Ahad, Januari 30, 2022

Saya mahu terus menghibur – M. Nasir

 petikan Utusan Malaysia 30 Januari 2022

Oleh MOHAMMAD AL FAIZAL ABDUL KARIM

Kita tidak boleh persoalkan di mana kedudukan permata seni ini dalam persada muzik tempatan.

Datuk M. Nasir bukan nama yang biasa dalam arena seni kita. Siapa tidak mengenali figura ini? Pengaruhnya cukup besar. Selayaknya beliau kita gelar legenda.

Perjalanan seni seorang M. Nasir ada penceritaan yang tersendiri. Jika disingkap, terlalu panjang. Bayangkan kini beliau sudah genap empat dekad mencurah bakti. Satu tempoh yang cukup lama.

Beliau menerima pendedahan awal dalam dunia muzik bukan sahaja menerusi lagu-lagu yang didengarinya di radio. Malah melalui muzik yang dibawakan bintang-bintang antarabangsa seperti Bob Dylan, Queen, Led Zeppelin dan ramai lagi.

Anak kelahiran Bukit Panjang, Singapura ini menceburi bidang penulisan lagu sekitar tahun 70-an.

Rakan baiknya yang juga bekas penerbit eksekutif syarikat rakaman PolyGram Singapura, Wan Ibrahim mempelawa beliau menulis lagu untuk kumpulan terkenal, Alleycats.

Beliau kemudian berjinak-jinak dalam dunia seni suara. Percubaan awal itu membawa kepada penghasilan sebuah album bertajuk Untuk Pencinta Seni yang diterbitkan sekitar 1979.

Namun, nasib tidak menyebelahi permata seni ini. Album tersebut tidak mendapat sambutan sekali gus gagal di pasaran.

Berkat keinginan yang tinggi, M.Nasir enggan menoleh ke belakang. Seniman berusia 64 tahun ini mengorak langkah, menubuhkan kumpulan rock yang dinamakan Kembara.

Album pertama kumpulan tersebut mencatat kejayaan tersendiri dengan jualan yang memberangsangkan, sekitar 25,000 unit terjual.

Kembara berterusan mengeluarkan enam album sebelum dibubarkan pada 1985.

M.Nasir kemudian kembali bergerak solo. Beliau, membawa namanya sendiri, menghasilkan enam album. Antaranya seperti Saudagar Mimpi yang diterbitkan pada 1992, Canggung Mendonan (1993), Srikandi Cintaku (1999), Phoenix Bangkit (2001) dan Sang Pencinta (2006).

Baru-baru ini, saya berpeluang bersua muka dengan komposer dan pemuzik disegani ini. Buat pertama kali, saya bertemu dengan seorang legenda yang tinggi tarafnya dalam dunia seni tempatan.

Saya layangkan pertanyaan, adakah tahun ini beliau akan hadir dengan album baharu? Sudah agak lama juga seorang M. Nasir tidak menerbitkan album.

Katanya, perancangan itu ada. Namun, album yang dinanti-nantikan itu masih dalam proses pembikinan.

“Ya, saya sedang usahakan sebuah album yang akan dinyanyikan oleh saya sendiri,” jawabnya singkat.

Namun, M. Nasir sedar akan perubahan yang berlaku dalam industri. Dunia digital sudah menjadi keutamaan dan dimonopoli pemuzik-pemuzik era baharu.

“Penjualan album fizikal sudah berkurangan memandangkan pasaran sekarang lebih tertumpu kepada saluran digital.

“Pendengar sudah tidak berapa mahu membeli muzik. Kecuali kalau lagu atau karya yang dihasilkan itu ada nilai ‘tular’. Mereka cenderung ke arah itu.

“Seniman-seniman macam kami pula tidak mengeluarkan karya-karya sebegitu. Kami pembikinan muzik yang serius dan kurang bermain media sosial,” ujarnya.

Selagi bertenaga, saya buat

Sudah empat dekad, M. Nasir masih gigih menabur khidmat sebagai anak seni. Saya tanyakan kepadanya, sampai bila dia akan terus berada di sini?

Katanya, dia masih ingin berkarya. Masih berminat menghasilkan sesuatu yang baharu untuk disajikan kepada peminat dan pengikut dunia seni.

“Saya nak hasilkan sesuatu yang baru. Selagi bertenaga, saya buat. Selagi ada penyanyi yang menarik, selagi itulah saya akan buat (muzik).

“Orang muda sekarang, ada dunia mereka. Generasi macam saya ini mungkin tidaklah sibuk-sibuk nak masuk dunia mereka.

“Umpama Anugerah Juara Lagu, semua yang bertanding muda-muda. Tapi generasi saya masih ada lagi,” katanya.

Jujur beliau katakan, beliau tidak selesa dipanggil ‘otai’. Apatah lagi digelar legenda. Katanya, biarlah pemuzik generasinya dilihat sebagai golongan profesional yang serius untuk berkarya.

“Kami ada tempat kami. Saya tak gemar kalau ada yang panggil saya ‘otai’. Kami artis profesional.

“Tak perlulah juga kami dipanggil sebagai legenda. Sekali sekala itu bolehlah.

“Saya mahu terus menghiburkan. Kalau boleh, nak terus ‘cari makan’ dalam industri,” katanya.

Kata M. Nasir lagi, hidup sebagai pemuzik dalam zaman persaingan ini ada cabarannya tersendiri. Baginya, nak cari rezeki sekarang bukan mudah. Zaman sudah berubah.

“Pendapatan hasil jualan lagu dulu dan sekarang tak jauh beza. Cuma sekarang ini kita ada banyak saluran.

“Dahulu penyanyi peroleh pendapatan yang banyak daripada hasil jualan album fizikal. Sekarang, kita ada saluran digital.

“Cuma apa yang membezakan, kalau jualan album fizikal, kita akan tahu. Ada terjual, adalah duit,” kongsinya.

Tiada ulasan: