petikan Utusan Malaysia 1 Mac 2023
Oleh HASIF IDRIS
KUALA LUMPUR: Dua seniman tersohor tanah air, Datuk M. Nasir dan Datuk Hattan bakal bergabung dalam konsert Sifu & Aku 38 di dua lokasi berbeza di Sarawak dan Sabah.Konsert yang julung kali menampilkan seorang sifu dan anak murid bakal diadakan pada 25 Mei depan di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak dan 1 Jun di Sabah International Convention Centre.
Menurut Datuk Hattan, konsert itu mempunyai kelainan tersendiri kerana penonton bakal disajikan dengan persembahan lagu yang menyentuh jiwa dan meruntun hati.
“Mutakhir ini, ada banyak konsert di negara kita dan boleh dikatakan hampir setiap minggu. Konsert-konsert sekarang belum ada lagi penampilan seorang guru dan anak murid di atas satu pentas.
“Ada kelainan tersendiri kerana penonton bukan sekadar datang lihat konsert tetapi merasai sebuah ‘penjiwaan’.
“Jadi, perlu datang dan lihat apa yang kami berdua lontarkan kerana setiap lagu yang dipersembahkan ada sejarah tersendiri. Semuanya akan terungkai dalam konsert ini,” katanya semasa sidang akhbar, semalam.
Mengikut perancangan asal, Hattan berkata, asalnya dia ingin merekodkan album berjudul Sifu & Aku, namun disebabkan kesibukan pemuzik lain hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan.
“Perancangan kami sangat besar untuk membawa konsert di Sabah dan Sarawak sebab jarang penganjur membuat konsert di sana. Kita juga perlu meraikan peminat di sana.
“Lihat kepada angka 38 tahun perjuangan sahaja sudah menjawab mengapa penghibur seperti kami terus relevan,” katanya.
Bagi M. Nasir sendiri, persetujuan yang diberi mempengaruhi betapa serius projek itu akan berjalan, sementelah mengguna kata Konsert Sifu & Aku 38.
“Mesti ada simbolik dan maksud di sebalik tanggal 38 tahun keraian dan perkataan Sifu dan Aku itu sendiri.
“Jadi saya melihat ia sebagai buah fikir yang baik, gabungan bersama Hattan untuk menyapa peminat di luar Semenanjung serta menyemarakkan kembali pasaran konsert tempatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan