petikan Berita Harian 13 April 1992
KUALA LUMPUR — Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Mohamed Rahmat, telah memberi kata dua kepada artis lelaki negara ini supaya memotong rambut atau kehilangan pembahagian M$2 juta (kira-kira S$1.3 juta) setahun yang diuntukkan kepada mereka yang menyertai rancangan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).Kementerian itu telah membelanjakan wang sebanyak itu setahun sebagai bayaran kepada artis yang menyertai rancangan yang diterbitkannya, katanya.
Oleh itu, Datuk Mohamed Rahmat berkata kumpulan penyanyi tempatan yang mengancam mahu memulaukan RTM perlu menyedari bahawa selama ini RTM banyak membantu kerjaya mereka, malah tidak keterlaluan dikatakan stesen itu adalah sumber mereka mencari makan.
"Terpulang kepada mereka membuat pilihan... mahu potong rambut atau tidak kerana kita (RTM) mempunyai peraturan mengenai rambut.
"Mereka (artis) perlu ingat, RTM membayar setiap apa yang mereka lakukan dan memberi keutamaan kepada artis yang sopan dan jujur," katanya kepada pemberita ketika menghadiri rumah terbuka Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini kelmarin.
Sebelum ini, sekumpulan penyanyi yang diketuai seorang komposer, penyanyi dan pelakon merancang memulau RTM yang didakwa menimbulkan pelbagai kesulitan kepada artis tanahair.
Mereka merancang memulau semua rancangan terbitan RTM berikutan rasa tidak puas hati dengan pelbagai garis panduan yang membabitkan artis. — BMM.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan