Khamis, Mei 22, 2025

M Nasir pun 'pelat M'

 petikan Kosmo Online 22 Mei 2025

Syafil Syazwan Jefri  syafil.syazwan@hmetro.com.my

M Nasir ketika bercakap pada Majlis Pelancaran single Daud M Wamwamsam di SkyArk Event Spaces. FOTO Nabila adlina Azahari

Kuala Lumpur: Datuk M Nasir memberi kejutan apabila tampil sebagai watak cameo dalam video muzik single baharu Joey Daud berjudul Wamwamsam.

Lebih 'mengejutkan', M Nasir yang sering dilihat sebagai 'sifu' dalam bidang muzik dan berperwatakan serius turut melontarkan dialog 'pelat' menggunakan bahasa M seperti watak Daud M yang dilakonkan Joey.

Daud M adalah watak lakonan Joey dalam 18 Puasa Di Kampong Pisang, Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali dan Kampong Pisang Bersiri-Siri arahan Allahyarham Mamat Khalid.

"Saya terbabit dalam muzik video itu. Bila dah masuk, saya muncul sebagai cameo. Bila dah masuk, saya kena bawa watak itu," kata M Nasir.

Diminta mengesahkan mengenai pembabitannya sebagai pelakon dalam filem komedi Daud M Origin yang akan diarahkan Amen Khalid, M Nasir berkata, dia akan pertimbangkan

"Saya tak cakap. Saya tanya dia (Joey), 'awak melamar saya ke?' Dia dah sahkan. Tengoklah nanti kalau tawaran dia bagus," katanya.

Ditanya mengenai watak komedi yang asing buatnya, M Nasir tidak menolak untuk terbabit sekiranya watak dan jalan cerita yang ditawarkan menarik perhatiannya.

"Yang penting bagi saya adalah watak dan jalan ceritanya. Kadang-kadang orang ingat saya lebih cenderung kepada watak yang serius.

"Tapi kalau wataknya menarik dan saya suka, saya pertimbangkan. Itu dasarnya," katanya

Tiada ulasan: