petikan Astro Awani 18 September 2019
Irwan Muhammad Zain, Astro Awani
KUMPULAN yang pernah popular dengan lagu Masih Aku Terasa, Gersang mengharapkan sentuhan magis komposer terkenal Datuk M. Nasir untuk album terbaharu mereka yang dijangka diterbitkan tahun depan.
Menurut vokalis utama Gersang, Abdul Rahman Othman atau lebih dikenali dengan Man Bai, dia dan anggota kumpulan yang lain telah bertemu dan berbincang untuk mengeluarkan nakshah baharu selepas sekian lama menyepikan diri.
“Saya percaya Datuk M. Nasir masih mempunyai sentuhan yang tersendiri dan saya harap beliau boleh menerbitkan album terbaru Gersang.
“Saya pernah menyuarakan hasrat saya ini kepada Datuk M. Nasir dan beliau mengajak kami datang ke studionya untuk berbincang,” katanya kepada Astro AWANI selepas sidang media Malam Amal Pengasih @cintamanis.
Kali terakhir Gersang mengeluarkan album studio ialah pada tahun 1989 dengan judul B29.
Sebelum itu Gersang muncul dengan album berjudul Masih Aku Terasa (1987) dan Suratan Takdir (1988) yang diterbitkan oleh Allahyarham Rahim Othman.
Dalam pada itu, Man Bai memberitahu, dia juga telah menyiapkan single terbaharu berjudul Saling Mengerti ciptaan Asmin Mudin.
“Lagu tersebut telah siap sepenuhnya, saya sudah buat mixing dan mastering. Kini saya cuma mencari mana-mana syarikat rakaman yang sudi mengedarkannya,” kata Man Bai lagi.
Man Bai yang popular dengan lagu Kau Ilhamku pernah muncul dengan tiga album solo dengan tajuk Man Bai (1995), Positif (1999) dan Inspirasi (2011) selepas Gersang tidak lagi aktif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan