Rabu, Ogos 28, 2019

Api hikayat seorang sifu muzik

petikan Kosmo 28 Ogos 2019
Ahmad Isyafiq Mad. Desa

M. Nasir berazam mahu menyambut empat dekad penglibatannya sebagai penyanyi dalam sebuah konsert bersama para peminat. Foto oleh MOHD. NAJIB MOHD. NOR

Lazimnya pertemuan empat mata dengan seniman, Datuk M. Nasir sering berlangsung dalam suasana serius dengan hanya beberapa persoalan berbalas jawapan ringkas dari bibirnya.

Bagaimanapun, lain pula karakter pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamed itu ketika ditemui pada majlis promosi Konsert M. Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wajahnya terukir alur teruja, kerap berjenaka dan terbuka menjawab setiap persoalan yang dilontarkan wakil media.

Perkongsiannya pada petang tempoh hari persis sebuah hikayat pengkisahan setiap inci pengabdiannya sehingga digelar sifu dalam arena seni suara Nusantara.

“Saya masih ingat permulaan kerjaya sekitar 40 tahun lalu. Saya sendiri tidak pasti apa yang ingin dicapai dalam industri kecuali mahu membuat muzik.

“Sama ada sebagai penyanyi atau pemuzik, saya sangat jelas mengenai hasrat membawa melodi baharu dalam arena muzik pada ketika itu,” tuturnya.

Identiti

Melanjutkan bicara, 
M. Nasir berkata, pada era awal kemunculan sekitar lewat 1970-an, beliau amat terinspirasi dengan muzik yang dibawa Peter Gabriel iaitu seniman berpengaruh di England yang juga bekas ahli kumpulan Genesis.

Sejak awal berkarya, beliau mengakui terdorong menyuntik elemen teater dalam setiap penciptaan lagu. Lelaki kelahiran Singapura itu juga percaya, identiti tersendiri harus menjadi pegangan jika mahu menonjol dalam industri.

“Semakin lama berada dalam industri, saya semakin jelas dengan identiti muzik yang mahu dibawa. Saya cuba membawa pembaharuan dalam setiap persembahan terutama aspek penciptaan lagu.

“Meskipun membawa pembaharuan dalam muzik, tanggungjawab utama saya adalah mempopularkan muzik Melayu dari aspek penulisan lirik dan mendalami lebih serius setiap lagu dengan kisah bersandarkan kehidupan,” jelasnya.

Mengumpul pengalaman selama empat dasawarsa, penyanyi, penulis lirik dan komposer itu sempat menghitung perjuangan pada awal kemunculan. Beliau tidak pernah menyangka, hayatnya dalam industri bertahan sehingga kini.

Pemilik label Luncai Emas itu juga tidak lagi memandang dirinya sebagai penghibur semata-mata. Fokus beliau kini adalah untuk kekal berkarya melahirkan naskhah berkualiti seimbang antara hiburan dan nilai seni.

“Apabila berada pada tahap ini tugas saya adalah berkarya. Setiap kali melakukan persembahan, saya impikan persembahan tersebut harus memberi makna terhadap penonton,” jelasnya.

Lama tidak muncul dengan produk baharu, pelantun Apokalips itu sebenarnya sedang berencana untuk melancarkan sebuah single baharu sebelum menjayakan konsert solonya di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 23 November ini.

Kali terakhir mengubati kerinduan peminat adalah menerusi sebuah duet bersama Malique bertajuk Mantera Beradu yang diterbitkan pada tahun 2008. Tahun ini, pengasas kumpulan muzik folk Kembara itu bersungguh-sungguh mahu segera melancarkan single sementelah lebih seabad tanpa produk baharu.

“Saya harap dapat melancarkan sebuah lagu baharu sebelum konsert solo berlangsung. Saya sudah mempunyai beberapa buah lagu tetapi masih dalam proses pemilihan,” ujarnya.

Seniman berusia 62 tahun itu juga enggan semberono menerbitkan dan mengeluarkan lagu baharu kerana realistik terhadap penerimaan pendengar masa kini.

Dalam fikiran beliau, biarlah material berkenaan berbunyi segar dan tidak klise serta seiring dengan permintaan pasaran masa kini. Biarpun wujud kebarangkalian naskhah tersebut ditolak, beliau tidak gentar.

“Industri muzik telah berubah, penerimaan pendengar juga berubah. Jadi, untuk mengeluarkan lagu baharu dan menonjolkan lagu tersebut dalam pasaran, itu bukan tugas mudah.

“Namun jangan khuatir, saya masih ada (keinginan berkarya),”

Konsert

Berbicara mengenai konsert solo bersempena 40 tahun penglibatan dalam industri, M. Nasir nyata teruja berkongsi perihal persembahan yang dijadualkan berlangsung pada November ini.

Biarpun pernah mengemudi deretan konsert berskala mega, M. Nasir menjanjikan penampilan menerusi Konsert M. Nasir Satu Hikayat-40 Tahun Perjalanan umpama jalinan intim dirinya dengan peminat.

“Saya mungkin akan menyampaikan beberapa buah lagu yang pernah dicipta untuk artis-artis ternama antaranya Alleycats, Flybaits dan Search.

“Pemilihan lagu sahaja telah mengambil masa selama tiga jam. Semangat saya berkobar-kobar dan berapi untuk menjayakan konsert ini,” luahnya dengan semangat berbunga.

Mengulas lanjut mengenai persediaan konsert, kata M. Nasir, yang tinggal hanyalah tarikh untuk memulakan latihan di samping melakukan persiapan fizikal.

“Senarai lagu telah ada, sekarang ini saya menanti tarikh untuk memulakan latihan bersama pemuzik. Saya tidak khuatir mengenai hubungan kimia bersama pemuzik kerana saya diiring pemuzik The Gong.

“The Gong telah bersama saya selama 20 tahun dalam pelbagai persembahan pentas,” katanya menutup bicara.

Empat dekad kembara sebagai seniman, M. Nasir masih gah memperjuangkan muzik Melayu kontemporari dan ampuh dengan gelaran sifu muzik Nusantara.

Tiada ulasan: