petikan Bernama 24 November 2019
Berdurasi lebih tiga jam dengan dendangan 28 lagu hits yang mengiringi perjalanan seninya sepanjang 40 tahun, konsert solo ‘M Nasir Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan’, nyata membuktikan seniman tersohor itu berada pada kelas tersendiri.
M Nasir atau terkenal dengan jolokan sifu berjaya memberikan persembahan mantap dan bertenaga selama konsert berlangsung di hadapan 2,800 penonton, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.
Konsert selama dua malam bermula malam tadi, sekali gus menjadi hadiah yang amat bermakna dan pengubat rindu kepada peminat seni penyanyi serta komposer berusia 62 tahun itu, yang kali terakhir mengadakan konsert solo pada 2015.
Tirai persembahan pada malam tadi bermula dengan lagu Langgam Pak Dogo daripada album Phoenix Bangkit, yang merupakan album solo keenam M Nasir pada tahun 2001 diikuti dengan lagu Anak-anak Kita.
Iklan
Diiringi kumpulan muzik yang dikenali sebagai ‘Gong’ terdiri daripada Aznan Alias, Firdaus Mahmud, Raffi dan Ujang Exists, nyata umpama memberi ‘sengatan’ untuk seniman tersohor itu untuk terus mendendangkan lagu hits ciptaan beliau serta pelbagai lagu yang dicipta untuk penyanyi lain.
Tatkala M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad menyampaikan lagu Phoenix Bangkit Dari Abu, peminat mula bangun dengan memberi tepukan gemuruh tanpa henti sebagai tanda menghargai konsert yang dinanti-nanti itu.
Tidak terhenti di situ, ‘sifu’ terus memukau penonton di dalam dewan dengan lagu Keroncong Untuk Ana yang merupakan satu daripada lagu menerusi album Seniman Jalanan yang diterbitkan pada 1984.
Bait pertama lagu tersebut membuatkan suasana di dalam dewan diam seketika dengan penonton menyalakan lampu di telefon bimbit masing-masing dan menghayati persembahan tanpa henti 12 lagu lain termasuk lagu medley.
Selain itu, persembahan selingan lagu genre dikir barat oleh Sabri Yunus ternyata mencuit hati penonton yang menampilkan lirik spontan beliau.
Penonton yang sejak awal tidak berganjak dari tempat masing-masing terus berdiri apabila M Nasir mendendangkan lagu medley ciptaan beliau antaranya Hingga Akhir Nanti, Bercanda Di Pasiran Pantai, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Fantasia Bulan Madu dan Pawana.
Ternyata penonton menghayati setiap lagu yang disampaikan sehingga membuai emosi serta kenangan penonton yang hadir apabila mereka menyanyi bersama lagu yang pernah menjadi peneman zaman muda mereka satu ketika dahulu.
M Nasir menutup persembahan dengan lagu popularnya Mustika yang membuat penonton bangun memberi tepukan menandakan peminat terkesan dengan ‘magis’ dibawa penyanyi kesayangan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan