sendiri yang dikatakan sebagai 'orang putih'.
Lagu Berikan Nurbisa kemudiannya disampaikan oleh M.Nasir. Lagu itu cukup digemari ketika menyampaikan dalam irama 'unplugged'.
M. Nasir tidak melupakan lagu popularnya Andalusia, yang mencatat kemenangan besar dalam Juara Lagu baru-baru.
Dalam kebanyakan persembahannya sebelum ini, M. Nasir setia dengan beberapa buah lagu yang mempunyai pertalian dengan sejarah hidupnya.
Salah sebuah lagu yang kerap dibawakan oleh penyanyi ini ialah Srikandi Cintaku.
Dalam nada sedih dan merintih, M.Nasir berjaya mengusik perasaan penonton menerusi lirik yang cukup puitis tetapi penuh makna.
Bercerita mengenai lagu Tanya Sama Itu Hud Hud selepas itu, M. Nasir memberitahu, 'saya cipta lagu ini khas untuk anak saya, tetapi saya cemburu, takut dia cepat naik'.
Lagu terbaru ciptaannya, Dalam dihasilkan ketika dia sedang memikirkan satu perkara dengan terlalu mendalam.
''Lantas lagu itu saya berikan judul Dalam juga,'' katanya.
Dua lagi lagu disampaikan selepas itu iaitu Rajawali Terbang Tinggi dan Mantera Semerah Padi sebelum tampil dengan lagu Hari Raya popularnya, Satu Hari Di Hari Raya. Penyanyi ini mengakhiri persembahannya dengan lagu Ada.
Oleh: NOR ASIKIN HASSAN
Jumaat, Disember 17, 1999
Konsert M. Nasir muzik sebagai jambatan
IRAMA boleh menjadi jambatan yang menghubungkan antara manusia dengan pelbagai perbezaan latar budaya, politik dan kepercayaan beragama. Irama yang sejagat menjadi satu nilai keintiman untuk memahami manusia lain.Selain memberikan iramanya yang mengasyikkan, lirik yang puitis dan segar juga menjadi pemangkin dalam membina minda kreatif.
Konsep irama inilah yang akan berkumandang dalam konsert M. Nasir di Auditorium Besar Angkasapuri malam esok. Rakaman konsert yang diterbitkan oleh Noriah Kasimin itu akan disiarkan sebagai rancangan khas Hari Raya.
Rentak irama yang selama ini diperjuangkan oleh seniman M. Nasir akan berkumandang di Audititorium Angkasapuri pada malam Sabtu ini.
''Konsert ini akan membawa falsafah yang menyatakan keintiman antara saya dengan pemuzik-pemuzik yang selama ini terlibat secara langsung dalam setiap persembahan saya,'' jelas M. Nasir mengenai konsep persembahan muzikalnya.
M. Nasir memang terkenal sebagai penyanyi yang sentiasa memberikan kesegaran baru pada setiap konsertnya. Ini antara yang membezakan M. Nasir dengan beberapa penyanyi lain yang sekadar menyanyi tetapi tidak berkarya.
M. Nasir menjelaskan, tanpa sebarang gimik, konsert ini akan berlangsung sepertimana persembahannya sebelum ini.
Persembahan M. Nasir secara unplugged ini akan diiringi oleh pemuzik-pemuzik profesional seperti Jay Jay, Mohar, Rock, Rafi dan Suhaimi.
Mengenai pemilihan lagu-lagu yang akan dipersembahkan pada rancangan khas itu, M. Nasir memberitahu, dia akan menyanyikan lagu-lagu terbaik nyanyian dan ciptaannya sendiri.
Antaranya ialah Rajawali, Tanya Sama Hud-Hud, Andalusia dan Serikandi Cintaku.
Lagu-lagu ini dipetik daripada dua buah album kompilasi M. Nasir iaitu Terbaik M. Nasir dan yang terbaru Srikandi Cintaku.
Selain itu, M. Nasir buat pertama kalinya akan memperdengarkan beberapa buah lagu terbaru ciptaannya termasuklah sebuah lagu berjudul Dalam.
M. Nasir mahu merayakan konsert ini dengan mengundang beberapa peminat setianya untuk bersama-sama memeriahkan konsert yang akan bermula pada pukul 9 malam.
Ini menurut M. Nasir, dia juga mahu lebih dekat dengan peminat-peminat yang selama ini banyak membantu ke arah peningkatan kariernya.
''Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu jambatan yang turut menyatakan keintiman saya dengan peminat,'' jelasnya lagi.
Pas masuk secara percuma boleh didapati di balai pengawal Kementerian Penerangan mulai hari ini.
Selain itu juga, peminat yang berhasrat untuk menonton persembahan ini boleh menghubungi syarikat rakaman BMG di ta-lian 03-2550035.
Hampir 1,000 keping tiket disediakan secara percuma kepada peminat yang ingin menyaksikan konsert berkenaan.
Sementara itu, Penolong Pengurus Promosi BMG Music, Rohani Ismail berkata, penjualan album Srikandi Cintaku terus meningkat semenjak bulan lalu.
''Selepas lagu Andalusia memenangi Juara Lagu '99 penjualan album Serikandi Cintaku semakin baik. Kami percaya pasaran album ini terus meningkat setelah dijual hampir 30,000 unit seja dipasarkan,'' jelasnya.
Album Serikandi Cintaku memuatkan lagu-lagu terbaik ciptaan M. Nasir dan dinyanyikan semula oleh penyanyi ini dengan menampilkan gubahan muzik yang baru.
Antaranya ialah Nur Nilam Sari, Suatu Masa, Kau Ratnaku dan Kerana.
Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Ahad, Disember 12, 1999
Denting Dengung : Terima Kasihhhhh!
Khamis, Disember 09, 1999
Getaran: Loloq dan dunia kata-kata
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
KEJAYAAN lagu Andalusia ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Loloq di Juara Lagu' 99 barangkali boleh dijadikan landasan untuk mengubah tradisi lirik-lirik lagu Melayu. Tanggapan terhadap lirik sebagai himpunan suku kata perlu diperbetulkan dan diletakkan pada landasan yang sewajarnya.
Andalusia antara kelangsungan Loloq untuk keluar daripada lingkungan yang membendung tradisi lirik lagu Melayu.
Ketika sebahagian besar lirik lagu Melayu berkisah tentang kekecewaan dan hidup yang tidak bercahaya, Loloq menghantar Andalusia jauh daripada lingkungan alam remaja.
Andalusia menjejak mimpi-mimpi silam era kegemilangan Islam di Andalusia (kini Sepanyol). Loloq menerusi lirik ini ternyata cukup terharu dengan hilangnya sebuah kegemilangan yang dicatatkan sebagai ''biarkan warna kubah-kubahmu kian pudar, untukmu setanggi ini kubakar, cahayamu sediakala.''
Lirik Andalusia adalah kelangsungan Loloq yang memperkayakan tradisi lirik lagu dengan pengaruh kesusasteraan serta perubahan sosial.
Kerana percaya lirik tidak seharusnya kering dan beku, Loloq menghantar suara seorang anak dalam Bonda nyanyian M Nasir.
Pemilihan kata-kata Loloq kelihatan begitu lembut. Tetapi sarat dengan kekaguman pada kesabaran seorang ibu. Ini pasti turut dirasakan kepada siapa kerana pengalaman menghirup kasih dinikmati oleh semua orang. Di tangan Loloq, Bonda menjadi begitu syahdu dan menginsafkan pengorbanan besar seorang manusia bergelar ibu.
Ada orang kata, lirik lagu Melayu harus sama dengan filem Melayu. Ia mesti mudah difahami dan tidak memperkatakan isu yang di luar keluh-kesah remaja. Ini antara teori untuk menulis lirik yang popular.
Lirik lagu Melayu selalunya sarat dengan keluhan, hiba dan mengenang nasib malang ditinggalkan teman kerana harta atau wajah yang tidak seberapa.
Peranan lirik dalam lagu pula semacam tidak lebih untuk memberi peluang kepada penyanyi mengalunkan suaranya. Tetapi tidak ambil kisah sangat tentang isi dan nilai-nilai artistik pada frasa dan atur kata-katanya.
Kerana itu asalkan ada kata-kata dan suku katanya menepati rentak, liriklah namanya. Menyanyilah si penyanyi kata-kata berbasa-basi, pengulangan kisah kecewa yang puluhan tahun lalu dipaparkan dan tidak banyak yang berani untuk keluar dari lingkungan ini.
Kalangan karyawan kita terlalu prejudis terhadap khalayak seni. Kata mereka, khalayak tidak faham filem atau lirik yang berseni.
Keadaan yang tempang ini wajar berubah dan dibuat perubahan. Lirik perlu diberi dinamisme baru seperti yang diusahakan oleh Loloq.
Andalusia hanya sebuah daripada lebih 800 lirik lain ciptaan Loloq. Dia bukan sahaja penulis lirik yang paling produktif malah berani melontarkan pemikiran yang kelihatan sedikit radikal.
Sememangnya Loloq kelihatan serasa dengan lagu-lagu ciptaan M. Nasir. Malah mereka kelihatan senama dalam industri muzik tempatan. Tentulah ini disebabkan oleh wujudnya interaksi pemikiran antara satu dengan lain.
Tetapi jangan lupa, lirik ciptaan Loloq juga ada yang kelihatan ''main-main''. Sebenarnya Loloq sengaja memilih stail yang agak ringan tetapi maknanya tetap tentang isu yang serius.
Kemampuan Loloq tentunya luar biasa apabila menghasilkan lirik lagu Ngam Ho, Kepala Sotong atau Sup Selipar. Liriknya sedap didengar, meriangkan tetapi tetap pedih maknanya. Loloq juga kelihatan begitu romantis dalam lirik Layar Impian nyanyian Ella atau Biru Mata Hitamku oleh Wings.
Selebihnya Loloq kelihatan sedikit garang dalam Mentera Semerah Padi, Apokalip dan Bikin Wilayah.
Mentera Semerah Padi mengingatkan saya kepada lagu Blowin' In The Rain yang liriknya ditulis oleh penyanyi Bob Dylan para era generasi rock dekad 60-an. Kelahiran Bob Dylan sebagai penyanyi lagu rakyat moden Amerika Syarikat boleh dilihat sebagai cetusan lirik-lirik yang bermutu.
Biarpun dikenali sebagai penyanyi rock tetapi Bob Dylan tidak lupa kepada nilai sebuah lirik dan lagu yang baik. Sama seperti kecenderungan Bob Dylan atau Paul Simon yang melontarkan kekuatan pada liriknya, Loloq percaya bahawa lirik itu sebahagian ukuran lagu yang baik. Dia sentiasa mencari ketepatan pada susunan kata-katanya.
E-mel: kuseman@pc.jaring.my
Selasa, Disember 07, 1999
M. Nasir juara antara juara

Kejayaan lagu Andalusia ciptaan M. Nasir sebagai Juara Lagu '99 akan menonjolkan sebuah lagi karya bermutu yang tersorok di sebalik lagu-lagu popular yang nipis nilai seninya.
Juara Lagu '99 yang mempunyai prestij tersendiri dalam industri hiburan tempatan akan menjadi jentera terbaik untuk membawa ciptaan bermutu ke tengah masyarakat selain lagu-lagu yang memenuhi selera remaja.
Kejayaan kali ini mencatatkan M. Nasir sebagai pencipta yang menjuarai tiga kali dari 14 kali Juara Lagu diwujudkan pada 1986. Kali pertama menerusi Tanya Sama Hud Hud (1994) dan kali kedua Ghazal Untuk Rabiah (1997).
Andalusia yang liriknya ditulis oleh Loloq tidak begitu popular kerana ia berkisar tentang sebuah negara, Andalusia (kini Sepanyol) yang hilang selepas era kegemilangan empayar Islam.
Lagu itu yang dinyanyikan sendiri oleh M. Nasir membawa semangat perjuangan tentang sejarah silam yang menjulang nama kerajaan Islam.
''Saya seorang pencinta yang setia bukannya pejuang,'' jelas M. Nasir mengenai lagu ciptaannya yang turut mengondol juara kategori pop rock itu.
Sekalipun Andalusia yang bercerita tentang perjuangan namun M. Nasir menganggap lagu itu sebagai manifestasi jiwanya yang lembut.
Sememangnya Andalusia terkeluar daripada arus perdana remaja masa kini dan tidak hairanlah kalau lagu tersebut tidak diletakkan dalam kategori popular.
Juara Lagu '99 yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA) malam kelmarin mengemukakan pencipta-pencipta hebat menerusi kategori irama Malaysia, pop rock dan balada.
Selain M. Nasir, antara yang disebut-sebut menjuarai pertandingan ini ialah Suhaimi Mohd Zain menerusi lagu Dondang Dendang nyanyian Noraniza Idris dan Hati Kama (Siti Nurhaliza dan Noraniza).
Namun bagi M. Nasir dengan percubaannya menyelitkan irama rancak yang diadun dengan unsur muzik Arab dalam Andalusia memberi keunikan pada lagu ini.
Ini bukanlah kali pertama percubaan M. Nasir untuk keluar daripada arus perdana muzik tempatan kerana sebelum ini dia pernah mengadunkan beberapa muzik etnik negara ini menerusi Tanya Sama Hud Hud.
Mengenai kemenangan ini, M Nasir menganggap sebagai rezeki anak-anak yang banyak memberi ilham dan kekuatan kepadanya untuk melahirkan karya-karya yang baik.
''Saya juga dedikasikan lagu ini kepada arwah isteri saya,'' kata M. Nasir.
Kemenangan dalam pertandingan itu melayakkan M. Nasir menerima hadiah wang tunai RM37,000, trofi dan sijil penghargaan.
Namun kemenangan kali ini cukup bermakna kepada M. Nasir kerana saingan daripada komposer lain cukup sengit.
''Saya hanya berharap untuk muncul sebagai juara kategori pop rock sahaja tetapi tidak disangka-sangka menang juara keseluruhan.'' jelasnya.
Tetapi bagi M. Nasir, tujuan dia mencipta lagu bukan untuk dipertandingkan sebaliknya sebagai menifestasi seni dengan gaya tersendiri.
''Saya cipta muzik untuk seni dan diketengahkan supaya diterima oleh pendengar. Saya bersyukur kerana dalam banyak rentak muzik yang diketengahkan, irama saya turut mendapat pengiktirafan,'' jelasnya.
Kemenangan Andalusia juga telah mengembalikan Juara Lagu kepada lagu bernada pop setelah dua tahun berturut-turut dimonopoli oleh irama Malaysia menerusi Ghazal Untuk Rabiah (M. Nasir) dan Cindai (Suhaimi Mohd Zain).
M. Nasir juga mengucapkan tahniah kepada penyanyi Jamal Abdillah yang menyanyikan lagu Samrah Mentari ciptaan Suhaimi yang disifatkannya telah memberikan persembahan terbaik.
Bagaimanapun lagu Samrah Mentari tidak memenangi sebarang anugerah dalam pertandi-ngan ini.
Sementara itu pemenang kategori irama Malaysia, Shuhaimi Mohd. Zain tidak menyangka memperoleh kemenangan melalui lagu Hati Kama.
''Saya lebih menaruh harapan kepada lagu Samrah Mentari nyanyian Jamal Abdillah untuk menang,'' jelasnya pada sidang akhbar selepas pertandingan itu.
Menurut Suhaimi, lagu Hati Kama menjuarai kategori irama Malaysia, dia merasakan tidak ada harapan untuk bersaing dengan lagu Andalusia yang sudah diumumkan sebagai juara pop rock.
''Pada saya, Samrah Mentari adalah saingan terdekat lagu, Andalusia. Apabila lagu Hati Kama yang diumumkan, awal-awal lagi saya sudah jangka Juara Lagu '99 kali ini bukan lagi milik saya,'' jelasnya.
Noraniza yang memenangi kategori Persembahan Terbaik menganggap persiapannya untuk menyanyikan lagu Dondang Dendang memberikan hasil yang membanggakan.
Persembahan yang berciri kesenian tradisi dengan iringan penari-penari dari Badan Kesenian Negeri Johor ini turut menampilkan irama rodat yang menjadi kebanggaan masyarakat di Terengganu.
Lagu lain yang turut bertanding di Juara Lagu '99 ialah Istimewa (KRU), Satu Cinta Dua Jiwa (Azlan Abu Hassan/Ishak Ahmad), Jendela Hati (Fauzi Marzuki/Habsah Hassan), Hanya Satu (Johan Nawawi), Syurga Di Hati Kita (Ly/Baiduri) dan Aku tetap Aku (Lan Laga/Amran Omar) dan Dondang Mustika (Siso).
Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Ahad, Disember 05, 1999
Andalusia - Juara Lagu ke- AJL 14
Anugerah Juara Lagu 1999 atau Juara Lagu '99 adalah pertandingan yang membariskan lagu-lagu Melayu yang akan dinobatkan sebagai Juara Lagu. Anugerah Juara Lagu ke-14 ini diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Shah Alam dan disiarkan secara langsung melalui penyiar rasmi TV3 dan radio THR pada jam 8.30 malam 5 Disember 1999. Anugerah tersebut diacarakan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu oleh Normala Shamsuddin dan Kelvin Ong.
Finalis
Kategori Balada
"Purnama Merindu" : Siti Nurhaliza - (Azmeer/Lukhman S)
"Syurga Di Hati Kita" : Ziana Zain - (Ly/Baiduri)
"Hanya Satu" : Nora - (Johan Nawawi)
"Aku Tetap Aku" : Shima (Lan Laga/ Amran Omar)
Kategori Pop Rock
"Andalusia" : M.Nasir - (M.Nasir/Loloq)
"Istimewa" : Kumpulan Indigo - Norman Abdul Halim/Yusry Abdul Halim/Edry Abdul Halim
"Jendela Hati" : Erra Fazira - (Fauzi Marzuki/Habsah Hassan)
"Satu Cinta Dua Jiwa" : Siti Nurhaliza - (Azlan Abu Hassan/Ishak Ahmad)
Kategori Irama Malaysia
"Hati Kama" : Siti Nurhaliza & Noraniza Idris - (Suhaimi Mohd Zain/Hairul Anuar Harun)
"Dondang Dendang" - Noraniza Idris - (Suhaimi Mohd Zain/Hairul Anuar Harun)
"Samrah Mentari" - Jamal Abdillah - (Suhaimi Mohd Zain/Hairul Anuar Harun)
"Dondang Mustika" - Kumpulan Kopratasa - (Siso)
Kemenangan
Juara Keseluruhan: "Andalusia" (M.Nasir / Loloq)
Juara Kategori:
Irama Malaysia: "Hati Kama" (Siti Nurhaliza & Noraniza Idris / Suhaimi Mohd Zain)
Balada: "Purnama Merindu" (Siti Nurhaliza / Azmeer / Lukhman S)
Pop rock: "Andalusia" (M.Nasir / Loloq)
Persembahan Terbaik: Noraniza Idris - "Dondang Dendang"
Trivia
Edisi kali ini menampilkan persaingan sangat sengit antara Lagu Andalusia nyanyian M.Nasir & Hati Kama nyanyian Noraniza Idris & Siti Nurhaliza.
M.Nasir telah mencipta rekod peribadi dan rekod AJL kerana telah menjadi artis dan komposer pertama yang memenangi AJL sebanyak 3 kali selepas kali pertama pada tahun 1994 menerusi lagu 'TANYA SAMA ITU HUD HUD', kali kedua pada tahun 1997 dengan lagu 'GHAZAL UNTUK RABIAH' (duet bersama Jamal Abdillah).
Semasa dalam persembahan beliau, mungkin terlalu asyik dalam persembahan lagu, M.Nasir membaling Tamborin ke belakang dan hampir terkena pemain muzik orkestra di belakang beliau.
Kemunculan semula KRU dalam arena AJL, tetapi bertanding sebagai komposer & penulis lirik lagu 'Istimewa' nyanyian Kumpulan Indigo.
Juara Lagu kali ini merupakan kali kedua buat Siti Nurhaliza berentap dalam ketiga-tiga kategori selepas Juara Lagu 1998. Ini menunjukkan dua tahun berturut-turut beliau bertanding bagi tiga kategori yang berbeza.
Ziana Zain membuktikan kekuatan vokal beliau menerusi lagu Syurga Di Hati Kita meskipun beliau mengandung 2 bulan pada malam Anugerah Juara Lagu tahun ini.
Pak Ngah atau Suhaimi Mohd. Zain muncul sebagi komposer dan penulis lirik pertama yang layak dalam kategori Irama Malaysia menerusi 3 buah lagu iaitu Hati Kama, Samrah Mentari, dan Dondang Dendang sekaligus membuka peluang yang luas buat beliau untuk memenangi kategori tersebut.
Komposer Azmeer buat penampilan sulungnya sebagai komposer untuk lagu "Purnama Merindu" nyanyian Siti Nurhaliza.
Seperti AJL 1998, tiada kumpulan muzik (band) layak ke Anugerah Juara Lagu 1999 buat kali ketiga. Kumpulan Kopratasa layak ke AJL, tetapi tidak bermain muzik sendiri dalam kategori Irama Malaysia.
AJL 1999 menyaksikan Erra Fazira bertanding buat kali pertama menerusi lagu 'Jendela Hati'.
Noraniza Idris memenangi Persembahan Terbaik untuk 2 tahun berturut-turut.
Penampilan terakhir Jamal Abdillah & Shima bertanding di pentas akhir AJL.
Sabtu, November 13, 1999
Awie lakukan kesilapan besar - M.Nasir
GARA-gara penarikan diri penyanyi Awie pada saat-saat akhir, dua buah lagu M. Nasir tidak dapat dipertandingkan ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik yang bermula 15 November ini. Dua buah lagu itu ialah Nurnilam Sari dan Bayangan Baiduri.
M. Nasir yang ditemui pada sidang media Muzik-Muzik peringkat separuh akhir baru-baru ini, berkata, secara profesional, dia merasakan Awie telah melakukan satu kesilapan besar kerana menarik diri daripada pertandingan itu.
Katanya lagi, walaupun Search telah berpecah, itu bukan satu masalah kepada Awie. Sekalipun M. Nasir tidak meluahkan kekecewaannya secara terbuka, tetapi pada nada suaranya ternyata komposer sensasi itu begitu terkilan dengan tindakan yang diambil oleh Awie.
Lagu Nurnilam Sari adalah lagu istimewa ciptaan komposer itu yang dicipta khusus untuk anak perempuan tunggalnya Nurnilam Sari sebelum kematian isterinya, Allahyarham Junainah Johari. Bagaimanapun, M. Nasir memberitahu, dia tidak bertanyakan soal itu secara berdepan dengan Awie sekalipun dia dalam proses menerbitkan album penyanyi itu.
Katanya, dia menyerahkan perkara itu kepada syarikat rakaman BMG. Sementara itu, Timbalan Pengurus Hiburan TV3, Tan Guat Eyu berkata, pihaknya akan mempertimbangkan penyertaan Awie dalam Muzik Muzik pada masa depan.
Muzik-Muzik alaf baru pada tahun depan akan menampilkan Ning Baizura dan Benjy sebagai pengacara dan memperkenalkan kategori Irama Malaysia yang ditukarkan kepada Etnik Kreatif.
Pada sidang media itu juga, tiga buah lagu Siti Nurhaliza terpilih ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik menerusi semua kategori yang dipertandingkan.
Tiga lagu tersebut ialah Purnama Merindu yang dipertandingkan dalam kategori Balada, Satu Cinta Dua Jiwa dalam kategori Pop Rock dan lagu duet bersama Noraniza Idris dalam kategori Irama Malaysia.
Selain Siti, dua lagu Ziana Zain juga dicalonkan bagi dua kategori iaitu Syurga Di Hati Kita (Balada) dan Ada Suara Ada Cinta bagi kategori Pop Rock.
Pertandingan Muzik-Muzik separuh akhir kali ni menyaksikan persaingan sengit dalam setiap kategori. Sebanyak 10 lagu layak memasuki peringkat separuh akhir bagi muzik-muzik terakhir abad ini.
Bagi kategori Balada lagu yang layak ke pertandingan separuh akhir ialah Aku Cinta Aku Rindu, Cinta Tersimpul Rapi, Mentari Muncul Lagi, Andai Kau Pergi, Kuidamkan Rindu, Hanya Satu, Aku Tetap Aku dan Di Rantai Digelangi Rindu.
Kategori Pop Rock pula menyaksikan persaingan antara lagu Biso Bonar, Satu Cinta Dua Jiwa, Andalusia, Jendela Hati, Semangat Perjuangan Harmoni, Istimewa, Mana Satu, Jika Kau Tak Kucinta dan Pesanan Buat Kekasih.
Sementara itu, lagu kategori Irama Malaysia pula ialah Dondang Dendang, Samrah Mentari, Zikir Kasih, Harapkan Kekasih Kekasih Pula Menyisih, Dondang Mustika, Ghazal Asmara, Antara Kasih Sayang dan Cinta, Mutiara Rindu dan Kota.
Oleh: NORASHIKIN HASSAN
Selasa, Oktober 12, 1999
Kathy senang hasil album dengan M. Nasir
petikan Berita Harian, 12 October 1999
Laporan dan gambar oleh A. Kadir Pandi
ALBUM terakhir Kathy Ibrahim berupa nyanyian duet bersama Ramli Sarip, sudah berusia enam tahun. Selepas album berjudul Lagu Zaman itu, tiada lagi album terbaru rakamannya.
Sepanjang enam tahun itu, namanya hanya dikaitkan dengan kegiatan mengurus perniagaan restoran di New Zealand — seolah-olah bidang nyanyian sudah menjadi setakat sejarah dalam hidupnya.
Benarkah begitu?
Tidak, kata Kathy.
Beliau hanya 'menghilang' sebagai seorang artis rakaman kerana selama enam tahun itu, beliau masih aktif menyanyi di majlis-majlis korporat sekiranya diundang.
Kini, selepas restorannya di New Zealand dijual kepada orang lain, Kathy kembali ke dunia hiburan.
Bukan itu saja, cita-citanya untuk menyanyikan lagu-lagu yang mempunyai sentuhan M. Nasir juga tercapai.
"Dua tahun dulu memang ada rancangan untuk mengambil M. Nasir sebagai penerbit.
"Tetapi oleh kerana beliau baru kehilangan isteri yang tercinta dan adanya krisis ekonomi, maka rancangan itu tergendala buat sementara.
"Bagaimanapun, sekarang krisis ekonomi sudah menampakkan tanda-tanda pemulihan dan M. Nasir juga kembali seperti sedia kala," katanya.
Inilah kali pertama Kathy bekerjasama dengan M. Nasir dalam studio.
"Saya dapati M. Nasir menjalankan tugasnya secara profesional.
"Tidak susah bekerja dengan M. Nasir kalau dapat memahaminya. Beliau juga nampaknya boleh bertolak ansur kerana ada beberapa lagu ciptaannya yang saya tolak kerana tidak sesuai dengan suara saya.
"M. Nasir menerimanya dengan sikap terbuka," kata Kathy.
Sebanyak 10 lagu telah dirakamkan — sembilan ciptaan M. Nasir sementara yang satu lagi dicipta oleh Yan dari kumpulan Lefthanded.
"M. Nasir mempunyai cara tersendiri dalam melahirkan sesebuah album.
"Misalnya, beliau tidak hanya menuju kepada sesebuah lagu yang difikir akan menjadi lagu hit tetapi bekerja untuk setiap lagu yang dirakamkan, iaitu keseluruhan album.
"Saya senang bekerja dengannya biarpun ada orang berkata M. Nasir ni seorang yang outspoken.
"Biarpun saya cerewet memilih lagu, M. Nasir dapat mengatasinya dengan baik.
"Kesemua sembilan lagu ciptaan M. Nasir dalam album berjudul Terbang Pulang ini sesuai dengan cita rasa saya," kata Kathy.
Kathy menambah bahawa album itu adalah usaha syarikat miliknya sendiri, iaitu Ozona Sdn Bhd.
Dua buah syarikat rakaman telah melahirkan hasrat untuk mengedarkan album tersebut.
Apakah selepas ini Kathy akan berduet semula dengan Ramli Sarip dalam sebuah album baru?
Memang ada rancangan seperti itu, kata Kathy.
Malah, tambahnya, Ramli sendiri pernah melahirkan hasrat yang sama ketika mereka berbual-bual melalui telefon.
"Tengoklah nanti kalau masa dan keadaan mengizinkan, saya dan Ramli akan kembali berduet," kata Kathy.
Bagaimana pula kalau berduet dengan M. Nasir?
Menurut Kathy, Nasir menolaknya dengan alasan belum masanya lagi.
"Insya-Allah, kalau M. Nasir sudah bersedia dan saya juga begitu, kami mungkin berduet dalam satu album," katanya.
