petikan Astro Awani 16 Julai 2023
Irwan Muhammad Zain
BERTEMASYA dengan muzik Melayu yang diadunkan dengan elemen irama moden bakal menjanjikan satu kepuasan kepada peminat muzik di Singapura.
Kepuasan itu pasti bertambah apabila pesta keramaian muzik Melayu itu dibawakan oleh seorang legenda yang terkenal dengan semangat nusantara.
Konsert Datuk M. Nasir 'Gendang Pati, Satu Malam di Singapura' pastinya menjanjikan persembahan bertenaga buat peminat seniman yang digelar 'sifu'.
Konsert itu dinamakan Gendang Pati bagi meraikan rentak yang berdasarkan muzik dunia dengan elemen kepulauan nusantara menjadi inti pati irama.
"Gendang Pati ini boleh dikatakan macam satu keramaian dan boleh juga kita katakan, pati gendang itulah di balik falsafah gendang itu.
"Apa yang dikeluarkan oleh gendang itu, apa yang dimanifestasikan dari bunyi dan iramanya, itu maksudnya," kata kepada Astro AWANI.
Bagi pengarah muzik konsert Gendang Pati, Aznan Alias irama gendang yang ada dalam lagu-lagu M. Nasir sentiasa menjadi pilihan peminat komposer tersebut.
Malah Aznan menjelaskan, pada setiap konsert M. Nasir pastinya ada pembaharuan biarpun lagu-lagu lama dipersembahkan.
"Kalau dengan M. Nasir sebenarnya, setiap kali konsert ada benda baru. Cuma benda baru itu ia tersirat pada rhythm.
"Peminat setia M. Nasir akan tahu ada kelainan. Macam konsert ini, kalau kita tengok gendang, ya gendang biasa, tetapi apabila konsert, ia ada drive yang buat penonton pasti berjoget.
"Apa yang kami buat, ramai yang tidak tahu sangat, tetapi penonton dapat rasa jiwa muzik itu," katanya.
Kepulangan M. Nasir ke tanah kelahirannya pastinya dinanti-nantikan peminat beliau di negara tersebut, dan untuk yang di Malaysia, Konsert Gendang Pati mungkin akan dibawakan ke Kuala Lumpur
"Insya-Allah kita akan bawa ke Kuala Lumpur. Masih dalam perbincangan. Tunggulah pengumumannya," ujar beliau.
Konsert Gendang Pati pada 22 Julai nanti, anjuran MUSE Plus, menjanjikan persembahan yang rancak dan bertenaga bagi para peminat telah menyokong kerjaya seninya selama empat dekad ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan