Sabtu, Februari 11, 2023

M. Nasir kembali dengan Munajat

petikan Utusan Malaysia 1 Februari 2023

Oleh MOHAMMAD AL FAIZAL ABDUL KARIM

KUALA LUMPUR: Sebagai anak seni yang sentiasa mencabar diri untuk tampil dengan karya yang membekas di hati peminat, Datuk M. Nasir kembali bersama single terbaharu, Munajat.

Selepas 18 tahun sejak menghasilkan album terakhir, Sang Pencinta, Munajat yang dicipta sepenuhnya oleh beliau membawa makna tersendiri apabila turut terpilih sebagai lagu tema filem Imam.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan kepada Utusan Malaysia, M. Nasir memaklumkan, lagu tersebut mempunyai maksud mendalam tentang kewajipan seorang Muslim.

“Munajat secara umum membawa maksud doa atau rintihan hati yang selalunya diucapkan dalam bentuk zikir untuk merayu dan meminta keredaan Tuhan.

“Persengkataan yang berlaku antara imam lama dan baru dalam filem tersebut telah membuat orang lupa terhadap perkara tersebut.

“Lagu ini bertujuan untuk mengingatkan kita untuk bermunajat kepada Tuhan,” katanya.

Filem Imam mengisahkan perjuangan seorang imam, Imam Mihad yang cuba membawa pembaharuan di sebuah masjid di kampungnya.

Kepulangan dan usaha yang digerakkannya menerima tentangan sekumpulan penduduk yang tidak senang dengan lantikannya menjadi imam baharu di masjid berkenaan.

Filem yang turut dibintangi Vanidah Imran dan Faizal Hussein itu merupakan adaptasi daripada karya agung Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain.

Munajat boleh didengar secara dalam talian menerusi semua platform digital, manakala video muziknya dapat ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas bermula semalam.




Tiada ulasan: