petikan Harian Metro 3 Februari 2020
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my
PENYANYI dan komposer terkemuka, Datuk M Nasir bukan figura yang mudah untuk didekati. Tambahan pula, penyanyi berusia 63 tahun itu mempunyai pegangan dan identiti tersendiri dalam setiap karya yang dibawakan. Lebih-lebih lagi untuk mendapatkan persetujuan beliau untuk menyanyikan lagu ciptaan sepenuhnya daripada komposer lain.
Bagaimanapun, Nasir membuat kejutan apabila tampil bekerjasama dengan rapper baharu, Kmy Kmo dan Luca Sickta menerusi single berjudul Zuhud.
Lebih menarik, Nasir tidak mengubah sebarang melodi atau lirik yang dicipta dua pendatang baharu itu.
“Kalau orang menyanyi dengan saya, orang akan ingat saya akan ubah lagu itu. Dulu ketika dengan Malique, baris lagu yang saya nyanyi, saya buat sendiri.
TIDAK ubah melodi atau lirik lagu Zuhud.
“Kali ini, saya tidak membuat sebarang perubahan. Saya hanya mahu sampaikan apa yang mereka fikirkan. Saya mahu jadi penyanyi saja, itu keputusan saya,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Universal Music Malaysia di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Barangkali ramai yang akan berteka-teki bagaimana Nasir bersetuju untuk bekerjasama dengan rapper terbabit sedangkan mereka masih hijau.
Katanya, dia tertarik dengan sentuhan muzik yang mereka perkenalkan.
“Sebenarnya saya belum pernah dengar muzik mereka sebelum ini. Ingatkan mereka akan buat lagu kontemporari habis, ala Barat.
“Tapi, apabila saya dengar apa yang mereka hasilkan, saya suka dengan gubahan lagu mereka itu. Saya suka dengan mereka punya semangat nak eksperimentasi dengan muzik itu,” katanya.
Zuhud adalah sebuah karya yang menggabungkan rentak hip hop dan elemen muzik tradisonal Melayu.
Lagu ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sickta itu turut menampilkan pelakon Azri Iskandar dalam muzik video mereka.
Lagu yang dilancarkan sejak 20 Disember lalu itu mencatat lebih lebih 970,000 tontonan di YouTube.
Sementara itu, Kmy Kmo dan Luca Sickta berkata, mereka tidak menyangka apabila Nasir menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan mereka.
“Syukur kerana beliau sudi bekerjasama dengan kami. Ia membuktikan bahawa lagu ini mempunyai nilai estetika tersendiri.
“Kami bereksperimen dalam muzik untuk membuktikan kami antara pejuang seni rap intelektual Melayu. Menerusi konsep ritma atas puisi, karya ciptaan kami sarat dengan tradisi kemelayuan dari segi bunyi dan bahasanya,” kata mereka.
Mengulas mengenai lagu ini, Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim berkata, mereka cuba menerapkan mesej tersirat dan tersurat menerusi karya ini.
“Lagu ini adalah pesanan kami kepada semua pendengar untuk tidak angkuh dengan apa yang kita miliki di dunia kerana itu semua hanya bersifat sementara.
“Berbalik kepada matlamat utama kita iaitu mencapai bahagia di alam akhirat. Saya dan Luca bersyukur kerana lirik Zuhud yang kami tulis ini diterima baik Nasir. Ia satu penghormatan buat kami kerana berpeluang bekerjasama dengan legenda muzik tanah air,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan