Jumaat, Oktober 23, 2020

Konsert untuk alam

petikan Harian Metro 23 Oktober 2020

NAMA-NAMA besar dalam industri muzik dilihat tidak pernah gagal melahirkan sokongan terhadap perjuangan menjaga alam sekitar.

Terbaharu, melalui satu konsert yang dinamakan IGEM virtual Green Concert, nama-nama besar dalam industri muzik tempatan seperti Datuk DJ Dave, Datuk M Nasir, Datuk Awie, Ella dan Siti Nordiana menyampaikan pesan betapa kita semua perlu menyokong segala usaha menghijaukan dunia.

Turut membuat penampilan adalah penyanyi muda, Asfan Shah dan Chubby Buskers.

Konsert itu diadakan sempena Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eco Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2020 yang berlangsung mulai Isnin lalu hingga hari ini.

Konsert yang diacarakan Joey Daud itu dirakamkan pada 16 Oktober lalu di Petaling Jaya dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) penggambaran yang ketat.

Ia juga boleh ditonton secara virtual di seluruh dunia dengan melayari laman web.

Ketua Pegawai Eksekutif IGEM 2020, Shamsul Mohd Nor berkata, konsert secara virtual itu adalah pemangkin untuk memperhebatkan kempen meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Ia juga sejajar Industri 4.0 yang memberikan pendedahan luas kepada adaptasi era digital.

"Melalui penganjuran konsert ini, kita berharap dapat mempertingkatkan kesedaran orang ramai yang juga peminat artis-artis ini untuk sama-sama menghayati mesej yang ingin disampaikan IGEM. Saya percaya melalui sentuhan hiburan sebegini, matlamat penganjuran acara kami lebih mudah untuk sampai dan diterima masyarakat," katanya.


Sementara itu, M Nasir yang mempersembahkan lagu Tari Cinta Rimba Mistikal berkata, beliau memilih lagu itu kerana ia sangat sesuai dengan penganjuran konsert itu.

"Lagu itu bercerita mengani alam, keindahannya dan juga usaha 'menodakannya' dengan apa yang diistilahkan sebagai pembangunan. Jika digali dengan lebih mendalam akan maksud lagu ini, segala-galanya adalah mengenai kemanusiaan. Jadi, saya turut berbesar hati kerana IGEM Green Concert berusaha untuk menyampaikan mesej mesej yang baik dan berguna ini kepada orang ramai," katanya.

Ella pula secara tegas melahirkan kekesalan di atas sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang masih mengambil mudah mengenai penjagaan alam sekitar ini.

"Saya harap dengan konsert sebegini, kami dapat menyentuh mata fikir pihak-pihak terbabit untuk lebih peka akan natijah akibat tindakan mereka," katanya.

DJ Dave turut melahirkan sokongan mengenai kempen sebegini.

Beliau yang juga Penerbit Eksekutif acara itu berkata, sebagai anak seni sokongan paling kecil yang boleh mereka salurkan ialah dengan karya seni juga.

DJ Dave yang memilih lagu Di Desa Kasihku Tertumpah berkata, lagu itu bagi mengimbas semula kenangan dan nostalgia kebanyakan orang mengenai kehidupan di desa yang kebiasaannya dianggap sebagai kurang berlakunya pencemaran alam.

"Konsert sebegini paling tidak akan menjentik semula hati sesetengah penonton yang mungkin sudah alpa mengenai alam yang kian terjejas ini. Kita perlu beri kesedaran secara berterusan agar bumi mampu dipelihara sebaiknya untuk tempoh masa yang lebih lama lagi," katanya.

Konsert yang dianjurkan sempena kempen meningkatkan kesedaran pentingnya penjagaan alam sekitar ini turut menyenaraikan lagu-lagu lain antaranya Terima Kasih, Oh La La Tropika dan Standing In The Eyes Of The World.

IGEM 2020 adalah penganjuran kali ke 11 yang seumpamanya dan membabitkan penyertaan dari seluruh dunia.

Ia membahaskan beberapa topik utama yang membabitkan pengurangan 70 peratus populasi dunia yang tinggal di pinggir sungai, kerjasama menamatkan sisa plastik, pengurangan pelepasan gas dari rumah hijau dan teknologi diod pemancar (LED) yang lebih efisen.

Program secara virtual ini menyediakan akses 24 jam dan boleh ditonton di seluruh dunia menerusi laman web virtual.com.





Tiada ulasan: