petikan Utusan Malaysia 7 November 2017
Muhammad Azrul Mohd. Radi
SEGALANYA bermula daripada perasaan untuk memenuhi kehendak peminat-peminat setia Search yang inginkan sebuah naskhah album terbaharu kumpulan rock legenda tempatan dalam ruang simpanan mereka.
Lantas, Amy (vokalis) dan Nasir (bes) membulatkan keputusan untuk bertemu dengan Datuk M. Nasir, individu yang difikirkan mereka paling tepat dan sebati untuk menjadi ‘arkitek’ kepada penerbitan album terbaharu mereka.
“Apa kau orang dah gila ke hendak buat album dengan pasaran sekarang? Ada lagi ke orang nak beli album Search?” soal M. Nasir kepada Amy dan Nasir yang menyuarakan keinginan bekerjasama dengan sifu yang dihormati ramai karyawan seni.
Bukan suatu hal yang mengguris hati Amy dan Nasir dengan apa yang terlontar keluar dari mulut M. Nasir itu.
Kedua-dua tonggak utama Search itu sangat arif dan kenal benar karakter M. Nasir, apatah lagi mereka sudah lebih tiga dekad bekerjasama sejak dari album sulung Search yang berjudul Cinta Buatan Malaysia.
Sebaik sahaja dijelaskan, hasrat yang menggunung itu, M.Nasir mengangguk tanda setuju. Itu sudah cukup melegakan Amy dan Nasir.
Selepas kata putus dicapai, hari demi hari Search ‘berkurung’ di studio menghabiskan masa lebih 700 jam untuk menyiapkan naskhah hebat yang diberi judul Katharsis.
Menurut Amy, mereka datang ke studio pada pertengahan tahun lalu dengan tangan yang kosong.
Melalui pertemuan demi pertemuan, Search dan M. Nasir memerah idea untuk mendapatkan karya-karya yang menepati piawaian dan kedudukan Search sebagai kumpulan rock paling lama bertahan di Malaysia.
“Sebenarnya kita sudah ada 10 buah lagu. Tapi bila dinilai balik, saya minta supaya dua lagu dibuang dan diganti dengan yang lain. Perkara itu tidak menjadi masalah kerana kami memang sudah ada lebih daripada 10 buah lagu ketika itu,” jelas Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman yang menyifatkan album ini sebagai naskhah terbaik yang pernah dihasilkan oleh Search.
Menerusi album ini, M. Nasir menghasilkan lima buah lagu sementara dua buah lagu lain hasil garapan Nasir, sebuah lagu ciptaan Din (gitar) manakala baki dua buah lagu lain ciptaan bersama seluruh anggota kumpulan.
Katharsis dari kaca mata Nasir pula ialah sebuah album yang menyerlahkan jiwa muzik rock semua anggota Search.
“Roh, cita rasa dan arah dalam album ini sama seperti album Fenomena. Semua memberikan jiwa masing-masing. Tetapi kita tidak meninggalkan muzik yang ada sekarang.
“Kalau nak kata album ini sama seperti album Search dahulu, tidak boleh juga. Apa yang kita buat ialah seimbangkan keaslian Search dan ditambah dengan gaya muzik baharu,” jelasnya.
Ketika ini, Search baru sahaja melancarkan single terbaharu mereka berjudul Sidang Kanggaroo sementara menantikan album penuh yang kini berada pada fasa akhir dipasarkan tidak lama lagi.
Lebih sedekad tanpa album
SEBETULNYA kali terakhir Search tampil dengan album ialah 11 tahun lalu iaitu album berjudul Gothik Malam Edan.
Selepas itu, Search sunyi daripada berkarya dan hanya membuat persembahan pentas serta beberapa siri konsert.
Bagi Nasir, ada beberapa faktor yang membuatkan mereka merasa tidak begitu semangat untuk membikin sebuah album di ketika pasaran digital menguasai arena muzik tempatan.
“Adakalanya kita rasa sia-sia hendak mengeluarkan modal yang besar untuk menghasilkan sebuah album yang akhirnya akan dimuat naik menerusi laman sesawang.
“Perkara itu bermain-main di fikiran sehinggalah 11 tahun berlalu. Kami perlu fikir strategi yang betul sebelum tampil dengan album,” jelasnya.
Bertitik tolak pada rasa keinginan untuk melampiaskan gian rock dalam bentuk album, Search mengambil risiko untuk menghasilkan album yang mungkin bakal menjadi yang terakhir bagi mereka.
“Tahun depan, saya sudah berusia 60 tahun. Kalau ikut umur, sudah lama saya patut pencen. Tapi disebabkan masih ada kudrat dan minat untuk menghasilkan album rock bersama rakan-rakan, saya teruskan,” jelas Amy pula.
Di sebalik rasa gian setiap anggota Search itu, ada juga yang mendakwa Katharsis diterbitkan dengan bermotifkan udang di sebalik batu.
Ada yang berpendapat, kontroversi yang melanda Search sebelum ini sehingga disaman oleh penganjur konsert menjadi punca album ini dihasilkan selain kembali menjana pendapatan Search.
Namun, Nasir menegaskan, cakap-cakap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab itu saling tidak ubah sebagai dakwaan tidak berasas.
“Kita hanya berkarya sahaja untuk peminat. Sebab itu, di sebalik kontroversi yang melanda, kami tetap mahu menghasilkan sesuatu yang baharu buat peminat.
“Masalah memang ada dan kita akan selesaikan satu persatu,” kata Nasir yang menganggap kerjasama dengan M. Nasir sudah membuktikan kesungguhan mereka mahu memberi yang terbaik buat peminat.
Luahan jiwa rock M. Nasir
DALAM masa sama, Datuk M. Nasir sebagai orang penting di sebalik album Katharsis menegaskan, seandainya ada yang mengatakan album ini dibikin untuk menjana semula pendapatan anggota Search, beliau secara peribadi berbangga kerana bersama-sama dengan kumpulan legenda rock negara dalam menyiapkan album ini.
Keterujaan seniman itu itu juga sekali gus membuktikan bahawa album ke-12 Search bukanlah dibuat sekadar siap, sebaliknya, penghasilannya berteraskan jiwa yang sarat dengan kecintaan terhadap muzik.
Sekalipun terpaksa menghabiskan banyak masa di studio hingga lewat pagi, namun tidak sedikitpun beliau mengeluh.
“Buat album ini tidak meletihkan sebab kita suka dan ingin buat. Lagipun, saya memang suka buat lagu bersama Search.
“Dengan Search, saya dapat luahkan jiwa dan idea rock saya dalam diri. Sebab itu saya puas bila album ini hampir siap. Bagi saya, ini adalah album yang terbaik pernah saya hasilkan,” kata M. Nasir berkongsi pendapat.
Bercerita mengenai hala tuju album ini, jelas M. Nasir, beliau memberi penghormatan kepada muzik yang pernah dibuat Search satu ketika dahulu.
“Ada bunyi Search yang lama dan kita gabungkan dengan muzik-muzik yang pernah dipopularkan oleh orang pemuzik lain.
“Saya menganggap, album ini ada pelbagai bunyi yang mampu mengimbau kenangan bersama Search dahulu dan pada masa sama menarik minat pendengar generasi baru,” jelasnya lagi.
Lagu Sidang Kanggaroo yang menjadi single terbaharu Search adalah ciptaan bersama M. Nasir, manakala lirik pula ditulis oleh Ishmael MS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan